Batu karang adalah koleksi garam dan mineral yang biasanya terdiri daripada kalsium atau asid urik. Ia terbentuk di dalam buah pinggang dan boleh bergerak ke bahagian saluran kencing yang lain.

Saiz batu karang adalah berbeza-beza. Sesetengah daripadanya boleh bersaiz sebesar sebutir garam manakala ada yang boleh membesar sehingga beberapa inci.

Bagi batu karang yang sangat besar, ia boleh memenuhi seluruh ruang dalam buah pinggang. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Batu karang terbentuk apabila terlalu banyak mineral tertentu dalam tubuh terkumpul dalam air kencing.

penyakit buah pinggang sangat menyakitkan

Apabila tubuh tidak terhidrat dengan baik, air kencing anda menjadi lebih pekat dalam mineral tertentu dengan paras yang lebih tinggi.

Apabila tahap mineral menjadi lebih tinggi, kemungkinan besar batu karang akan terbentuk.

Masalah batu karang lebih biasa dialami dalam kalangan lelaki, lebih-lebih lagi mereka yang ada masalah obesiti dan diabetes.

Batu karang bersaiz kecil yang kekal dalam buah pinggang biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala.

Anda mungkin tidak akan menyedari kehadirannya sehinggalah batu karang tersebut bergerak ke dalam ureter anda, iaitu tiub di mana air kencing bergerak untuk berpindah dari buah pinggang ke pundi kencing.

batu karang dalam buah pinggang 2

Biasanya, batu karang menyebabkan kesakitan yang dahsyat. Kebanyakan batu karang akan melepasi saluran kencing ini dan keluar tanpa sebarang rawatan.

Namun jika ia tidak dapat melalui saluran kencing, maka anda perlu menjalani prosedur untuk memecahkan batu karang atau mengeluarkannya dengan cara pembedahan.

iluminasi.com kongsikan 8 tanda dan gejala bahawa anda mungkin mempunyai batu karang.

1. Sakit bahagian belakang, sisi atau perut 

sakit pada perut atau belakang mungkin tanda anda ada batu karang 598

Sakit buah pinggang atau juga dikenali sebagai rolik buah pinggang, adalah salah satu jenis sakit yang paling teruk boleh dialami.

Sesetengah orang yang pernah mengalaminya membandingkan kesakitan ini dengan kesakitan melahirkan anak atau ditikam dengan pisau.

Kesakitan ini sangat dahsyat sehinggakan cukup untuk membuatkan 1 juta orang dimasukkan ke hospital setiap tahun.

Biasanya, kesakitan ini bermula apabila batu karang bergerak ke ureter yang sempit. Ini akan menyebabkan ureter tersumbat, yang mana membuatkan tekanan terbina dalam buah pinggang.

Tekanan ini mengaktifkan gentian saraf yang menghantar isyarat sakit ke otak. Sering kali, kesakitan daripada batu karang ini berlaku secara tiba-tiba. 

Ketika batu-batu ini bergerak, lokasi dan tahap kesakitannya juga akan berubah.

Kesakitan sering datang dan pergi dalam berganti-ganti seperti "gelombang", yang menjadi lebih teruk dengan pengecutan ureter kerana ia cuba untuk menolak batu itu keluar.

Setiap sesi kesakitan mungkin berlangsung selama beberapa minit, hilang, dan kemudian kembali lagi.

Kesakitan mungkin boleh dirasai pada bahagian perut dan buah zakar apabila batu karang ini bergerak ke bawah melalui saluran kencing.

Batu-batu besar boleh menyebabkan kesakitan yang lebih berbanding batu kecil, tetapi tahap kesakitan tidak semestinya dipengaruhi oleh saiz batu.

Batu kecil juga boleh menyebabkan kesakitan yang dahsyat apabila ia bergerak atau menyebabkan saluran tersumbat.

2. Rasa sakit atau terbakar ketika kencing

rasa sakit ketika kencing mungkin tanda ada batu karang

Sebaik sahaja batu sampai ke persimpangan di antara ureter dan pundi kencing, anda akan mula merasa sakit apabila anda membuang air kecil. Proses ini dikenali sebagai disuria.

Kesakitan boleh dirasakan seperti tajam atau terbakar. Jika anda tidak tahu bahawa anda mempunyai batu karang, anda mungkin tersalah anggap ia adalah jangkitan saluran kencing.

