apa itu adhd serta tanda tanda dan simptom adhd

Orang dewasa yang mempunyai ketidakseimbangan ADHD berkemungkinan besar tidak menyedari ADHD mempunyai pengaruh yang besar terhadap hidup mereka. ADHD berupaya mempengaruhi tahap pencapaian seseorang dalam pekerjaan, perhubungan dan kekeluargaan serta bagaimana mereka mengawal diri mereka dalam persekitaran tersebut.

Walaupun ADHD dikaitkan lebih banyak berlaku kepada golongan kanak-kanak dan remaja, dianggarkan seramai 60% kanak-kanak atau remaja terus mengalami masalah ADHD sehinggalah mereka dewasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

APA ITU ADHD?

tanda kita ada adhd penyakit mental golongan genius

ADHD adalah ringkasan kepada Attention deficit hyperactivity disorder, sejenis ketidakseimbangan mental paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Kanak-kanak yang mempunyai ADHD berkemungkinan besar mempunyai sifat hiperaktif, tidak mampu mengawal tingkah laku mereka dan tidak dapat fokus ketika melakukan sesuatu perbuatan. ADHD lebih kerap berlaku di kalangan jantina lelaki serta kerap ditemui pada kanak-kanak pra sekolah.

KATEGORI-KATEGORI ADHD

adhd penyakit mental golongan genius 90

Pada golongan kanak-kanak, pesakit ADHD digolongkan kepada 3 kumpulan; yang pertama mereka yang kurang fokus (inattention) , mereka yang hiperaktif (hyperactivity) dan cenderung untuk bertindak luar kawalan (impulsivity).

Pesakit yang kurang fokus tidak dapat menghabiskan tugasan mereka, gagal menurut arahan, tidak menumpukan perhatian, sukar untuk duduk dan melakukan sesuatu, kerap hilang barang sendiri serta suka berangan-angan.

Bagi yang hiperaktif pula, dia tidak boleh duduk diam, gemar bermain dengan bising, sentiasa bergerak, bercakap banyak serta nampak seperti mempunyai perangai yang tidak berhenti-henti melakukan sesuatu.

Pesakit yang mempunyai kecenderungan bertindak luar kawalan pula tidak boleh bersabar, tidak berfikir dahulu sebelum menjawab dan gemar mengganggu giliran orang lain.

ADHD BAGI DEWASA

adhd tanda adhd penyakit mental golongan genius

Simptom ADHD untuk kanak-kanak mudah dilihat tetapi agak sukar untuk didapati pada peringkat orang dewasa. Ini kerana kebanyakan tanda ADHD yang ada pada orang dewasa, akan disembunyikan oleh pemikiran yang semakin matang. Begitupun, kita boleh bertanya beberapa soalan pada diri kita untuk mengenalpasti adakah wujud petunjuk yang dapay membantu kita;

a. Adakah kita kerap lambat hadir temujanji?

b. Adakah kita kerap terlupa sesuatu?

c. Adakah kita kerap berasa bimbang tanpa sebab?

d. Adakah kita mempunyai rasa rendah diri yang tidak berasas?

e. Adakah anda kerap gagal mengawal kemarahan?

f. Adakah anda mudah kecewa atau mudah berhenti selepas gagal?

g. Adakah anda mudah berasa bosan dengan sesuatu?

h. Adakah anda mempunyai masalah fokus ketika membaca?

i. Adakah anda gemar berlengah-lengah?

Itu adalah beberapa soalan yang boleh ditanyakan kepada diri kita dalam membantu mengenal pasti wujudkah simptom-simptom ADHD, kerana banyak sifat ADHD pada kanak-kanak sukar untuk dikenalpasti pada peringkat dewasa.

Harus diingatkan, soalan-soalan ini hanyalah satu bentuk ujian ringkas awal yang tidak mampu memberikan kesimpulan klinikal dan konklusif.

MENGENAL PASTI ADHD DARI AWAL

melihat daripada tingkap adhd penyakit mental golongan genius

Sekiranya anda merasakan anda mengalami masalah yang disenaraikan dalam soalan-soalan di atas, anda boleh meneruskan penilaian kendiri anda dengan menggunakan beberapa jenis ujian yang digunakan sebagai saringan awal, dalam mengenal pasti wujudkan simptom-simptom ADHD dalam diri anda.

Tidak ada satu ujian khas yang dijadikan rujukan dalam mengenal pasti kewujudan ADHD pada seseorang individu dewasa. Pihak perubatan menggunakan beberapa kaedah tertentu dengan kaedah yang paling popular adalah menggunakan rujukan yang dinamakan Diagnostics and Statistical Manual of Mental Disorders atau DSM yang kini yang masuk versi ke lima. Namun wujud beberapa pihak perubatan yang menyangkal soalan-soalan yang terkandung dalam DSM ini, kerana tidak mencerminkan budaya sebenar sesuatu masyarakat.

Malahan DSM ini juga dikritik menyebabkan ramai individu normal dikatakan mempunyai masalah mental, serta terlalu banyak ujian tidak berkait yang digunakan.

