Mengapa Yunani purba tanpa teknologi tinggi, terus mempesonakan kita yang hidup di zaman moden?
Adakah kita sangat tertarik dengan dengan keburukan budaya mereka atau adakah kita lebih suka menumpukan perhatian kepada kehidupan mereka yang kaya?
Kebanyakan apa yang kita tahu tentang orang-orang Yunani kuno datang melalui kesusasteraan, komedi dan puisi mereka, serta melalui karya seni mereka yang menggambarkan adegan kehidupan seharian.
BESARKAN TEKS A- A+
Penggalian arkeologi memberikan kita gambaran yang lebih mendalam mengenai bagaimana mereka hidup dan menyembah.
Melalui karya cendekiawan yang tidak berkesudahan, kita dapat menyatukan misteri Yunani purba. iluminasi.com kongsikan 9 fakta dahsyat mengenai Yunani purba yang anda tak tahu.
9. Hampir semua keluarga memiliki hamba
Hampir setiap keluarga pada zaman Yunani purba memiliki hamba. Malah, dipercayai bahawa hanya mereka yang dikategorikan sebagai paling miskin di antara yang termiskin sahaja tidak memiliki hamba.
Bagi golongan yang miskin biasa, mereka sekurang-kurangnya mempunyai seorang hamba.
Keluarga kelas menengah boleh memiliki dari 3 hingga 12 orang hamba, bergantung kepada lokasi tempat tinggal mereka dan sumber utama pendapatan keluarga mereka.
Perkara pertama dan yang paling penting adalah hamba-hamba ini mewakili kekayaan keluarga yang memiliki mereka. Hamba dianggap simbol status dan memiliki hamba yang taat dan patuh adalah satu matlamat bagi kebanyakan keluarga Yunani.
Hamba-hamba ini akan bekerja untuk keluarga yang dimilikinya dan untuk menjadikan kehidupan orang Yunani lebih mudah.
Hamba akan melayani keperluan peribadi pemilik mereka, membersihkan, memasak, dan bahkan membesarkan anak-anak mereka.
Kebanyakan hamba terdiri daripada orang asing yang ditangkap dalam peperangan atau diculik dari rumah mereka oleh lanun dan pedagang hamba.
Juga terdapat hamba-hamba dari orang Yunani namun ia agak jarang berbanding hamba asing. Kanak-kanak Yunani yang terbiar kadang-kala dijadikan hamba.
8. Hamba diseksa di mahkamah
Rakyat yang bebas dianggap sebagai golongan manusia yang lebih tinggi daripada hamba. Menurut undang-undang, ia diakui bahawa rakyat bebas boleh berbohong untuk menyelamatkan diri mereka sendiri.
Walau bagaimanapun, hamba dianggap sama tahap dengan haiwan ternakan dan apabila diseksa, mereka tidak mampu bercakap bohong.
Dalam kes sivil dan jenayah, hamba-hamba orang Yunani boleh diseksa untuk mendapatkan "kebenaran". Hamba diletakkan di atas rak atau roda, kemudiannya disebat.
Orang-orang Yunani percaya bahawa kebenaran tersembunyi di dalam tubuh badan hamba mereka. Hamba-hamba melihat dan mengetahui semua yang perlu diketahui mengenai tuan mereka.
Mereka mempamerkan kekayaan tuan mereka dan mereka juga boleh membawa kehancuran kepada seluruh isi rumah.
Adalah tidak dapat dibayangkan untuk melihat rakyat bebas diseksa di dalam mahkamah, namun ia juga dipercayai bahawa rakyat bebas mempunyai kurniaan akal logik.
Apa-apa keterangan yang diberikan oleh seorang rakyat yang bebas akan diambil kira, namun bagi seorang hamba, dia akan diseksa untuk memberitahu kebenaran tanpa menyedari dia akan berbuat demikian.
7. Perkahwinan dan mempunyai anak adalah satu kewajipan
Orang-orang Yunani kuno tidak berkahwin atas dasar cinta. Sebaliknya, perkahwinan dianggap sebagai kewajipan setiap warganegara bebas dari Yunani.
Pihak bapa akan mengatur perkahwinan anak perempuan dan anak lelaki mereka. Biasanya, anak-anak perempuan telah ditunangkan ketika mereka masih bayi.
