Sekiranya anda seperti majoriti orang lain, mungkin anda lebih banyak luangkan masa di pejabat berbanding di tempat lain. Kalau anda ni jenis pekerja 'harapan', mungkin anda masuk kerja lebih awal dan pulang lewat malam.
Ada yang bekerja 8 jam sehari. Ada juga yang bekerja lebih daripada 11-12 jam sehari kerana terdapat timbunan kerja yang tidak pernah selesai di pejabat.
BESARKAN TEKS A- A+
Oleh itu, suasana dan persekitaran pejabat yang ideal perlulah dititikberatkan kerana di situlah anda banyak menghabiskan masa setiap hari. Sekiranya anda tak gembira di tempat kerja, menderita setiap hari namun ditelan pahit-pahit, anda juga yang akan menghadapi tekanan hidup seorang diri. Kalau dapat bos penyayang dan mengambil berat, tak apa juga. Seandainya dapat majikan jenis tak punya hati dan perasaan?
Kalau anda dah cuba buat pelbagai cara untuk pulihkan keadaan di pejabat namun masih tidak mendatangkan hasil, mungkin sudah sampai masa anda buka Jobstreet dan intai kekosongan di tempat lain. Sekiranya anda mengalami 9 tanda-tanda ini, silalah update resume cepat-cepat ya:
#1 Tiada ruang untuk dinaikkan pangkat
Setiap kerjaya sebenarnya perlu meningkatkan kemahiran dan menambah nilai diri anda sebagai seorang pekerja. Kalau anda dah kerja lebih 10 tahun namun anda masih buat kerja yang sama, berada dalam jawatan gred yang sama dan gaji naik hanya RM50 setahun, ini bermakna anda dah bekerja macam robot. Mestilah anda pun ada cita-cita nak naik pangkat dengan tanggungjawab berbeza pula kan?
#2 Anda selalu tak tahu cerita
Biasa tak rasa seolah-olah anda tak tahu apa-apa? Orang lain berbincang dan bercerita pasal sesuatu isu tapi anda seolah-olah terpinggir sebab tak tahu hujung pangkal. Kadang-kadang anda terpinga-pinga seorang diri dengar pasukan anda bermesyuarat. Jika anda sering dipinggirkan, mungkin para bos dan pihak pengurusan hanya nampak anda sebagai pekerja biasa sahaja dan bukan sebagai penyumbang input berharga. Ini mungkin satu petanda buruk.
#3 Bos yang tak berpengalaman
Ada orang nasib tak baik terpaksa bekerja dengan majikan jenis tak tahu apa. Lebih malang jika anda dapat bos yang fresh grad. Agak mengecewakan sebenarnya bila anda perlu terangkan semua benda pada pemimpin, tapi paling mengecewakan kerana anda tak boleh percaya keputusan yang pemimpin-pemimpin ini buat untuk 'kebaikan' syarikat.
Jika benar bos-bos ini tak tahu apa yang mereka buat, anda mungkin boleh kehilangan kerja sekiranya syarikat gulung tikar. Oleh itu, kemaskinilah resume dengan kadar segera.
#4 Syarikat kerugian saban tahun
Satu kajian mendapati 71% syarikat perniagaan kecil ditutup pada tahun kesepuluh sejak beroperasi. Sekiranya anda berasa risau dengan prestasi syarikat, mungkin sangkaan anda itu benar belaka. Perhatikan klu seperti keperluan mendapatkan kelulusan untuk perbelanjaan kecil, membuat banyak mesyuarat tertutup dan bilangan pihak pengurusan yang meninggalkan syarikat. Jika nampak tanda-tanda syarikat dalam masalah, mungkin tiba masa anda beredar sebelum terlambat.
#5 Anda mempunyai bos teruk yang takkan pergi ke mana-mana
Perasan tak ada sesetengah bos yang berperangai keji dan kejam terhadap staf bawahan tapi tetap disayangi oleh pihak pengurusan? Bos-bos jabatan lain asyik keluar masuk berubah wajah, tapi dia tetap kekal di tempat dan posisi yang sama. "Bila nak berambus ni?" fikir anda. Sekiranya bos yang talam dua muka dan suka mencari kesalahan seperti ini membuatkan hidup anda tak tenang dan kusut otak setiap hari, mungkin anda yang patut angkat kaki dulu. Nak tunggu dia berhenti, sampai kiamat pun belum tentu.
#6 Anda benci pergi kerja
Monday blues itu suatu perkara biasa yang membuatkan semua orang liat nak bangun pagi pergi kerja. Tapi kalau tiap-tiap hari pun anda menyampah nak pergi kerja, itu mungkin salah satu tanda jelas kenapa anda perlu cari kerja lain.
#7 Anda hilang motivasi
Walaupun anda sayang syarikat, bos dan rakan-rakan sepejabat, tiada guna juga kalau anda benci dengan kerja anda. Perasaan suka dan motivasi semasa membuat kerja itu adalah rahsia kejayaan. Kalau anda mula rasa tak minat dan bosan, sudah tiba masa anda menilai semula laluan kerjaya anda.
#8 Kesihatan terjejas
Kalau anda dapat darah tinggi, insomnia, migrain dan tekanan disebabkan tanggungan kerja di pejabat, tolonglah cepat-cepat cari kerja lain. Jangan biarkan kerja pejabat mengawal hidup anda. Kalau anda meninggal dunia disebabkan kerja menimbun pun, syarikat mungkin cuma bayar pampasan pada keluarga anda dan ziarah mayat anda semasa ditanam. Keesokan harinya mereka perlu sambung kerja seperti biasa kerana nyawa syarikat masih perlu diteruskan. Nyawa anda?
#9 Kehidupan peribadi anda terjejas
Apabila anda perlu bekerja lebih masa setiap hari atau pada hujung minggu sehingga tiada masa bersama keluarga, ataupun anda sering merungut dan berasa kusut apabila pulang ke rumah, mulakanlah proses angkat kaki dari syarikat itu.
Buat apa mengabdikan diri pada kerja sampai anak-anak tak mengenali ibu dan ayah. Lebih teruk sehingga rumah tangga berantakan?
Tapi kalau anda betul-betul nak angkat kaki, buatlah keputusan dengan bijak. Jangan putuskan hubungan silaturrahim dan mencetus kemarahan mana-mana pihak dengan memuatnaik status mengutuk di Facebook.