Kita pasti biasa mendengar nasihat tentang pengambilan air yang mencukupi diminum. Ada bermacam panduan berkenaan kuantiti air yang perlu diminum untuk memastikan badan kita sentiasa dihidrasi dengan sempurna.

Salah satu panduan paling berguna yang diamalkan oleh banyak pihak adalah dengan mengamalkan meminum 8 oz air (0.25 liter) sebanyak 8 kali sehari. Ini bermaksud, kita perlu minum air sebanyak 2 liter setiap hari untuk memastikan badan kita mempunyai bekalan air yang secukupnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Panduan ini dinamakan sebagai panduan 8x8. Benarkah dakwaan itu mempunyai kajian saintifik untuk membuktikan badan kita perlu air sebanyak itu sehari atau ia sebenarnya adalah pandangan tanpa asas?

iluminasi dehidrasi kadar air sehari3

Dalam satu laporan yang diterbitkan di dalam jurnal American Journal of Physiology, penyelidik bernama Heinz Valtin dan Sheila A.Gorman telah mendapat kesimpulan, hasil penyelidikan mereka yang panduan itu sebenarnya tidak ada bukti saintifik yang menyokong panduan tersebut.

Menurut laporan yang diterbitkan, setiap orang mempunyai tahap keperluan air yang berbeza-beza dan adalah tidak perlu bagi kita mengamalkan tabiat minum 8x8 ini melainkan kita setiap hari melakukan aktiviti-aktiviti berat sebagai rutin.

Selain itu, menurut laporan tersebut, jika selama ini anda percaya yang hanya air kosong sahaja dikira dalam panduan 8x8 itu, tidak ada kajian saintifik yang membenarkannya. Sebarang jenis cecair sepatutnya dimasukkan ke dalam perkiraan termasuklah cecair yang terkandung dalam makanan kita.

Mitos panduan 8x8 ini berpunca daripada satu pendapat seorang pakar pemakanan terkenal bernama Dr.Fredrick J.Stare yang menulis pandangan beliau supaya orang ramai minum 6 ke 8 gelas air sehari, tidak kiralah apa jenis minuman yang diambil.

Berdasarkan pendapat itu, pakar-pakar pemakanan lain mengambil idea beliau dan kemudian lama-kelamaan pendapat itu seolah menjadi syarat yang badan kita memerlukan 2 liter air setiap hari untuk berfungsi dengan baik.

iluminasi dehidrasi kadar air sehari2

Walaupun ada banyak kajian lain yang membuktikan pengambilan 2 liter cecair sebagai keperluan sebenarnya tidak perlu, mitos itu terus tersebar sehingga doktor-doktor sendiri akan menggunakan saranan yang sama kepada pesakit mereka.

Wujud beberapa kepercayaan yang kita selalu dengar berkenaan pengambilan air seperti bila kita rasa dahaga baru nak minum sebenarnya berbahaya bagi kita dan warna air kencing gelap menunjukkan badan tidak cukup air.

Kedua-dua tanggapan ini juga adalah mitos yang tidak mempunyai sebarang bukti saintifik menyokongnya. Namun, perlu diberitahu, ada sesetengah kes warna air kencing gelap memang menunjukkan kes dehidrasi, tetapi mitos ini merujuk kepada tanggapan kita yang 'kencing gelap memang menandakan badan tak cukup air.

iluminasi dehidrasi kadar air sehari 116

Kesimpulannya, tidak ada sebarang bukti saintifik yang menunjukkan seseorang itu perlu minum air sebanyak 2 liter setiap hari. Tanggapan itu hanya mewujudkan beban psikologi kepada seseorang kerana merasa ada tanggungjawab untuk minum air kosong sebanyak itu setiap hari.

Sedangkan menurut kajian secara purata, kita sebenarnya sudah pun memenuhi keperluan cecair badan kita dari pengambilan air berperisa, kopi, teh dan juga makanan yang kita makan.

Apa yang perlu kita lakukan, adalah dengan mengamalkan minum air bila kita rasa hendak minum, Memang lebih baik mengamalkan air kosong, tetapi dalam memastikan badan kita dihidrasi, sebarang bentuk cecair tetap dikira sebagai mencukupi.Rujukan American Journal of Physiology




Hakcipta iluminasi.com (2017)