Apabila sudah tiba masanya untuk mengambil alih peranan sebagai suami dan isteri, anak-anak perempuan biasanya berusia 15 tahun dan anak-anak lelaki berusia 30 tahun.
Selepas perkahwinan selesai, pasangan itu dijangka untuk mempunyai anak sebanyak yang mungkin. Anak-anak ini kemudiannya akan menjadi tentera, pekerja dan sekali lagi, ibu bapa untuk generasi akan datang.
Pernikahan Yunani sangat mudah berlaku dalam keluarga kaya. Hasrat keluarga untuk mengekalkan kedudukannya adalah motivasi yang kuat dalam mengatur perkahwinan dan terdapat banyak kes di mana sepupu, bapa saudara dan anak saudara dikahwinkan antara satu sama lain.
Malah di Sparta, undang-undang membolehkan adik-beradik yang berkongsi ibu yang sama untuk berkahwin dengan satu sama lain.
Dengan cara ini, wang dan harta yang dimiliki oleh keluarga tidak akan terbahagi dan disimpan dalam kalangan keluarga.
6. Khidmat ketenteraan
Sementara suri rumah adalah satu-satunya pekerjaan yang dapat diterima bagi wanita Yunani kuno, golongan lelaki pula dijangka untuk berkhidmat sebagai askar.
Di negeri Athens, setiap rakyat lelaki wajib untuk menjalani perkhidmatan mandatori selama dua tahun. Di negeri Sparta, menjadi seorang askar adalah satu-satunya pekerjaan yang disediakan bagi rakyat lelaki.
Kanak-kanak lelaki dari Sparta meninggalkan rumah mereka pada usia 7 tahun dan mula masuk ke berek tentera. Kehidupan mereka di berek dikatakan sangat kejam.
Mereka sering kelaparan dan digalakkan mencuri makanan jika mahu makan. Walau bagaimanapun, jika budak lelaki itu ditangkap mencuri makanan, mereka akan dipukul.
Tak cukup dengan itu, mereka seringkali dipukul sehingga berdarah. Tujuannya adalah untuk menjadikan kanak-kanak ini kental sehingga mereka berusia 20 tahun dan bersedia untuk berkhidmat sebagai seorang tentera.
Sementara rakyat lelaki berkhidmat dalam ketenteraan, hamba-hamba pula dikerah untuk menanam tanaman, membina, dan melakukan kerja perdagangan.
Malah, semua kerja yang diperlukan untuk menjadikan Sparta berkembang sebagai negara bandar dilakukan oleh hamba-hamba yang ditawan oleh Sparta semasa kempen ketenteraan mereka.
5. Pendidikan golongan wanita
Sepanjang zaman purba Yunani, gadis tidak diberi pendidikan formal. Walaupun kanak-kanak lelaki dihantar ke sekolah, kanak-kanak perempuan pula akan diajar cara bagaimana untuk menjadi suri rumah daripada ibu mereka.
Sesetengah keluarga yang kaya akan menyewa tutor untuk mengajar anak perempuan mereka untuk membaca dan menulis, tetapi pengetahuan itu pada umumnya tidak diajar kepada kebanyakan wanita.
Di Sparta, kanak-kanak perempuan diperlakukan dengan cara yang berbeza berbanding di negeri lain di seluruh negara.
Ketika kanak-kanak lelaki dihantar ke berek untuk menjadi tentera, kanak-kanak perempuan diberi pendidikan awam dalam mitologi, falsafah, dan kesusasteraan.
Mereka juga diajar untuk menyanyi, menari dan dibenarkan untuk mengekspresikan diri mereka secara kreatif.
Wanita Spartan juga tidak digalakkan untuk menjalani kehidupan yang tidak aktif seperti wanita di Athens.
Sebaliknya, kaum Spartan sangat percaya bahawa untuk wanita menghasilkan anak lelaki yang kuat, mereka juga mesti kuat dan aktif.
Hamba digunakan untuk menjaga rumah dengan teratur manakala wanita Spartan mengambil bahagian dalam latihan dan sukan olahraga yang berat.
4. Pelbagai jenis pengorbanan dan penawaran
Agama adalah asas kepada cara hidup Yunani dan mereka menyatakan kepercayaan mereka dalam pelbagai cara.
