Oleh pada 05 Jul 2018 kategori

cinta mahathir hasmah

Emosi sangat sukar diukur, apatah lagi rasa cinta kita pada seseorang. Hanya mereka yang merasakan manisnya bercinta atau berkahwin tahu seronoknya mempunyai seorang individu lain yang sanggup bersama dengan kita, sepanjang hayat dia atau kita.

Dalam internet berlambak tips-tips bagaimana menjaga hubungan rumahtangga atau percintaan dikongsikan, namun kebanyakannya lebih mirip kepada perkongsian pandangan tanpa membawa hujah dalam bentuk kajian yang mempunyai sokongan mantap.

Hari ini kami kongsikan kepada anda beberapa kajian tentang cinta dan kasih sayang yang dibuat menggunakan kaedah saintifik dalam membantu mencerahkan lagi pemahaman kita berkenaan hubungan dua orang yang sedang bercinta.

1. Anda dan pasangan anda mempunyai wajah yang seiras selepas 25 tahun bersama

azizah anwar pasangan setia

Satu kajian tahun 1987 yang dijalankan oleh pakar psikologi terkenal Robert Boleslaw Zajonc dan kumpulan penyelidik daripada University of Michigan mendapati pasangan yang hidup lebih daripada 25 tahun bersama, akan mula memiliki ciri-ciri wajah yang serupa.

Faktor penguat yang menyebabkan fenomena itu berlaku berdasarkan kajian mereka dipercayai disebabkan daripada perasaan empati atau kasih pada pasangan, yang menyebabkan kita secara tak sengaja mengikut mimik muka pasangan kita. Sebagai contoh, cara senyuman seorang lelaki mungkin diikut oleh isterinya berulang kali, sehingga wajahnya tanpa sedar mengikut cara suaminya senyum.

Penyelidik menyimpulkan wujud perubahan pada ciri-ciri muka setiap pasangan yang menjadikan mereka seiras bukan kerana faktor genetik, tetapi disebabkan hubungan sosial yang berlaku di antara mereka setiap hari menyebabkan tabiat-tabiat wajah dikongsikan secara tanpa sedar. (rujukan pautan PDF)

2. Hubungan jarak jauh sebenarnya tidak ada bezanya dengan hubungan biasa

lelaki perempuan hubungan jarak jauh

Pada pandangan kita, amat sukar untuk mengekalkan hubungan jarak jauh dalam satu tempoh yang amat panjang, dengan ramai pasangan risau untuk berjauhan akan menyebabkan perpisahan.

Bagaimanapun satu kajian pada tahun 2013 oleh penyelidik Crystal Jiang dan Jeffrey Hancock mendapati banyak faktor sebenarnya membantu mengukuhkan lagi hubungan ketika berjauhan dalam tempoh yang lama.

Kajian melibatkan 67 pasangan ini berjaya membuktikan pasangan yang berjauhan lebih mempercayai satu sama lain serta merasa lebih rapat dengan pasangannya. Walaupun berdepan kesukaran untuk berkomunikasi, pasangan berjauhan lebih banyak berbual tentang perkara yang penting dalam hubungan mereka berbanding mereka yang tinggal bersama.

Berjauhan juga dikatakan membantu membina imej atau persepsi yang baik terhadap pasangan. Kajian ini menunjukkan nasihat orang ramai yang hubungan jarak jauh tidak akan berjaya, hanyalah satu mitos tanpa asas. (rujukan)

3. Menonton filem atau drama cinta membantu hubungan

tempat duduk pasangan di panggung wayang

Bagi mereka yang menghadapi kesukaran dalam perhubungan serta mahu mencari jalan memperbaiki keretakan, apa kata anda luangkan masa bersama pasangan anda menonton filem yang membawakan tema perhubungan. Kajian itu dijalankan oleh penyelidik Ronald Rogge serta pasukannya, selama 3 tahun dan diterbitkan pada tahun 2013.

Mereka mendapati kadar perceraian turun mendadak lebih separuh melibatkan pasangan yang menonton filem bersama-sama dan seterusnya berbincang tentang kandungan filem tersebut.

Perbincangan itu secara tak langsung membantu suami isteri mengenal pasti apa yang baik dan buruk dalam perhubungan mereka. Penyelidik mencadangkan agar suami isteri menonton sekurang-kurangnya lima buah filem sebulan bersama-sama berdua. (rujukan)

4. Ketahui empat perkara yang menghancurkan pasangan

suami belasah isteri

Pakar psikologi John Gottman daripada The Gottman Institute telah menjalankan kajian selama 40 tahun dalam mengenalpasti faktor-faktor utama yang menyebabkan sesuatu hubungan itu menuju kegagalan. Empat faktor itu namakan sebagai kritikan melampau, memandang rendah, terlalu defensif serta lebih gemar mengelak.

Kritikan adalah normal namun pasangan perlu belajar bagaimana membezakan kritikan yang memusnahkan dengan kritikan yang membina. Memandang rendah pula dianggap punca terbesar pasangan bercerai, kerana sifat ini akan menyebabkan satu pasangan bertindak secara sinis terhadap seorang lagi.

Selain itu Prof. Gottman juga mendapati pasangan yang saling memandang rendah satu sama lain lebih kerap dijangkiti penyakit seperti demam dan selsema.

Bagi mereka yang terlalu defensif pula hanya akan menyebabkan alasan-alasan mula digunakan bagi menutup kelemahan masing-masing dan pasangan yang lebih gemar mengelak pula takut untuk berkomunikasi. Kebiasaannya, pasangan yang kerap mengalami kritikan dan dipandang rendah akan mula memulakan tabiat ini dalam melindungi perasaannya. (rujukan)

5. Yang lebih penting sebenarnya benda-benda kecil dalam perhubungan

suami bantu isteri kerja dapur

Dalam satu kajian besar-besaran melibatkan lebih 5000 individu di United Kingdom dinamakan 'Enduring Love?' oleh The Open University dan Economic & Social Research Council UK, mendapati majoriti individu yang terlibat sebenarnya tidak mengharapkan sesuatu yang terlalu istimewa daripada pasangan mereka.

Kajian itu mendapati perkara yang paling ditagih setiap pasangan sebenarnya adalah tabiat-tabiat kecil yang kurang diendahkan, dengan majoriti peserta meletakkan ucapan terima kasih sebagai perbuatan paling berharga. Majoriti peserta juga sukakan sekiranya pasangan membawakan segelas air untuk mereka dengan bunga, hadiah atau coklat dianggap kurang penting berbanding 'hadiah' asas itu.

Bagi kaum wanita dalam kajian tersebut, majoritinya berharap agar pasangan atau suami mereka membantu menyelesaikan rutin-rutin harian di rumah seperti membasuh pinggan mangkuk atau tolong membasuh baju. Ramai peserta setuju perbuatan itu jauh lebih istimewa berbanding percubaan hendak menjadi romantik habis sekali-sekala. (rujukan pautan PDF)


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)