Bagi sesebuah projek pembinaan berskala besar, kebiasaanya lebih daripada seorang tenaga kerja diperlukan. Selain dapat mempercepatkan progres, pengggunaan ramai tenaga kerja dapat mengurangkan risiko kemalangan yang berpunca akibat kepenatan.

Walau bagaimanapun, dalam sejarah terdapat juga beberapa individu yang mempunyai kehebatan membina beberapa projek hebat secara bersendirian. Walaupun progresnya mungkin agak perlahan, namun kerana minat yang mendalam terhadap apa yang diusahakan, ianya tidak menjadi masalah bagi individu-individu ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut merupakan beberapa projek hebat dan mengkagumkan yang dibina atau dihasilkan oleh seorang individu sahaja.

1. Rumah dalam gunung

Seorang individu bernama Ra Paulette telah meluangkan 25 tahun untuk membina sebuah penempatan dengan mengorek dan mengukir kawasan gunung di Mexico. Selain melakukannya seorang diri, beliau juga hanya menggunakan alatan tradisional untuk menghasilkannya.

Sehingga kini, 14 buah rumah seumpanya sudah berjaya dihasilkan dengan setiap satunya dijual pada harga $995,000. Sebagai seorang pengkarya seni, beliau melakukannya atas dasar minat dan ingin mengekspresikan karya seninya. 25 tahun bukanlah tempoh yang singkat dan tanpa minat yang mendalam anda sudah pastilah akan menganggapnya satu usaha yang sia-sia.

2. Istana Moussa

istana moussa

Pada tahun 1945, Moussa Abdel Karim Al Maamari hanyalah seorang kanak-kanak berusia 14 tahun. Pada ketika itu, beliau telah diperli oleh guru dan rakan sekelasnya setelah beliau dilihat melukis gambar istana dan tidak menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Beliau kemudiannya telah membantu pakciknya melakukan kerja-kerja membaik-pulih sebuah kubu di bandar. Kemudian, beliau telah menghabiskan 17 tahun membaik-pulih istana dan rumah orang-orang kenamaan.

Pada tahun 1962, beliau telah membeli sebidang tanah dan 6000 biji batu blok dan telah menghabiskan 60 tahun berikutnya membina istananya sendiri secara seorang diri. Kehebatan dan pengalamannya dalam bidang pembinaan dapat dilihat pada seni bina istana binaannya ini.

3. Mahligai "Smith Mansion"

smith mansion

Rumah Smith Mansion yang terletak di Wyoming ini juga dikenali sebagai "rumah gila". Rumah setinggi 5 tingkat ini jika dilihat dari luaran kelihatan seperti sebuah rumah tidak tersusun dan hanya menunggu masa untuk roboh.

Rumah ini dibina oleh Francis Lee Smith, seorang pengkarya seni sebagai rumah peribadinya. Apabila keluarganya semakin bertambah, beliau telah menambah sedikit demi sedikit rumahnya sehingga menjadi 5 tingkat.

Beliau walau bagaimanapun telah terbunuh apabila terjatuh daripada bumbung rumahnya pada tahun 1992. Akibat tidak berpenghuni buat beberapa ketika, rumah ini telah menjadi mangsa kegiatan vandalisma sebelum anak perempuannya telah melancarkan projek kutipan dana untuk menjadikannya sebagai sebuah muzium.

4. Casa de Piedra

casa de piedra

Pada tahun 1907, seorang tukang ukir batu bernama Lino Bueno telah dilantik oleh penguasa bandar Alcolea Del Pinar untuk mengorek batu kapur untuk digunakan bagi membina bangunan-bangunan kerajaan. Untuk kerja ini, beliau telah menghabiskan masa selama 7 tahun.

Dalam tempoh 7 tahun ini, beliau telah membina satu ruang atau kawasan yang cukup besar bagi memuatkan sebuah keluarga di dalamnya. Setelah siap, beliau telah membawa isteri dan 5 orang anaknya berpindah masuk ke situ. 20 tahun berikutnya telah dihabiskan untuk menambah ruangan bagi dapur dan 2 bilik tidur.

Hasil kerjanya ini mendapat perhatian Raja Sepanyol ketika itu King Alfonso XIII sehingga beliau telah dianugerahkan Medal of Merit atas usahanya itu. Rumahnya ini pernah menjadi tempat perlindungan semasa Perang Saudara Sepanyol dan plak peringatan telah ditempatkan di rumahnya oleh King Juan Carlos pada tahun 1978.

5. Bishop Castle

bishop castle

Pada tahu 1959, seorang pemuda bernama Jim Bishop yang ketika itu baru berumur 15 tahun telah membeli tanah seluas 2.5 ekar di Colorado. 10 tahun kemudian, beliau telah memulakan sebuah projek pembinaan rumah idamannya. Ianya dikenali sebagai Bishop Castle.

Bangunan ini memegang takhta sebagai bangunan tertinggi yang dibina oleh seorang manusia. Ianya mempunyai menara setinggi 49 meter dan setiap blok batu yang digunakan telah diangkat dan disusun oleh Jim Bishop sendiri. Beliau membina tanpa perancangan dan hanya mengikut gerak hatinya.

6. Pembangunan pekan Regent

lebuh raya regent 171

Regent merupakan sebuah pekan kecil di North Dakota dengan populasi hanyalah sekitar 160 orang. Gary Greff, seorang pesara guru telah berusaha menyelamatkan pekan in daripada terus mati dengan perancangannya menjadikan pekan Regent sebagai tempat pelancongan pada tahun 1990.

Beliau telah membina 10 patung replika di lebih raya menuju ke Regent. Selain itu, beliau juga telah membina kawasan piknik dan taman permainan di sekitar binaan replika ini. Segala urusan penyelenggaraan seperti memotong rumput dan membersihkan kawasan tersebut juga dilakukannya secara sendirian.

7. Taman botani

pearl fryar

Apabila berhijrah ke South Carolina pada tahun 1982, Fryar dan isterinya yang merupakan orang Afrika Amerika telah dinafikan hak mereka untuk memiliki rumah atas alasan stereotaip rasis bahawa mereka tidak akan menjaga kawasan halaman rumah mereka.

Fryar yang sebelum itu langsung tidak mempunyai pengalaman memelihara tanaman ingin membuktikan tanggapan dan stereotaip itu salah. Beliau telah berjaya memenangi anugerah “Yard of the Month” yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan. Bagi masyarakat setempat, beliau dianggap seorang hero kerana berusaha melawan stereotaip negatif terhadapnya dengan caranya yang tersendiri.

Lama kelamaan, minatnya terhadap tanaman semakin berkembang dan dalam tempoh 30 tahun berikutnya, telah menanam lebih 300 jenis tanaman. Tanaman-tanaman ini juga akan dibentuk mengikut kreativitinya dan taman botaninya ini menerima kunjungan ramai pelancong dari luar negara.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Atlas Obscura
  3. LA Times
  4. NY Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)