Selain itu, satu siri ujian yang dinamakan The Wender Utah Scale kerap kali digunakan sebagai ujian awal dalam membantu pakar mengenal pasti simptom-simptom ADHD dalam individu dewasa. The Wender Utah Scale adalah satu senarai ujian panjang yang menguji tahap seseorang semenjak kecil dan dikatakan mempunyai keputusan yang lebih tepat pada seseorang dewasa, berbanding DMS yang lebih sesuai untuk kanak-kanak.

The Wender Utah Scale mempunyai 61 jenis soalan berkenaan masa lampau anda dan pada penghujung ujian, markah anda akan dijumlahkan bagi menentukan kecenderungan seseorang itu sama ada benar-benar mempunyai petanda ADHD atau tidak.

Conners Adult ADHD Rating Scales atau CAARS juga dikatakan merupakan ujian untuk individu yang lebih relevan kerana ujian CAARS bukan sekadar menguji individu yang dikhuatiri mempunyai ADHD, malahan juga memerlukan ujian pihak ketiga seperti individu yang mengenali pesakit, sebagai penilai yang mampu bertindak dengan lebih tepat. Bagaimanapun, untuk seseorang itu mengambil ujian CAARS, kosnya agak tinggi.

Nasib baiklah ada pihak yang meringkaskan ujian CAARS ke dalam bentuk kompak yang mampu digunakan hanya sebagai ujian sendiri sebagai langkah awal bagi anda yang ingin mengetahui kedudukan anda. Anda boleh dapatkan dan cetak sendiri dokumen ujian dari pautan ini. (PDF)

JANGANLAH BIMBANG SEKIRANYA ANDA ADA SIMPTOM ADHD

tenang melihat pemandangan adhd penyakit mental golongan genius

Seperti yang diperkatakan dan sudah diperbincangkan, analisa untuk ketidakseimbangan mental memerlukan kajian lebih mendalam dan bukan hanya melalui satu atau dua ujian sahaja memadai untuk kita mengatakan kita ada ADHD. Kajian psikologi memang mempunyai pelbagai pandangan berbeza sehinggakan penggunaan DMS yang dikatakan buku rujukan paling baik untuk analisa mental pun, disanggah sesetengah pihak.

Lagipun, ada juga kemungkinan-kemungkinan lain yang mungkin ada, bukan hanya sekadar ADHD. Hanya seorang pakar psikologi mental mampu menafsirkan apakah masalah sebenar yang anda hadapi. Walaupun ADHD merupakan ketidakseimbangan mental paling kerap berlaku, ada juga kemungkinan yang seseorang itu tidak mempunyai ADHD walaupun dia mempunyai petanda dan simptom serupa.

Ini kerana simptom yang mampu dikenal pasti juga serupa dengan simptom beberapa penyakit lain seperti dyslexia, kemurungan, depresi, autism, epilepsy ataupun penyakit-penyakit mental lain.

Anda boleh lakukan ujian yang kami sebutkan di atas hanya sekadar ujian awal, tetapi biarlah pakar yang bertauliah mengesahkan keadaan anda. Itu adalah langkah yang terbaik. Pihak ibu bapa dan sekolah terutamanya pihak guru perlu memainkan peranan paling awal dalam mengenal pasti kewujudan simptom-simptom pada anak atau pelajar mereka, kerana bukan semua masalah tidak mendengar kata anak-anak ini, datangnya daripada sifat degil seorang kanak-kanak.

ADHD ADALAH PENYAKIT ORANG GENIUS?

che guevara adhd penyakit mental golongan genius

Professor MIchael Fitzgerald, pakar psikologi daripada Trinity College Dublin menyifatkan ADHD adalah punca kepada kebolehan kreatif sesetengah individu berbakat.

Dengan menamakan mendiang Kurt Cobain, vokalis kumpulan Nirvana dan Pablo Picasso, pelukis terkenal sebagai contoh, beliau menyifatkan ADHD mampu membuatkan seseorang itu berada dalam keadaan 'fokus hiper' apabila mereka melakukan sesuatu yang mereka minat.

Bagaimanapun, Prof. Fitzgerald menyebut, hanya ADHD bertaraf rendah mampu memberikan faedah kepada kebolehan seseorang individu berbanding mereka yang mengalami ADHD melampau. Dalam satu syarahannya dalam perjumpaan pakar psikologi di Royal College Psychiatry, wujud bukti yang menunjukkan nama-nama besar seperti Cobain, Picasso, Oscar Wilde dan Che Guevara mempunyai sifat-sifat ADHD yang mampu membuatkan seseorang individu berani mengambil risiko lebih tinggi, berbanding orang lain.

Menurut beliau, individu yang mempunyai ciri-ciri ini mempunyai risiko melakukan jenayah kecil, ketagihan ataupun jenayah besar, tetapi mereka juga mempunyai peluang lebih tinggi dalam melakukan satu penemuan besar dalam bidang seni, sains dan eksplorasi.

Jelas beliau, mempunyai ADHD bukanlah jaminan seseorang itu mempunyai kebolehan tinggi, tetapi apabila seseorang yang mempunyai ADHD bekerja dengan fokus, mereka boleh menghasilkan sesuatu yang jauh mendahului manusia biasa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)