Biasanya, batu karang tidak mempunyai sebab yang pasti, namun terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko ia terbentuk.

Batu buah pinggang terbentuk apabila air kencing anda mengandungi bahan pembentuk kristal seperti kalsium, oksalat dan asid urik, berlebihan yang tidak mampu dicairkan oleh air kencing.

Pada masa yang sama, air kencing anda mungkin kekurangan zat-zat yang menghalang kristal daripada melekat bersama, mewujudkan persekitaran yang ideal untuk membentuk batu karang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jenis-jenis batu karang

Untuk mendapatkan petunjuk tentang bagaimana untuk mengurangkan risiko pengulangan batu karang pada masa akan datang, adalah penting untuk kita mengetahui jenis-jenis batu karang yang ada.

Jika boleh, cuba untuk simpan batu karang yang keluar agar anda boleh merujuknya kepada doktor. Antara jenis-jenis batu karang adalah: 

1. Batu kalsium

batu kalsium batu karang

Kebanyakan batu karang adalah batu kalsium, biasanya dalam bentuk kalsium oksalat. Oksalat adalah bahan semulajadi yang terdapat dalam makanan dan juga dihasilkan setiap hari oleh hati anda.

Sesetengah buah-buahan dan sayur-sayuran, serta kekacang dan coklat, mempunyai kandungan oksalat yang tinggi.

Faktor diet, dos vitamin D yang tinggi, pembedahan pintasan usus dan beberapa gangguan metabolik dapat meningkatkan kepekatan kalsium atau oksalat dalam air kencing.

Batu kalsium juga boleh berlaku dalam bentuk kalsium fosfat. Batu jenis ini lebih biasa berlaku akibat masalah metabolik, seperti renal tubular acidosis.

Ia juga boleh dikaitkan dengan sakit kepala migrain tertentu atau dengan mengambil ubat sawan tertentu, seperti topiramate (Topamax).

2. Batu Struvite

jenis batu karang batu struvite

Batu-batu Struvite merupakan tindak balas terhadap jangkitan, seperti jangkitan saluran kencing.

Batu-batu ini boleh tumbuh denga cepat dan menjadi agak besar, kadang-kala dengan tanda-tanda yang kecil atau tiada amaran.  

3. Batu asid urik

jenis jenis batu karang 268

Batu asid urik boleh terbentuk bagi orang yang tidak minum cecair yang mencukupi atau yang kehilangan terlalu banyak cecair, mereka yang makan makanan berprotein tinggi dan mereka yang mempunyai masalah gout.

Faktor genetik tertentu juga boleh meningkatkan risiko batu asid urik.

4. Batu cystine

batu karang jenis batu cystine

Di antara kesemua jenis batu karang, batu cystine dan batu asid urik kelihatan paling menggerunkan kerana ia mempunyai sisi yang tajam.

Batu-batu ini terbentuk pada orang yang mempunyai gangguan keturunan yang menyebabkan buah pinggang mengeluarkan terlalu banyak asid amino tertentu (cystinuria).

Penyebab berlakunya pembentukan batu karang

1. Kekurangan air

kekurangan air boleh sebabkan batu karang terbentuk

Badan kita perlu menghasilkan air kencing yang mencukupi untuk mencairkan bahan-bahan yang boleh bertukar menjadi batu.

Sekiranya anda tidak minum air dengan cukup atau berpeluh terlalu banyak, air kencing anda akan kelihatan gelap, yang mana sepatutnya berwarna kuning pucat atau jelas.

Sekiranya anda pernah mengalami batu karang sebelum ini, anda harus menghasilkan kira-kira 8 cawan air kencing sehari.

Oleh itu, cuba untuk minum kira-kira 10 cawan air setiap hari, kerana badan anda kehilangan cecair melalui perpeluhan dan pernafasan.

Juga, cuba untuk minum minuman sitrus kerana sitrat dalam buah-buahan seperti lemon atau orange boleh menghalang batu daripada membentuk.

2. Pemakanan

makanan tinggi oksalat bentuk batu karang

Apa yang anda makan setiap hari boleh memainkan peranan yang penting dalam sama ada anda mendapat batu karang atau tidak.

Jenis batu karang yang paling biasa berlaku apabila kalsium dan oksalat melekat bersama ketika buah pinggang anda menghasilkan air kencing.

Oksalat adalah bahan kimia yang terdapat dalam banyak makanan dan sayuran yang sihat.

Doktor anda mungkin memberitahu anda untuk menghadkan makanan tinggi oksalat jika anda mempunyai batu jenis ini sebelum ini. Antara sayur-sayuran dan makanan tersebut termasuklah:

  1. Bayam
  2. Coklat
  3. Kopi
  4. Produk soya
  5. Rhubarb
  6. Kacang badam dan gajus
  7. Kentang bakar dengan kulit
  8. Serbuk koko
  9. Kentang goreng
  10. Raspberi
  11. Pemanis Stevia
  12. Ubi keledek

Anda mungkin pernah mendengar bahawa minum susu boleh menyebabkan batu karang dan ini tidak benar.

