Oleh pada 28 Sep 2019 kategori

kumpulan butterfingers

Sebut saja Butterfingers, pasti ramai yang akan teringat era di mana mereka boleh dikatakan merajai pasaran muzik berirama rock alternatif bersama dengan kumpulan OAG. Setelah menghasilkan banyak album berbahasa Inggeris dan Melayu, kumpulan berpengaruh itu akhirnya 'tergantung' selepas mereka mula bergerak membawa haluan sendiri.

Dianggotai oleh 3 orang budak sekolah asrama penuh (pada mulanya) yang nampak lebih berminat dengan muzik berbanding disiplin asrama dan seorang mat salleh celup yang nak jadi Kurt Cobain Malaysia, Butterfingers berkembang sebagai sebuah kugiran yang sekadar rock kepada pereka muzik yang agak kompleks, menggabungkan elemen kemelayuan dan tradisional.

Selain itu pertukaran pemain dram mereka mengubah melodi mereka menjadi lebih lunak - mungkin kerana pemain dram ini berasal daripada kumpulan rock Melayu tangkap leleh. Ramai pandang rendah pemain dram kumpulan rock lentuk tetapi bila dengar pemain dram rock lentuk main lagu alternatif, barulah masyarakat kita sedar 'power siot anak Melayu kita.'

Daripada satu lagu ke satu lagu, Butterfingers membawakan melodi yang senantiasa berevolusi serta berkembang, dengan setiap album membawa wajah yang berbeza. Untuk menyenaraikan 10 lagu terbaik antara kugiran terbaik negara, sangat sukar. Tetapi kita mesti cuba.

1. Vio-pipe

Entah dari mana datangnya idea nak menghasilkan lagu rock instrumental dengan menggunakan peralatan muzik 'bagpipe' orang Scotland, kami tak tahulah apa kisahnya. Tetapi kemantapan melodi yang dimainkan dalam 'Vio-pipe' sangat mengasyikkan (walaupun sedikit berulang-ulang). Biasanya dimainkan hanya dengan gitar semasa persembahan live, bunyinya mungkin tidak sama tetapi semangatnya serupa.

2. Girl Friday

Di antara lagu paling popular dalam album kedua mereka, 'Girl Friday' mempunyai melodi yang sangat mudah diingati dengan riff ringkas yang dimainkan berulang kali - ibarat bunyi NIrvana yang lebih di-pop-kan. Salah satu lagu yang boleh dijadikan asas kalau anda nak belajar main gitar.

3. Royal Jelly

Bermula dengan irama orkestra yang lembut sebelum bunyi gitar kasar menusuk masuk, 'Royal Jelly' merupakan antara lagu yang menunjukkan hala tuju awal Butterfingers pada zaman awal kemunculan mereka. Penulis kerap kali merasakan lagu ini dengan lagu 'Naive Sick Chasm' seakan-akan adik beradik tetapi 'Royal Jelly' jauh lebih menyengat.

4. Ruin by the Selling Out

Salah satu melodi mainan gitaris Loque yang paling mudah diingati, intronya bermula perlahan dengan petikan gitar bergema perlahan dengan tona yang cukup indah sebelum meletup. 'Ruin by the Selling Out' menjadi salah satu lagu sing-along paling sedap bagi peminat Butterfingers, menjerit tatkala konsert walaupun ramai sebenarnya tak faham apa makna perkataan 'oligopoly.'

5. Pacific

Sukar untuk penulis gambarkan lagu 'Pacific' tetapi lagu ini pada penulis, merupakan amalgamasi semua pengalaman Butterfingers sebelum ini dalam penghasilan lagu. Seterusnya menghasilkan sebuah lagu yang sangat matang, melayu dan Malaysia. Lagu ini merupakan antara ketukan dram Loco yang paling penulis gemarkan kerana rentaknya berubah-ubah dan tidak statik.

6. Epitome

Sekiranya 'Pacific' dibiarkan sedikit meliar dan hilang kawalan, hasilnya mungkin lebih kepada 'Epitome' yang bunyinya masih mengekalkan bunyi kotor Seattle tetapi digabungkan dengan elemen gamelan. Sukar sekali untuk diimitasi, lagu ini kekal pada penulis sebagai 'lagu Butterfingers' yang paling Butterfingers. Antara semua lagu Inggeris yang diletakkan elemen Melayu oleh Butterfingers - 'Chrome' masih lagi terlalu mentah, 'Pacific' pula lebih dewasa, 'Epitome' letaknya betul-betul di tengah-tengah. Sesuai untuk semua.

7. Me

Lagu rasmi anak muda era 90-an yang meminati irama grunge, 'Me' bermula dengan riff gitar yang tidak unik tetapi penuh dengan identiti. Melodinya ringkas, masih bertemakan 'Nirvana Melayu' yang menjadi konsep Butterfingers ketika itu tetapi lirik lagu ini sangat mengena dengan semangat anak muda zaman tersebut - yang pada ketika itu masih mencari hala tuju dan haluan hidup.

8. The Chemistry (Between Us)

Buang segala yang keruh tentang 'Royal Jelly' dan gunakan formula serupa, tetapi matangkan muziknya - itulah penghasilan 'The Chemistry (Between Us)' yang pada penulis, merupakan salah satu single paling kukuh keluaran mereka. Apatah lagi apabila kita sebut saja lagu ini, ramai akan ingat tentang persembahan mereka semasa malam anugerah AIM dengan Emmett hanya berkaki ayam di atas pentas, melompat-lompat macam dia main gig. Terbeliak mata orang ramai ketika itu.

9. Faculties of the Mind

Ada sesuatu yang sangat istimewa tentang lagu ini. Riffnya yang cantik, melodinya indah tetapi keras dan suara vokalnya cukup rencahnya. Sekali imbas, macam mendengar sebuah lagu dari era 'In Utero' kumpulan Nirvana yang direkodkan secara moden dengan melodi yang diinspirasikan oleh kumpulan Metallica. Sekiranya disebutkan tentang album 'Transcendence', majoriti orang pasti akan mengingati lagu The Chemistry (Between Us) yang lebih popular, tetapi 'Faculties of the Mind' nyata karya yang pada penulis - lebih padu.

10. Still River

Sehingga ke hari ini, misteri apa benda sebenarnya makna di sebalik lirik lagu ini belum dapat penulis fahami. Adakah penulisnya bermimpi? Adakah penulisnya ketakutan? Takut menghadapi masa depan? Besar kemungkinan liriknya ditulis secara cincai-boncai tanpa ada sebarang hala tuju atau makna tersirat. Tetapi 'Still River' menutup album kedua mereka dengan sangat cantik sebagai sebuah lagu yang segar, unik dan asli.

Jadi itulah dia 10 lagu Butterfingers berbahasa Inggeris yang penulis rasakan merupakan karya terbaik mereka, sepanjang mereka cuba berbahasa Inggeris. Ada beberapa lagu lain yang penulis rasakan patut masuk tapi tak cukup slot, antaranya; Fire is a Curse, Antidotes dan beberapa lagu lagi.

Tak setuju dengan senarai ni? Tak perlu gaduh-gaduh. Itu membuktikan betapa kuat dan hebatnya karya Butterfingers ni sampai senarai 10 lagu pun tak cukup.



Hakcipta iluminasi.com (2017)