Kadang-kala, anda boleh mengalami jangkitan bersama-sama batu karang. 

3. Terdesak dan kerap kencing

kerap kencing mungkin tanda batu karang

Perlu pergi ke tandas dengan segera atau lebih kerap daripada biasa merupakan satu lagi tanda bahawa batu tersebut telah berpindah ke bahagian bawah saluran kencing anda.

Anda mungkin mendapati diri anda terpaksa terkejar-kejar ke tandas, atau terpaksa pergi ke tandas secara berterusan sepanjang siang dan malam.

Kerap kencing juga boleh menyerupai gejala-gejala jangkitan saluran kencing simptom.

4. Darah dalam air kencing

hematuria

Kehadiran darah dalam air kencing adalah gejala biasa pada orang-orang yang mempunyai batu saluran kencing. Gejala ini juga dikenali sebagai hematuria.

Warna darah boleh menjadi merah, merah jambu, atau coklat.

Kadangkala sel-sel darah ini terlalu kecil untuk dilihat tanpa mikroskop, yang disebut sebagai hematuria mikroskopik.

Namun, doktor boleh melakukan ujian bagi gejala ini.

5. Air kencing kabur atau berbau

air kencing berbau atau kabur mungkin tanda batu karang

Air kencing yang sihat adalah jelas dan tidak mempunyai bau yang kuat.

Air kencing yang kabur atau berbau busuk boleh menjadi tanda jangkitan dalam buah pinggang anda atau bahagian lain saluran kencing anda.

Satu kajian mendapati bahawa kira-kira 8% daripada orang yang mempunyai batu karang akut mempunyai jangkitan saluran kencing.

Kekaburan adalah tanda kehadiran nanah dalam air kencing, atau pyuria.

Bau busuk yang hadir boleh berasal dari bakteria yang menyebabkan jangkitan pada saluran kencing. Bau ini juga mungkin berasal dari air kencing yang lebih pekat daripada biasa.

6. Kencing sikit-sikit atau tersekat

kencing sikit sikit mungkin tanda batu karang

Batu karang yang bersaiz besar kadang-kala boleh tersekat di dalam ureter. Penyumbatan ini boleh memperlahankan atau menghentikan aliran air kencing.

Jika anda mengalami penyumbatan, anda mungkin hanya boleh kencing sedikit demi sedikit. Jika aliran air kencing terhenti sepenuhnya, ia merupakan satu kecemasan perubatan.

7. Mual dan muntah

rasa mual dan muntah mungkin tanda batu karang

Adalah menjadi perkara biasa bagi orang-orang yang mempunyai batu karang untuk mengalami rasa loya atau muntah. 

Gejala-gejala ini berlaku kerana terdapat sambungan saraf bersama antara buah pinggang dan saluran gastrousus.

Batu-batu dalam buah pinggang boleh memicu saraf dalam saluran gastrousus, yang menyebabkan rasa perut yang tidak enak.

Mual dan muntah juga boleh menjadi cara tubuh kita untuk bertindak balas terhadap rasa sakit yang teruk.

8. Demam dan menggigil

demam dan menggigil mungkin tanda batu karang

Demam dan rasa menggigil adalah tanda-tanda bahawa anda mempunyai jangkitan pada buah pinggang atau bahagian lain pada saluran kencing anda.

Ini boleh menjadi komplikasi serius kepada batu karang. Ia juga boleh menjadi tanda kepada masalah serius lain selain batu karang.

Apa sahaja jenis demam dengan rasa sakit memerlukan rawatan perubatan segera.

Demam yang berlaku bersama-sama jangkitan biasanya agak tinggi iaitu 38˚C atau lebih. Menggigil atau menggeletar sering berlaku bersama-sama dengan demam.

Kesimpulan

Jika anda mempunyai mana-mana gejala yang disebutkan di atas, segeralah berjumpa dengan doktor.

Dapatkan bantuan perubatan dengan cepat jika anda mempunyai gejala-gejala di bawah, yang boleh menunjukkan bahawa anda mempunyai jangkitan atau komplikasi serius lain:

  1. Rasa sakit yang teramat sehinggakan anda tidak selesa
  2. Mual, muntah, demam, atau menggigil dengan rasa sakit
  3. Darah dalam air kencing
  4. Kesukaran untuk kencing

Rujukan:

1. Healthline

2. Mayo Clinic

3. Kidney Fund




Hakcipta iluminasi.com (2017)