Oleh pada 19 Sep 2022 kategori

Menghormati dan menjulang kasih seorang wanita merupakan tema pengkaryaan dan penceritaan yang segar sejak dahulukala sehinggalah sekarang ini.

Wanita menjadi inspirasi utama banyak individu mendapat idea; mencipta filem, drama, sajak, syair, cerpen dan sudah tentulah lagu yang didendangkan, selain daripada menjadi punca utama ramai lelaki pening kepala kerana perangai wanita.

Dalam masyarakat kita, sudah ada banyak hasil karya lagu yang digubah khas menceritakan tentang seorang wanita. Berikut adalah 8 yang paling ikonik antara semua dan diberikan judul nama seorang wanita.

1. M. Osman - Suzana

m osman suzana lagu

Zaman sekarang, dah jarang kan jumpa gadis nama Suzana? Rasanya era 80-an, 90-an dulu, nama tu agak popular bagi dijadikan watak dalam drama.

'Suzana' dikarang sendiri penyanyinya Allahyarham M. Osman, mempopularkan penyanyi tersebut seterusnya meletakkan beliau sebagai raja genre muzik Pop-Yeh-Yeh.

Dalam dunia nyata, M.Osman tidaklah mengahwini 'Suzana.'

Dia berkahwin dengan seorang penyanyi wanita terkenal iaitu Afidah Es. Darah seni yang mengalir dalam diri kedua-duanya diteruskan dua anak beliau iaitu Aziz M. Osman dan Zulkifli M. Osman, yang kita kenali sebagai pengarah filem dan drama terkenal.

Penulis dapat menemui siapa Suzana yang dimaksudkan. Anda tahu? 

2. Search - Rozana & Isabella

isabella permaisuri sepanyol

Wajah Ratu Isabella Sepanyol

Di antara banyak lagu ikonik kumpulan Search, dua daripadanya menampilkan nama wanita iaitu Rozana dan Isabella.

Populariti 'Rozana' pada tahun 1986 membawa kepada penerbitan filem arahan Nasir Jani berjudul 'Rozana Cinta 1987' menampilkan Bibiyana Layola dan Erma Fatima, dengan lagu tersebut menjadi lagu tema filem.

Sementara demam lagu 'Isabella' pula membawa kepada kemenangan Anugerah Juara Lagu, demam Search di Indonesia serta penyebaran mitos yang popular di kalangan kanak-kanak yang berbunyi:

Kalau kita berdiri depan cermin pada waktu senja dan seru nama 'Isabella' berulang kali, Isabella akan menjelma keluar dari dalam cermin.

3. Kris - Tiara

tiara kris lagu nama wanita

Satu ketika dulu, jurang perbezaan kelas di antara masyarakat sering digambarkan dalam bentuk lagu.

Itulah mesej utama yang dibawa lagu 'Tiara', menceritakan dambaan seorang lelaki susah yang mencintai seorang gadis kelas pertengahan sejak zaman sekolah.

Ekoran tekanan hidup, lelaki itu akhirnya terpaksa mengakui kedudukannya jauh berbeza dan meninggalkan pendidikan pada tahap lebih tinggi.

Jika lagu 'Tiara' ditulis sekarang, mungkin 'Tiara' adalah seorang graduan universiti luar negara yang balik bekerja sebagai seorang korporat.

Manakala lelaki itu pula adalah seorang penunggang penghantar makanan, yang memilih untuk tidak menyambung pengajian selepas tamat SPM.

4. A. Ramlie - Oh Fatimah

oh fatimah a ramlie

Kami tidak tahu adakah wujud hubungan di antara filem 'Oh Fatimah' yang diterbitkan pada tahun 1989 dengan lagu klasik 'Oh Fatimah' nyanyian A. Ramlie, terbitan tahun 1966.

Lagu yang menceritakan berkenaan seorang gadis bernama Fatimah yang cantik molek, berasal dari Palembang, Indonesia, dicipta oleh komposer pop yeh-yeh legenda Salamah Basiron.

Anda tahu tak apa makna nama 'Fatimah'?

