Jepun sememangnya terkenal kerana pelbagai keunikan dari segi budaya, teknologi, barangan dan banyak lagi. Salah satunya ialah pelbagai jenis mesin layan diri pelik yang tidak terdapat di negara-negara lain.

Selain itu, Jepun juga mempunyai banyak perkhidmatan-perkhidmatan pelik yang tidak terlintas di fikiran anda. Memandangkan rakyat negara itu sendiri mempunyai pelbagai minat dan citarasa pelik, tidak hairanlah mengapa perkhidmatan seperti ini wujud. Berikut adalah senarai perkhidmatan pelik yang terdapat di Jepun.

9. Kafe Peluk

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika anda kesunyian atau tertekan, anda boleh melawat Soine-ya atau lebih dikenali sebagai Kafe Peluk. Soine-ya yang bermaksud 'kedai tidur bersama' ini menawarkan perkhidmatan memeluk wanita atau lelaki mengikut pilihan anda.

Anda akan dikenakan caj kira-kira 6,000 yen (RM 231) untuk tidur sambil memeluk pasangan pilihan anda selama satu jam. Selain itu, Soine-ya juga menawarkan beberapa pakej teman lelaki atau wanita untuk disewa. Anda boleh membawa pasangan sewa anda ini untuk bersiar-siar di sekitar Tokyo.

Pelanggan tidak dibenarkan bertindak di luar batasan seperti mencium, memegang alat sulit atau melakukan hubungan intim dengan pasangan yang disewa mereka. (sumber)

8. Ahli keluarga sewa

sewa ahli keluarga

Bagi mereka yang hidup kesunyian atau kurang kasih sayang sebuah keluarga, anda boleh mendapatkan bantuan dari syarikat yang menawarkan ahli keluarga untuk disewa. Salah satu syarikat yang membekalkan perkhidmatan ini ialah Family Romance.

Anda boleh menyewa isteri, suami, anak atau cucu untuk meluangkan masa bersama anda sama ada menonton TV, makan malam atau melakukan aktiviti seperti sebuah keluarga sebenar.

Salah seorang pelanggan Family Romance, Kazushige Nishida, yang berusia sekitar 60-an sering menyewa isteri dan seorang anak perempuan untuk datang makan malam di rumahnya. Pelanggan juga boleh meminta bagaimana perwatakan isteri dan anak yang mereka inginkan. Isteri dan anak yang disewa ini akan "melakonkan" peranan mereka mengikut permintaan. (sumber)

7. Tempat cuci telinga

kedai cuci telinga

Di Jepun, terdapat tempat untuk anda berehat sambil telinga anda dibersihkan. Salah satu syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini adalah Yamamoto Mimikaki-ten yang beroperasi sejak tahun 2006. 

Dengan bayaran sebanyak 2700 yen (RM 104), pelanggan boleh berehat di persekitaran yang menenangkan sambil telinga mereka dicuci selama 30 minit. Pelanggan akan disambut oleh wanita muda dalam pakaian kimono. Wanita-wanita itu akan menyediakan teh sambil berbual-bual dengan pelanggan.

Wanita itu akan meletakkan kepala pelanggan di pangkuannya dan menutup muka pelanggan dengan sapu tangan. Mereka kemudian membersihkan telinga pelanggan menggunakan alat khas. (sumber)

6. Perkhidmatan kerja sekolah

perkhidmatan kerja sekolah

Biasanya, guru-guru di Jepun akan memberikan banyak kerja sekolah semasa cuti panjang musim panas. Bagi kanak-kanak yang bergelut untuk menyiapkannya atau tidak cukup masa kerana pergi melancong, ada satu perkhidmatan yang dapat menyelesaikan masalah mereka.

Kerja anda akan disiapkan profesional dan caj yang dikenakan berbeza-beza mengikut tugasan. Ada yang mengenakan caj sebanyak 500 yen (RM 19) untuk setiap muka surat, 300 yen (RM 115) untuk laporan 4,000 perkataan dan 5,000 yen (RM 192) untuk projek penyelidikan.

Syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini memilih pekerja-pekerja yang profesional sehingga mereka boleh meniru tulisan anak anda supaya tidak kelihatan berbeza. (sumber)

5. Perkhidmatan sewa tetamu

majlis perkahwinan di tokyo

Perkahwinan dianggap majlis istimewa yang patut dihadiri oleh seramai mungkin ahli keluarga dan rakan-rakan. Jika anda tidak mempunyai ramai ahli keluarga atau rakan-rakan, ada syarikat yang menawarkan tetamu sewa untuk memenuhi kuota majlis anda.

