Pernahkah anda terfikir untuk menyewa seseorang sebagai peneman berbicara, mendapat nasihat mahupun untuk lain-lain urusan? Sekiranya anda di Jepun, perkhidmatan sedemikian tidak asing lagi. Menariknya, perkhidmatan Ossan Rental menawarkan servis menyewa lelaki pertengahan umur bagi sebarang urusan (tidak melibatkan hubungan fizikal). Teruskan membaca bagi memahami lebih lanjut tentang servis tersebut. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mengapa Takanobu Nishimoto Mengasaskan Ossan Rental?

sebab takanobu nishimoto asaskan ossan rental

Takanobu Nishimoto menjalankan perniagaan yang dilihat luar biasa. Lelaki Jepun berusia 50 tahun ini yang pada asalnya merupakan seorang konsultan fesyen, memulakan sebuah perniagaan perhidmatan dalam talian yang dipanggil Ossan Rental pada tahun 2012 daripada rumahnya di Tokyo. 

'Ossan' adalah terma hina yang merujuk kepada 'pak cik', atau lelaki di umur pertengahan. Dengan hanya 1,000 yen, bersamaan dengan RM37 untuk setiap jam, para pelanggan boleh menggunakan khidmat lelaki pertengahan umur untuk meluahkan keluhan mereka, melakukan kerja harian mahupun menawarkan nasihat tentang kehidupan. 

Di Jepun, lelaki berusia sering dipermainkan kerana stereotaip rambut ke belakang, perut buncit ke depan dan tabiat yang kotor. Menurut Nishimoto, beliau mendapat idea untuk menyediakan perkhidmatan tersebut dengan niat untuk mengubah stereotaip negatif orang ramai terhadap para 'pak cik'. 

ossan rental oleh takanobu nishimoto

Pada awalnya, Nishimoto menyangkakan bahawa golongan lelaki muda yang ingin mendapatkan nasihat akan menjadi sebahagian besar daripada pelanggannya. Namun begitu, perspektif tersebut meleset apabila ramai daripada pelanggannya terdiri daripada golongan wanita yang berusia antara 20an hingga 50an. 

Kemahuan pelanggan-pelanggannya adalah berbeza, ada yang hanya memerlukan nasihat daripada segi kerjaya dan percintaan, yang lain pula hanya inginkan peneman untuk ke konsert atau bar. Selain daripada perkhidmatan sedemikian, Ossan juga bersedia membantu pelanggannya dalam urusan memindahkan perabot, mahupun memainkan peranan sebagai kekasih bagi mengelak daripada gangguan lelaki yang tidak dikenali. 

Bagaimana Nishimoto Menjamin Keselamatan Para Pelanggannya?

perkhidmatan sewa lelaki di jepun

laman sesawang ossan rental

Nishimoto sentiasa memastikan keselamatan para pelanggannya terjaga. Setiap Ossan yang ingin memohon pekerjaan di syarikatnya perlu melalui proses tapisan yang ketat, di mana beliau akan memastikan setiap daripada mereka bebas daripada sebarang kes jenayah, di samping mempunyai perwatakan yang menarik, dan tidak terlalu banyak bercakap, suatu karakter yang tidak disukai oleh kebanyakan pelanggan. 

Selain itu, beliau turut melarang setiap Ossan daripada menyentuh para pelanggan, atau melakukan sesuatu yang boleh menjurus kepada hubungan fizikal, seperti seksual. Sekiranya hal sedemikian berlaku, akaun atau profil Ossan terbabit akan dibuang daripada laman sesawangnya. 

Setiap Ossan dibenarkan untuk menyimpan kesemua pendapatan yang diperolehi daripada para pelanggan, namun begitu mereka perlu membayar sebanyak RM370 ($USD89) sebulan bagi keahlian di laman sesawang Ossan Rental. Selain daripada pemeriksaan latar belakang, Ossan juga perlu bersetuju dengan kontrak keahlian selama sekurang-kurangnya satu tahun. 

Mengapa Lelaki Pertengahan Umur?

ossan rental mengapa lelaki pertengahan umur

Nishimoto percaya bahawa lelaki yang berumur adalah lebih matang, dan mempunyai banyak pengalaman hidup yang boleh dikongsikan, dan ianya pasti berguna dalam membantu mereka yang memerlukan nasihat dalam menentukan arah tuju hidup. Laman sesawangnya itu kini menerima sekitar 900 tempahan setiap bulan, dengan Ossan yang popular mendapat antara 50 hingga 60 tempahan dalam tempoh yang sama, dengan anggaran pendapatan sehingga RM3700 ($USD889).

Buat masa ini, Ossan Rental mempunyai sebanyak 80 orang Ossan untuk dipilih, berbanding hanya dirinya sahaja pada awalnya. Populariti perniagaan menyewa Ossan semakin lama semakin meningkat, dan ramai oportunis mula mengambil peluang untuk meniru strategi perniagaan yang sama. Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 3 laman sesawang lain yang membekalkan perkhidmatan yang sama di seluruh Jepun. 

Manfaat sewaan Ossan sebenarnya adalah dua hala, yakni kedua pihak sama ada pelanggan mahupun Ossan sendiri turut mendapat untung. Ossan juga sebenarnya dapat mempelajari banyak perkara daripada peranan mereka itu, sama ada menjadi lebih yakin dari segi komunikasi, memperbaiki imej fizikal mahupun mempelajari pengajaran hidup daripada pelanggangnya sendiri. 

Kesimpulan

jepun ossan rental

Jepun mempunyai kadar bunuh diri yang tinggi dek kerana tekanan hidup yang tinggi. Kadang kala, mereka yang melakukan perbuatan sedemikian tidak mempunyai teman hidup atau sesiapa untuk meluahkan perasaan tekanan yang ada. Dengan perkhidmatan seperti Ossan Rental, para pelanggan dapat berkongsi apa sahaja yang yang terbenak di lunak hati fikiran mereka tanpa berasa dihakimi oleh sesiapa.

Mungkin suatu hari nanti servis seperti ini akan turut sampai di Malaysia?

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. onegai-kaeru.jp
  2. thestar.com.my
  3. businessinsider.com
  4. telegraph.co.uk



Hakcipta iluminasi.com (2017)