Jika anda makan atau minum makanan kaya kalsium (seperti susu dan keju) dan makanan dengan oksalat pada masa yang sama, ia membantu badan anda mengendalikan oksalat dengan lebih baik.

Ini kerana kedua-dua bahan ini cenderung untuk terikat bersama di usus dan bukan di dalam batu karang, di mana batu boleh terbentuk.

3. Pengambilan natrium berlebihan

makan garam berlebihan boleh sebabkan batu karang

Biasanya, kita mengambil sodium melalui garam dapur atau garam masakan. Natrium atau sodium boleh meningkatkan peluang anda untuk mendapat beberapa jenis batu karang.

Jadi, cuba pantau pengambilan makanan masin, makanan dalam tin, daging yang dibungkus dan makanan yang diproses lain.

4. Terlalu banyak protein haiwan 

protein haiwan boleh sebabkan batu karang

Satu lagi jenis batu karang membentuk apabila air kencing anda terlalu berasid.

Daging merah dan makanan laut bercangkerang boleh membuatkan asid urik dalam badan anda meningkat.

Ini boleh terkumpul di sendi dan menyebabkan gout atau pergi ke buah pinggang anda dan membentuk batu.

Lebih penting lagi, protein haiwan menaikkan kadar kalsium dalam air kencing anda dan mengurangkan jumlah sitrat, yang mana kedua-dua ini menggalakkan pembentukan batu karang.

5. Masalah usus

masalah usus sebabkan batu karang

Batu karang adalah masalah buah pinggang yang paling biasa berlaku dalam kalangan orang dengan penyakit radang usus seperti penyakit Crohn dan ulcerative colitis.

Masalah usus boleh membuatkan anda cirit-birit, jadi badan anda kurang menghasilkan air kencing.

Tubuh anda mungkin menyerap oksalat tambahan dari usus, jadi lebih banyak akan berada dalam air kencing anda.

6. Obesiti 

obesiti boleh sebabkan batu karang

Ramai yang tidak mengetahui bahawa berat badan boleh mempengarui pembentukan batu karang.

Jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti, peluang anda untuk mendapat batu karang adalah dua kali ganda berbanding orang normal.

Cuba untuk kurangkan berat badan jika keluarga anda mempunyai sejarah penyakit batu karang.

Pembedahan berat badan boleh membantu anda mengurangkan berat badan dan meningkatkan kesihatan anda.

Tetapi kajian mencadangkan bahawa orang yang menjalani pemberahan penurunan berat badan yang paling biasa dilakukan iaitu pintasan gastrik Roux-en-Y, akan mempunyai peningkatan risiko batu karang.

Namun, tak semua pembedahan menurunkan berat badan membawa risiko ini, hanya yang menyebabkan penyerapan bahan makanan yang tidak sempurna oleh usus kecil.

7. Masalah perubatan lain

masalah gout boleh sebabkan batu karang

Banyak penyakit dapat menggalakkan satu atau lebih jenis batu karang untuk membentuk, termasuklah:

  1. Sesetengah penyakit genetik - Salah satu contohnya adalah medullary sponge kidney, kecacatan kelahiran yang menyebabkan cyst membentuk dalam buah pinggang.
  2. Diabetis jenis 2 - Ia boleh menjadikan air kencing anda lebih berasid, yang menggalakkan pembentukan batu karang.
  3. Gout - Masalah ini menjadikan asid urik membina darah dan membentuk kristal dalam sendi dan buah pinggang. Batu-batu karang ini boleh menjadi besar dan sangat menyakitkan.
  4. Hiperparatiroidisme - Kelenjar paratiroid anda boleh mengeluarkan terlalu banyak hormon, yang meningkatkan kadar kalsium dalam darah dan air kencing anda.
  5. Asidosis tiub renal - Masalah buah pinggang ini menyebabkan terlalu banyak asid terbina di dalam badan.

8. Ubat-ubatan

antibiotik tertentu boleh sebabkan batu karang

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan batu karang termasuklah:

  1. Antibiotik tertentu - termasuklah ciprofloxacin dan antibiotik sulfa
  2. Sesetengah ubat-ubatan untuk merawat HIV dan AIDS
  3. Diuretik tertentu yang digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi. Tetapi sesetengah diuretik jenis thiazide sebenarnya membantu mencegah batu karang.

Cara-cara untuk mencegah pembentukan batu karang

cara cegah batu karang

Melalui penerangan di atas, boleh disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara untuk kita menghalang pembentukan batu karang.

Antaranya termasuklah:

  1. Minum air masak secukupnya
  2. Makan lebih banyak makanan kaya kalsium
  3. Kurangkan pengambilan garam
  4. Kurangkan pengambilan makanan kaya oksalat
  5. Kurangkan pengambilan protein haiwan
  6. Elakkan suplemen vitamin C

Rujukan:

1. Mayo Clinic

2. WebMD

3. Medical News Today




Hakcipta iluminasi.com (2017)