Terdapat perayaan bulanan, perayaan tahunan, jamuan dan pertandingan di mana semua orang dibenarkan untuk meraikannya kecuali para hamba.
Salah satu ciri umum penyembahan mereka adalah dengan melakukan korban dan persembahan. Terdapat dua jenis pengorbanan yang berbeza.
Yang pertama adalah pengorbanan darah. Ia dilakukan dengan membunuh seekor haiwan secara ritual dan kemudiannya dimakan. Sebahagian daripada haiwan yang disembelih itu ditawarkan kepada tuhan-tuhan mereka.
Tuhan-tuhan lelaki menerima persembahan haiwan jantan manakala tuhan-tuhan perempuan menerima persembahan wanita.
Pengorbanan tanpa darah dilakukan dengan menggunakan sayur-sayuran dan biji-bijian yang ditawarkan kepada para dewa. Pengorbanan yang tidak berdarah ini dibakar di atas mezbah.
3. Bir adalah minuman wanita
Orang-orang Yunani kuno tidak peduli dengan bir. Mereka menganggap minuman ini bersifat perempuan dan lebih menyukai wain dalam setiap hidangan makanan mereka.
Apa yang menarik tentang wain mereka adalah bahawa ia lebih kuat daripada wain yang wujud pada hari ini. Dengan kandungan alkohol yang lebih tinggi, wain kuno juga lebih manis daripada biasa.
Oleh itu, orang-orang Yunani purba mencairkan wain mereka sebelum meminumnya.
Wain yang tidak dicairkan dianggap sebagai tidak sihat untuk diminum manakala wain yang dicarikan dilihat sebagai ubat, terutama apabila ia bercampur dengan ramuan aromatik atau madu.
2. Mangkuk kencing dan etika membuang air di luar
Lelaki dan wanita Yunani kuno menggunakan mangkuk kencing yang berasingan di dalam rumah mereka. Mangkuk kencing lelaki mempunyai pembukaan di hadapan dan wanita menggunakan periuk berbentuk bot.
Mangkuk-mangkuk ini akan dikosongkan dengan membuang kandungannya ke jalanan.
Terdapat juga mangkuk kencing untuk bayi yang mengandungi dua lubang untuk kaki dan satu lubang di tempat duduk supaya bayi itu tidak terjatuh.
Walau bagaimanapun, ia dipercayai bahawa terdapat beberapa cara dalam menyelesaikan urusan kencing bayi. Biasanya, orang di bandar-bandar akan memegang bayi mereka ke luar tingkap dan membiarkan bayi mereka kencing ke jalan di bawah.
Menurut Hesiod, penyair Yunani yang terkenal, terdapat peraturan apabila melibatkan membuang air kecil di luar rumah. Lelaki tidak sepatutnya kencing di luar ketika menghadap matahari kerana dianggap menyinggung tuhan matahari.
Hesiod juga percaya bahawa lelaki yang baik harus duduk atau menggunakan dinding jauh dari jalan raya kerana para dewa berjalan di antara orang ramai dan mungkin tersinggung dengan pemandangan buruk itu.
1. Najis yang berlonggokan
Sudah tentu, tak ramai orang yang mendengar apa yang dikatakanoleh Hesiod mengenai tabiat membuang air, membuatkan mereka terus menggunakan jalan-jalan sebagai tempat membuang najis mereka.
Hakikatnya, tidak ada tandas awam di zaman purba Yunani dan juga tidak ada paip dalaman. Orang Yunani harus melakukan sesuatu dengan najis mereka dan jalan-jalan adalah tempat yang paling mudah untuk membuangnya.
Di bandar-bandar yang sesak, seperti Athens purba, pembuangan najis di tempat awam adalah tersangat dahsyat.
Malah, kerana terlalu banyak orang yang membuang najis keluar dari tingkap dan pintu mereka, jalan-jalan di Athens ditimbuni najis setinggi buku lali di beberapa tempat.
Lelaki, wanita, kanak-kanak dan ternakan terpaksa melalui jalan raya yang becak dengan najis dan menyeretnya ke rumah mereka, serta minum air dan makanan yang tercemar.
Maka tak hairanlah bahawa penyakit dan epidemik berleluasa di bandar-bandar Yunani purba.
Rujukan:
1. Revolvy
2. Crystalinks
3. Ancient