Sejenis gangguan yang digelar "dismorfia Snapchat" telah dikenal pasti baru-baru ini melalui sebuah penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal American Medical Association.

Kertas penyelidikan itu menggambarkan masyarakat, khususnya wanita muda, menjalani pembedahan plastik untuk membuatkan diri mereka kelihatan seperti dilihat melalui 'filter' aplikasi media sosial seperti Snapchat dan Instagram.

filter gambar pembedahan kosmetik snapchat dysmorphia

Menurut seorang pakar pembedahan kosmetik, Dr. Matthew Schulman, dismorfia tubuh ialah sejenis gangguan mental di mana seseorang menjadi terlalu obses untuk mencapai tubuh badan tanpa sebarang cacat cela.

Anda mesti ada kenalan yang sudahpun cantik tapi selalu cakap diri sendiri gemuk, dahi jendul, kulit gelap dan seumpamanya, kan? Walhal anda lihat dirinya sudah cukup sempurna serba-serbi.

Kunci utama dismorfia tubuh adalah setiap ketidaksempurnaan itu hanya dapat dilihat oleh penghidap sahaja dan tidak dapat dilihat oleh orang lain. Ini bermakna si penghidap mungkin sudahpun kelihatan menawan di mata semua orang namun masih merasakan dirinya mempunyai cacat cela kerana terlalu obses untuk cantik sempurna.

Dr. Matthew berkata, seorang pakar bedah kosmetik sepertinya seboleh-bolehnya ingin mengelakkan pesakit sebegini. Ini disebabkan tiada satu pun prosedur yang boleh dilakukan yang akan memuaskan hati penghidap dismorfia Snapchat. Hakikatnya, pesakit ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana bahagian tubuh sekalipun dan tidak memerlukan sebarang pembedahan.

selfie swafoto pembedahan plastik gangguan mental

Apa yang perlu dibimbangkan adalah kewujudan media sosial yang menjadi penyumbang utama kepada gangguan ini. Umum sudah mengetahui, kebanyakan gambar di media sosial rata-rata telah ditapis menggunakan filter aplikasi yang membuatkan kulit seseorang nampak flawless, mata lebih bundar dan hidung lebih mancung.

Filter aplikasi inilah yang membuatkan lebih ramai anak muda generasi millennial yang sanggup berjumpa dengan seorang pakar bedah kosmetik untuk mendapatkan wajah yang diidamkan seiras dalam aplikasi telefon. Generasi ini seolah-olah terputus hubungan dengan realiti kerana dimomokkan dengan wajah flawless oleh rakan sekelas, teman sekerja dan orang di sekeliling mereka. Dalam fikiran mereka, rupa paras yang diedit itulah wajah sebenar mereka di luar.

Era telefon pintar kini membuatkan semua orang ingin menjadi seorang jurugambar prolifik. Setiap hari kelihatan hampir semua orang menangkap gambar ke mana sahaja mereka pergi untuk dimuat naik ke akaun Instagram, Facebook, Snapchat dan lain-lain.

filter gambar pembedahan kosmetik snapchat dysmorphia gangguan mental

Telefon keluaran terbaru pula lebih fokus dengan binaan kamera swafoto berpiksel tinggi dilengkapi pelbagai tools dan aplikasi untuk mengedit seperti Snapseed, Facetune dan sebagainya. Jadi, sesiapa sahaja yang memiliki telefon pintar akan mempunyai akses mudah kepada 'sentuhan ajaib' untuk wajah cantik tanpa cela.

Pesakit yang datang ke klinik kosmetik sering membawa gambar selfie yang diedit untuk memberitahu doktor supaya mengubah wajah mereka menjadi sedemikian rupa.

Menurut satu tinjauan yang dijalankan oleh Akademi Pakar Bedah Kosmetik dan Pembentukan Semula Wajah Amerika pada tahun 2017, seramai 55% pakar bedah kosmetik melaporkan mereka kerap berjumpa dengan pesakit yang ingin kelihatan lebih elok dalam gambar swafoto.

filter gambar pembedahan kosmetik snapchat dysmorphia gangguan mental 2

Dr. Boris Paskhover, pakar bedah kosmetik dari Rutgers University pula memberi amaran kepada masyarakat bahawa kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah saiz hidung, bentuk mata, warna kulit, kedudukan tulang dan sebagainya.

Menurut Dr. Boris, adakalanya permintaan pesakit untuk mengubah wajah adalah tidak munasabah dan terlalu mustahil untuk dilakukan.

Mungkin sudah tiba masa kita semua untuk berhenti sejenak, ambil sedikit masa dan fikir tentang segala kebaikan serta kemaslahatan yang berpunca daripada telefon pintar dan media sosial.

Jika ada rakan atau ahli keluarga anda yang mempunyai tanda-tanda menghidap masalah gangguan psikiatrik "dismorfia Snapchat" ini, bantu mereka untuk mendapatkan rawatan kerana ini bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)