Fatimah atau Fatima adalah istilah nama Arab yang membawa makna 'dia yang sudah bercerai susu badan.' 

5. Melissa - Cinta Untuk Nabila dan Wings - Nur Nilam Sari

melissa cinta untuk nabila

Kami pilih untuk menggabungkan kedua-dua lagu ini ke dalam kelompok sama, kerana  dua buah karya ini bukanlah ditulis untuk mengangumi keindahan wanita...

Realitinya, dua buah lagu ini ditulis bagi menggambarkan rasa cinta seorang ayah kepada anaknya.

Kalaulah nak dibuat perbandingan rasa cinta mana lebih ultimate; sah-sahlah rasa kasih dan sayang seorang ayah kepada anak perempuannya jauh melebihi rasa cinta seorang lelaki kepada pasangannya. 

Ini kerana pasangan boleh bercerai. Ayah dengan anak perempuan, itu kasih abadi.

6. Jefrydin - Mas Mona dan Siti Haida

jeffrydin siti haida mas mona

Dua lagu trademark penyanyi legenda tanahair kita iaitu Dato' Jeffrydin menceritakan tentang dua wanita berbeza iaitu 'Mas Mona' dan 'Siti Haida.'

Ada kisah menarik tentang bagaimana lagu 'Siti Haida' dapat didendangkan oleh Jeffrydin. Pada awalnya, komposer Salamah Basiron telah menyiapkan dua buah lagu yang dijangkakan hits iaitu 'Oh Fatimah' dan 'Siti Haida.'

iklan

Dua penyanyi ketika itu iaitu Jeffrydin sendiri serta A. Ramlie dikatakan berebut mahu menjadikan karya baru itu dendangan mereka. Selepas perbincangan, Salamah memutuskan untuk memberikan 'Oh Fatimah' kepada A. Ramlie dan 'Siti Haida' kepada Jeffrydin. 

Versi pertama 'Siti Haida' selamat diterbitkan pada tahun 1966 menampilkan vokal Jeffrydin diiringi kugiran The Siglap Five.

7. Jamal Abdillah - Azura

filem azura nama wanita

Filem 'Azura' jika dilihat dalam konteks zaman sekarang, pasti menimbulkan kontroversi besar.

Kisahnya memaparkan seorang pemuda anak hartawan bernama Zakaria yang sepatutnya di universiti, memilih untuk menyertai kumpulan mat motor. Daripada situ, Zakaria berkenalan dengan seorang gadis sekolah menengah sehingga berjaya memujuk gadis itu lari bersamanya, membina hidup sendiri.

Ada lagi ke gadis senaif itu dalam masyarakat kita? Mungkin ada.

Tetapi jika kisah 'Azura' dirakamkan dengan berlatarbelakangkan tahun 2022, judul filem ini bukan lagi layak digelarkan 'Azura' semata-mata, tetapi perlulah ditukar kepada 'Azura Yang Lurus Bendul.'

Kejar sangat romantik sampai rosakkan masa depan sendiri.

8 4U2C - Fiona

fiona 4u2c

Mana-mana artikel yang cuba menyenaraikan lagu dengan judul nama wanita tanpa menyenaraikan 'Fiona' bolehlah kita anggap sebagai tak sah.

'Fiona' daripada kumpulan 4U2C memperkenalkan kita kepada kumpulan itu, serta mempopularkan penggunaan dialog drama dalam lagu yang dilakonkan dengan agak kaku, bagi memperkuatkan cerita.

Sehingga ke hari ini, masih ramai lelaki di Malaysia menyimpan dendam kepada Farid, kerana telah merampas Fiona daripada Joe. Mungkin kerana Joe pakai CD di leher dan Fiona berasa malu dengan kelakuan sebegitu.

Kalau 'Fiona' digarap semula bagi tahun 2022, besar kemungkinan Fiona yang cari Joe kerana Joe sibuk main game on-line, membuatkan Fiona rasa kecewa dan meluahkan perasaannya dengan lagu.

Tapi persoalannya, siapa nak dengar lagu berjudul 'Joe'? 



Hakcipta iluminasi.com (2017)