Anda ada tak kawan yang anda tahu cerdik dalam pelajaran dan kini selepas dewasa, dia sering memaparkan sifat murung serta gemar mengkritik sesuatu?

Tahu tak bahawa memang telah ada kajian yang membuktikan seseorang yang mempunyai tahap kecerdasan lebih tinggi, mempunyai kecenderungan untuk menampakkan sikap-sikap negatif dalam hidup lebih kerap...berbanding kita yang berminda biasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Terdapat beberapa teori yang mungkin menjelaskan fenomena ini. Kami harap dengan penjelasan ini, anda akan faham kenapa anda senantiasa happy go lucky.

1. Tahap kesedaran yang tinggi

orang bijak sedar masalah sekeliling

Individu ber-IQ tinggi akan mempunyai kesedaran yang lebih tinggi terhadap dunia di sekeliling mereka.

Mereka lebih peka terhadap isu-isu global, ketidakadilan sosial dan kebimbangan hidup yang boleh menyebabkan mereka merasa sedih, menjadikan mereka pasif kerana menyedari tidak banyak yang mampu mereka lakukan dengan apa yang mereka tahu.

Kesedaran yang lebih mendalam menyebabkan mereka secara individu merasa terbeban dengan masalah yang mereka tidak dapat selesaikan.

2. Terlalu banyak berfikir

overthinking isu yang dihadapi ramai individu

Dengan kebolehan kognitif yang lebih tinggi, individu ber-IQ tinggi mungkin cenderung untuk berfikir secara berlebihan dalam setiap perkara.

Semua benda mereka rasakan perlu di-analisis. Semua situasi perlu dinilai secara berterusan yang membawa kepada peningkatan tekanan dan kebimbangan, hingga ada yang terkena gejala kemurungan.

Pemikiran berlebihan ini boleh menyebabkan seseorang yang cerdik terperangkap dalam lingkaran pemikiran negatif dan mereka sukar untuk keluar daripada jerangkap itu.

3. Pengasingan sosial

orang pandai suka memencilkan diri

Satu masalah utama yang sering mereka hadapi, individu ber-IQ tinggi akan mendapati situasi sukar untuk berhubung dengan orang lain yang berkongsi minat dan kebolehan intelektual mereka.

Pengasingan ini bakal membawa mereka kepada perasaan sunyi yang merupakan faktor besar kepada kemurungan.

Kekurangan hubungan sosial yang bermakna boleh menyebabkan mereka merasa terasing dan tidak difahami oleh orang lain, kerana apabila mereka cuba menyesuaikan diri - minda mereka akan mula menghakimi situasi yang ada di depan di mata mereka, menyebabkan mereka rasa lagi elok mereka duduk sendirian saja.

4. Terlalu mengejar kesempurnaan

kenapa seorang perfectionist sukar hidup bahagia

Bila dah ter-cerdik berbanding orang lain, memang secara automatik Individu ber-IQ tinggi akan menetapkan standard yang tinggi untuk diri sendiri, menjadi lebih kritikal terhadap prestasi mereka.

Sikap 'perfectionist' ini boleh membawa kepada ketidakpuasan dan rasa gagal, walaupun secara zahirnya mereka telah mencapai kejayaan yang sukar dicapai orang lain.

Tekanan untuk mencapai kesempurnaan boleh menyebabkan mereka merasa tidak pernah cukup baik, walaupun mereka telah berjaya.

5. Kebimbangan tentang hidup

isu yang dihadapi orang genius

Individu ber-IQ tinggi juga banyak bergelut dengan soalan-soalan eksistensial dan pencarian makna dalam hidup, yang ditanyakan kepada dirinya sendiri.

Pemikiran mendalam ini boleh membawa kepada perasaan bimbang, menjadikan merasa sukar untuk mempunyai tujuan hidup yang memuaskan pemikiran, yang boleh menyebabkan individu berbakat ini rasa kekosongan dan ketidakpuasan.

6. Berhati tisu

hati tisu genius

Salah satu perkara yang jarang kita sensitif, adalah bagaimana individu ber-IQ lebih tinggi juga lebih sensitif secara emosi.

Tahap kepekaan sensitiviti ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada tekanan emosi, memperkuatkan tindak balas emosi mereka terhadap peristiwa negatif yang berlaku kepada mereka.

Orang cerdik akan merasa lebih terkesan dengan peristiwa yang mungkin tidak memberi kesan kepada orang lain, kerana jiwa mereka lebih lembut akibat terlalu peduli tentang setiap perkara.

7. Takut dilihat tidak normal

masalah yang dihadapi genius

Salah satu sebab kenapa kita jarang peduli tentang tahap kesihatan orang genius, adalah kerana kita punya stigma, bahawa orang yang pandai mestilah akan mempunyai imej yang profesional serta kelihatan berjaya.

Oleh sebab itulah individu ber-IQ tinggi akan mendesak diri sendiri untuk konsisten mengekalkan imej positif, menjadikan mereka sendiri sukar mencari bantuan walaupun realitinya mereka memerlukannya.

Stigma yang ada pada diri sendiri dan juga orang disekeliling mereka ini boleh menghalang mereka daripada mendapatkan sokongan yang diperlukan, memperburukkan lagi masalah kesihatan mental mereka.

Apa boleh kita buat?

Walaupun ada bukti saintifik dan akademik yang menyokong idea bahawa individu cerdas mungkin lebih terdedah kepada isu kesihatan mental, adalah penting untuk diperjelaskan bahawa kesihatan mental adalah isu yang kompleks dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti genetik, persekitaran, dan pengalaman peribadi.

Tidak semua individu ber-IQ tinggi akan mengalami kesedihan atau kemurungan, dan banyak faktor boleh membantu seseorang yang bijaksana hidup dengan bahagia dan ceria macam orang biasa, seperti kita.

Di kalangan individu ber-IQ tinggi pun ramai yang ada kemahiran penyelesaian masalah yang tinggi, membantu mereka menangani cabaran akibat mental terlebih pandai. Akses kepada rangkaian sokongan sosial seperti keluarga juga mampu mengurangkan risiko kemurungan.

Jika anda seorang genius atau seseorang yang anda kenali sebagai sangat cerdik, sedang bergelut dengan isu kesihatan mental, adalah penting untuk mencari bantuan profesional dan sokongan - tak kiralah sepandai mana anda sekalipun.

Tak payah fikir panjang! Terus segera dapatkan bantuan kerana minda pandai sekalipun perlu ditenangkan agar anda dapat hidup sama macam orang biasa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)