Manusia zaman moden bergelut dengan masalah berat badan dan penyakit yang dikaitkan dengannya berbanding manusia pada zaman dahulu.
Ini kerana makanan yang ada pada hari ini sangatlah tidak sihat dan hanya memuaskan nafsu sahaja. Makanan yang anda makan setiap hari boleh memberikan kesan yang sangat besar kepada berat badan.
BESARKAN TEKS A- A+
Makanan seperti minyak kelapa dan telur dapat membantu mengurangkan berat badan. Tetapi makanan yang diproses dan ditapis, boleh menyebabkan pertambahan berat badan dengan mudah.
iluminasi.com kongsikan 8 makanan yang perlu dielakkan jika anda ingin kurangkan berat badan.
1. Kentang goreng atau kerepek kentang
Ubi kentang adalah makanan yang sihat dan mengenyangkan, tetapi kentang goreng dan kerepek kentang tidak. Kedua-dua jenis makanan dari sumber kentang ini sangat tinggi kalori dan mudah untuk anda makan terlalu banyak.
Dalam kajian pemerhatian, memakan kentang goreng dan kerepek kentang dikaitkan dengan kenaikan berat badan.
Satu kajian juga mendapati bahawa kerepek kentang boleh menyumbang kepada peningkatan berat badan bagi setiap hidangan berbanding makanan lain.
Kentang goreng pula digoreng dalam minyak yang banyak sekaligus menambahkan kalori dengan mudah.
Malah kentang bakar, panggang atau kentang goreng mungkin mengandungi bahan penyebab kanser yang dikenali sebagai acrylamides. Oleh itu, sebaiknya-baiknya makan kentang biasa yang direbus.
2. Minuman bergula
Minuman bergula seperti soda, adalah salah satu makanan yang paling tidak sihat di Bumi. Ia sangat dikaitkan dengan kenaikan berat badan dan boleh mendatangkan kesan buruk apabila diambil dalam jumlah yang berlebihan.
Walaupun minuman bergula mengandungi banyak kalori, otak anda tidak mengesannya seperti mana makanan pepejal.
Kalori cair bergula tidak membuatkan anda berasa kenyang dan anda tidak akan makan makanan dalam jumlah yang kurang untuk mengimbangi pengambilan kalori secara keseluruhan.
Sebaliknya, anda akan menambah kalori melebihi pengambilan biasa anda. Jika anda serius ingin kuruskan badan, anda harus berhenti daripad minum minuman bergula sepenuhnya.
3. Roti putih
Roti putih dihasilkan melalui penapisan yang tinggi dan sering mengandungi banyak gula tambahan. Ia memiliki indeks glisemik (GI) yang tinggi dan boleh meningkatkan kadar gula darah anda.
Satu kajian melibatkan 9,267 orang mendapati bahawa memakan dua keping (120 gram) roti putih sehari dikaitkan dengan risiko berat badan sebanyak 40% dan obesiti.
Mujurlah terdapat banyak alternatif yang sihat bagi menggantikan roti gandum biasa seperti roti penuh gandum.
Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa semua roti gandum mengandungi gluten.
4. Kebanyakan jus buah-buahan
Kebanyakan jus buah-buahan yang anda dapati di pasar raya hanya mempunyai sedikit persamaan sahaja dengan buah-buahan sebenar.
Jus buah adalah minuman yang diproses dan ditambah gula. Malah, ia boleh mengandungi jumlah gula seperti mana air soda, dan mungkin lebih.
Juga, jus buah biasanya tidak mengandungi serat dan tidak memerlukan kunyahan.
Ini bermakna bahawa segelas jus oren tidak akan mempunyai kesan seperti mana oren sebenar, menjadikannya mudah untuk diminum kuantiti yang banyak dalam masa yang singkat.
Jika anda ingin minum jus buah-buahan, pilihan terbaik adalah menghasilakannya sendiri menggunakan buah-buahan sebenar.
5. Pastri, biskut dan kek
Pastri, biskut dan kek biasanya penuh dengan bahan-bahan yang tidak sihat seperti gula tambahan dan tepung halus.
Makanan seperti ini juga mungkin mengandungi lemak trans buatan, yang sangat berbahaya dan dikaitkan dengan banyak penyakit.
Kesemua makanan ini tidak begitu mengenyangkan dan anda mungkin akan menjadi lapar semula dengan cepat selepas memakan makanan berkalori tinggi dan rendah nutrien ini.
Oleh itu, membuatkan anda makan dalam jumlah yang banyak. Sekiranya anda ingin sesuatu yang manis, cuba untuk makan sekeping coklat gelap (dark chocolate).
6. Alkohol
Bagi yang tak tahu, setiap 1 gram karbohidrat dan protein masing-masing mengandungi 4 kalori, dan 1 gram lemak pula mengandungi 9 kalori. Disebabkan ini lemak lebih mudah menyumbang kepada tinggi kalori sekaligus menggemukkan.
Namun, alkohol juga mengandungi kalori iaitu 7 kalori bagi setiap gram, lebih tinggi daripada karbohidrat dan protein.
Minum alkohol dalam jumlah sederhana tidak memberi apa-apa masalah kepada berat badan namun jika diminum secara berlebihan, ia dikaitkan dengan kenaikan berat badan.
Jenis alkohol juga memainkan peranan di mana bir boleh menyebabkan pertambahan berat badan.
7. Ais krim
Siapa tak sukakan ais krim, kan? Namun, ia adalah makanan yang sangat tidak sihat. Air krim mengandungi tinggi kalori dan kebanyakannya ditambah dengan gula yang sangat banyak.
Memakan ais krim sekali sekala adalah tidak mengapa, namun masalah akan timbul kerana ia mudah dimakan dengan begitu banyak sekaligus.
Jika anda terlalu teringin makan ais krim, cuba untuk beli dalam kuantiti sedikit dan jangan simpan di dalam peti sejuk. Ini akan membuatkan anda berasa ingin makan lebih, sekaligus menggemukkan.
8. Makanan tinggi gula tambahan
Seperti yang dijelaskan di atas, makanan dengan gula tambahan sangat membantu kenaikan berat badan. Malah, gula tambahan adalah antara salah satu perkara yang paling teruk dalam diet dunia moden.
Jumlah gula tambahan yang berlebihan telah dikaitkan dengan beberapa penyakit paling serius di dunia hari ini. Makanan yang tinggi dalam gula tambahan biasanya memberikan sejumlah "kalori kosong" yang sangat tinggi dan langsung tidak mengenyangkan,
Contoh makanan yang mungkin mengandungi sejumlah besar gula tambahan termasuklah bijirin sarapan manis, bar granola dan yoghurt rendah lemak berperisa .
Anda harus berhati-hati apabila memilih makanan "rendah lemak" atau "tiada lemak". Ini kerana pengeluar sering menambah banyak gula untuk menggantikan rasa yang hilang apabila lemak tidak digunakan.
Makanan "rendah lemak" dan "tiada lemak" tak semestinya baik, oleh itu sentiasa semak fakta nutrisi di pek makanan untuk memastikan ia juga rendah gula tambahan.
Rujukan:
1. NCBI
2. Healthline
3. Cosmopolitan