Sebuah syarikat bernama Office Agents menawarkan perkhidmatan ini dan mengenakan bayaran sebanyak 20,000 yen (RM 770) untuk seorang tetamu. Anda perlu membayar lebih sekiranya ingin tetamu sewa ini melakukan perkara seperti menari, menyanyi atau memberi ucapan pada majlis anda.

Amat mengejutkan apabila syarikat Office Agents menerima tempahan untuk lebih daripada 100 majlis perkahwinan setiap tahun. Bagi kebanyakan pelanggan, mereka berasa bangga apabila majlis mereka dihadiri ramai tetamu. (sumber)

4. Perkhidmatan "Perkahwinan Solo"

perkahwinan solo

Ramai wanita berkejaya di Jepun tiada masa untuk memikirkan soal jodoh tetapi teringin untuk merasai bagaimana menjadi pengantin. Kini, ada perkhidmatan yang menawarkan perkahwinan palsu yang dikenali sebagai Perkahwinan Solo.

Salah satu syarikat yang menawarkan perkhidmatan ini adalah Cerca Travel. Dalam pakej mereka, pelanggan akan menghabiskan masa selama dua hari satu malam di hotel dan menikmati pengalaman menjadi pengantin di majlis perkahwinan sendiri.

Pelanggan akan dibawa untuk mencuba pakaian, disolek, didandan dan diberi pilihan untuk memilih hiasan bunga sendiri. Terdapat banyak lagi pakej yang disediakan tetapi ia agak mahal. Pakej paling murah bermula dari 300,000 yen (RM 11555). (sumber)

3. Pengiklanan tubuh

pengiklanan badan

Jika anda mencari teknik baru pengiklanan yang menarik lebih ramai pelanggan, ini adalah salah satu cara yang mungkin berkesan. Beberapa syarikat pengiklanan menggunakan tubuh manusia sebagai medium baru pengiklanan.

Anda boleh memasarkan syarikat anda dengan menggunakan pelekat jenama anda pada paha atau dada gadis-gadis muda yang seksi. Gadis-gadis ini akan berjalan di sekitar bandar atau kawasan yang dikehendaki untuk mempromosinya.

Selain berjalan kaki dan memakai iklan selama 8 jam sehari, gadis-gadis yang dibayar ini juga akan memuat naik gambar mereka dengan iklan syarikat anda ke dalam akaun media sosial masing-masing. (sumber)

2. Menyimpan barangan bekas kekasih

miniku love

Jika anda mempunyai kekasih baru tetapi masih lagi sayang untuk membuang barang-barang bekas kekasih anda, hubungi Terrada Warehaouse. Mereka mempunyai perkhidmatan yang dinamakan Miniku Love yang akan menyimpan semua barang bekas kekasih anda seperti gambar, hadiah, surat dan sebagainya.

Miniku Love juga menawarkan pelakon suara profesional untuk membaca dan merakam surat-surat cinta anda ke dalam bentuk CD. Anda perlu membayar sebanyak 250 yen (RM 9.60) untuk sebuah kotak dan 250 yen lagi untuk sewa setiap bulan.

Mereka juga menawarkan pelbagai perkhidmatan lain. Malangnya, Miniku Love tidak menerima barangan berharga seperti cincin emas, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. (sumber)

1. Perkhidmatan meminta maaf

perkhidmatam meminta maaf

Orang Jepun terkenal kerana sifat hormat dan malu yang tinggi. Sekiranya ada yang enggan memohon maaf kerana malu atau tidak tahan dengan rasa bersalah, terdapat satu perkhidmatan yang memohon maaf bagi pihak anda.

Terdapat beberapa agensi yang menawarkan perkhidmatan ini. Syarikat Shazaiya Aiga Pro mengenakan bayaran 25,000 (RM 962) untuk pemohonan maaf secara bersemuka dan 10,000 yen (RM 385) untuk pemohonan maaf melalui telefon dan email.

Ia mungkin agak mahal tetapi jika mampu memperbaiki keadaan tegang antara dua pihak, mungkin ia berbaloi. Ada juga syarikat yang menawarkan perkhidmatan meminta maaf sambil menangis bagi menenangkan pihak yang marah atau menakutkan. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)