Pernahkah anda dengar tentang kumpulan yang diberi nama "Mensa International" atau singkatannya "Mensa"? Secara ringkasnya, Mensa adalah sebuah komuniti yang hanya layak disertai oleh individu yang mempunyai tahap IQ yang tinggi sahaja. Mensa adalah kumpulan yang terbesar dan tertua di dunia untuk komuniti seperti ini. 

Malah, di negara kita juga mempunyai cawangan kumpulan Mensa Malaysia yang sudah ditubuhkan sejak tahun 1984 dan sehingga kini mempunyai keanggotaan lebih 900 orang. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mensa Malaysia telah diasaskan pada 22 Mei 1984 apabila Tan Sri Dato' Yong Poh Kon mendaftarkan Persatuan Mensa Malaysia dan menjadi Pengerusi dan Pengasas Mensa Malaysia. Ahli sebelum itu hanya ahli langsung yang berdaftar secara terus di bawah Mensa International.

Penubuhan Mensa kebangsaan memberikan lebih fleksibiliti kepada ahli persatuan apabila menganjurkan aktiviti dan acara dan juga membolehkan sebahagian besar dana disalurkan diperingkat tempatan. Hanya rakyat Malaysia yang mempunyai IQ dalam 2% teratas populasi layak menyertai pertubuhan ini. 

Sejarah penubuhan Mensa

sejarah mensa

Roland Berrill dan Dr. Lance Ware mengasaskan Mensa pada tahun 1946 di England. Menurut American Mensa, Ltd., perkataan Latin "mensa" mempunyai beberapa makna antaranya "minda", "meja" dan "bulan."

Mensa telah diwujudkan sebagai platform perbincangan untuk orang yang sangat pintar bertemu setiap bulan. Kini Mensa International merupakan sebuah organisasi antarabangsa dengan terdapat kira-kira 100,000 ahli di 100 negara di seluruh dunia.

Populasi Mensan (nama panggilan untuk ahli) sangat pelbagai. Lelaki, wanita dan kanak-kanak dari pelbagai latar belakang kebangsaan, budaya, agama dan sosio-ekonomi tergolong dalam Mensa.

mensa persatuan genius pintar dunia

Latar belakang pekerjaan dan profesional turut berbeza. Pegawai polis, suri rumah, saintis, pemandu trak, pakar perubatan, petani, artis dan ramai lagi yang layak menyertai kumpulan ini berdasarkan skor IQ mereka. Walaupun umur ahli berkisar antara empat tahun hingga 90+ tahun, dua kumpulan umur terbesar ialah 14 hingga 33 dan 34 hingga 53 tahun.

Kriteria kemasukan

pendaftaran mensa

Terdapat hanya satu kriteria untuk mendaftarkan keahlian dalam Mensa; setiap ahli mesti memiliki IQ yang tinggi yang boleh diuji dalam satu ujian khas. Ujian IQ ini direka untuk mengukur keupayaan umum anda untuk menyelesaikan masalah dan memahami konsep.

Ini termasuk penaakulan, penyelesaian masalah, keupayaan untuk melihat hubungan antara sesuatu dan keupayaan untuk menyimpan dan mendapatkan maklumat. Mensa menetapkan bar IQ tinggi pada atau melebihi persentil ke-98 pada ujian kepintaran piawai yang diluluskan.

Ini bermakna markah anda mestilah sama dengan atau lebih besar daripada markah 98 peratus orang lain yang mengambil ujian sama. Untuk memohon keahlian, anda boleh mengambil "The Mensa Admission Test" atau anda boleh menyerahkan markah ujian daripada ujian kecerdasan lain (yang diterima) yang diselia yang meletakkan anda dalam markah 2 peratus teratas.

Antara ujian lain yang boleh diambil kira adalah California Test of Mental Maturity,  Wechsler Adult and Children Scales,  SAT, LSAT dan GRE.

Kelebihan menyertai Mensa

keahlian mensa

Faedah yang diterima oleh ahli organisasi ini berbeza mengikut negara dengan sesetengah negara menawarkan pelan insurans dan juga kad kredit. Kebanyakan organisasi kebangsaan mengeluarkan naskhah berita bulanan atau suku tahunan dan bahagian tempatan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara am dan membentuk kumpulan berkepentingan khas atau Special Interest Groups (SIG).

Kumpulan ini mungkin berbeza-beza dari segi tujuan, daripada sumbang saran tentang isu-isu tempatan kepada mewujudkan mekanisme sokongan untuk program biasiswa. Walaupun kumpulan ini cuba untuk kekal berkecuali dari segi politik, ia menyokong usaha pendidikan.

Keahlian aktif dalam Persatuan Mensa Malaysia secara automatik membuka pintu kepada dunia luar. Keahlian Mensa Malaysia diiktiraf dan diterima oleh pertubuhan Mensa di seluruh dunia. Ahli pelajar yang belajar di luar negara dapat berhubung dengan ahli Mensa luar negara.

Ahli popular Mensa

anushka dixit

Sehingga kini, Anushka Dixit, seorang gadis Inggeris berusia sebelas tahun yang berasal dari India mencatatkan salah satu IQ tertinggi di Mensa. Gadis muda ini telah terbukti lebih bijak daripada Albert Einstein dan Stephen Hawking.

Sementara itu, dua ahli termuda yang diterima masuk adalah Ben Woods dan Georgia Brown yang masing-masing berusia dua tahun dan sembilan bulan. Sememangnya, Mensa telah menarik beberapa pemikir terkenal dan beberapa daripada mereka pernah berkhidmat sebagai ketua orgnisasi ini. 

Antara individu popular yang menjadi ahli Mensa adalah Arkitek Buckminster Fuller dan pengarang Isaac Asimov yang pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Naib Presiden Mensa International. Mensan terkenal lain termasuk Scott Adams, pencipta kartun Dilbert, dan pelakon terkenal James Woods.

Kredit:

  1. Mensa Malaysia
  2. How Stuff Works
  3. Britannica Encyclopaedia
  4. Wise Geek



Hakcipta iluminasi.com (2017)