Oleh pada 05 Sep 2020 kategori

"Negaraku, tanah tumpahnya darahku. Rakyat hidup, bersatu dan maju!"

Seronok bukan menyanyikan lagu kebangsaan negara kita. Seolah-olah ada satu semangat yang meresapi diri, membuatkan kita rasa bangga dengan apa yang kita ada.

Pernah tak anda membayangkan perbezaannya seandainya 'Negaraku' tidak mempunyai lirik untuk dinyanyikan, sebaliknya hanya dibentuk dengan melodi semata-mata? Pasti agak aneh juga perasaannya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Begitulah situasi rakyat empat buah negara di mana lagu kebangsaan mereka hanya mempunyai melodi, tanpa mempunyai senikata atau lirik mewakilinya.

1. San Marino - 'Inno Nazionale della Repubblica'

lagu kebangsaan san marino

San Marino adalah sebuah negara kecil yang terletak dalam negara Itali, yang hanya mempunyai keluasan 61 km persegi dengan 33 ribu orang populasi.

Lagu kebangsaan negara itu yang dikenali dengan nama 'Inno Nazionale della Repubblica' atau Lagu Kebangsaan Republik San Marino, dicipta pada tahun 1894 oleh Frederico Consolo - seorang pemuzik yang berbakat dalam instrumen biola.

Secara rasmi, Inno Nazionale della Repubblica tidak mempunyai lirik, menggunakan gabungan instrumen pelbagai bagi menhasilkan melodi.

Bagaimanapun itu tidak menghalang seorang penulis bernama Giosue Carducci mencipta lirik tidak rasmi bagi mengiringi lagu kebangsaan San Marino, namun versi instrumentalnya kekal sebagai versi rasmi.

2. Kosovo - 'Himni i Republikës së Kosovës'

lagu kebangsaan kosovo

Pada 12 Mac 2008, kerajaan Kosovo membuka penyertaan kepada mana-mana komposer berminat untuk menyertai pertandingan mencipta lagu kebangsaan mereka. Pemenang akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM49,000. Fuh, lumayan!

Disebabkan oleh populasi di Kosovo yang dikuasai orang Albania sebagai majoriti dengan etnik Serbia sebagai kumpulan kedua terbesar, masalah pemilihan bahasa yang sesuai untuk digunakan dalam lagu tersebut akan menimbulkan isu.

Jadi jawatan kuasa pertandingan mengumumkan sejak mula lirik boleh disertakan dalam karya, tetapi akan dipadamkan dalam versi rasminya kelak.

Melodi yang dihasilkan komposer Mendi Mengjiqi terpilih sebagai pemenang, melalui undian dalam parlimen. Lagu yang diberikan judul 'Himni i Republikës së Kosovës' (lagu kebangsaan Republik Kosovo) mendapat 72 undian.

Sehingga ke hari ini banyak pihak mengkritik pemilihan lagu tanpa lirik sebagai lagu kebangsaan Kosovo, kerana mereka percaya ketiadaan lirik menyebabkan penyatuan identiti orang Kosovo menjadi lebih sukar.

3. Bosnia Herzegovina - 'Intermeco'

lagu kebangsaan bosnia herzegovina

Negara Bosnia Herzegovina menjadi antara negara yang disyaratkan untuk memiliki lagu kebangsaan tanpa lirik, selepas perjanjian bagi menamatkan Perang Bosnia pada tahun 1995 memerlukan negara itu tidak mengutamakan mana-mana etnik dalam perlembagaan negara mereka.

Atas sebab itulah lagu kebangsaan negara tersebut dicipta sejak mula tanpa lirik, oleh komposer bernama Dusan Sestic. Pengisytiharan lagu tersebut sebagai lagu rasmi Bosnia Herzegovina dilakukan pada tahun 1999.

Bagaimanapun penerimaan masyarakat mereka terhadap lagu tersebut agak berbeza-beza.

Secara am etnik Bosnia menyukainya, etnik Croat bersikap neutral sementara masyarakat etnik Serbia yang ada bukan setakat membenci lagu tersebut malahan langsung tidak menghormatinya.

Usaha untuk memasukkan lirik secara rasmi ke dalam 'Intermeco' sudah beberapa kali diusulkan di parlimen negara mereka namun kegagalan mendapatkan sokongan mencukupi menghalang usaha yang dijalankan.

4. Sepanyol - 'Marcha Real'

lagu kebangsaan negara sepanyol

Turut dikenali dengan nama 'La Marcha Granadera', lagu kebangsaan negara Sepanyol merupakan lagu kebangsaan tanpa lirik paling awal pernah dihasilkan.

'Marcha Real' dicipta pada tahun 1761 oleh seorang komposer bernama Manuel de Espinosa de los Monteros sebelum dua orang komposer lain mengubahnya kepada bentuk orkestra yang ada.

Raja Charles III pada tahun 1770 mengisytiharkan 'Marcha Real' sebagai lagu rasmi kawad tentera, mempopularkan lagu tersebut di kalangan orang awam. Lagu tersebut akhirnya jadi sinonim dengan masyarakat Sepanyol dan terus diangkat sebagai lagu rasmi negara mereka.

Beberapa cubaan mengadunkan lirik ke dalam 'Marcha Real' tidak berkekalan lama.

Cubaan terbaru berlaku pada tahun 2008 namun lirik yang terpilih hasil daripada satu pertandingan dibuka kepada orang awam dikritik isinya, menyebabkan lirik itu digugurkan selepas 5 hari diangkat sebagai lirik rasmi lagu negara mereka.

5. Afrika Selatan - 'Nkosi Sikelel iAfrika'

lagu kebangsaan afrika selatan

Sengaja kami masukkan Afrika Selatan ke dalam senarai ini.

Berbeza dengan Kosovo dan Bosnia Herzegovina yang berdepan masalah perbalahan etnik sehinggakan memilih untuk tidak menyertakan seni kata dalam lagu kebangsaan mereka; Afrika Selatan berbeza pula kisahnya.

Disebabkan oleh pecahan etnik yang terlalu besar, lagu kebangsaan Afrika Selatan yang dikenali sebagai 'Nkosi Sikelel iAfrika' (Tuhan merahmati Afrika) menggunakan lima bahasa berbeza di dalamnya secara rasmi.

Setiap rangkap berbeza akan dinyanyikan mengikut lima bahasa rasmi utama (daripada 11) yang ada iaitu Xhosa, Zulu, Sesotho dan Afrikaans sebelum diakhiri dalam bahasa Inggeris.

'Nkosi Sikelel iAfrika' dicipta pada tahun 1897 tetapi hanya diangkat sebagai lagu kebangsaan Afrika Selatan pada tahun 1997, 100 tahun kemudiannya.

Asalnya, lagu tersebut merupakan lagu yang dinyanyikan oleh kumpulan gereja bagi membantah gerakan rejim apartaid yang menguasai masyarakat mereka.

Sehingga kini, semua rakyat Afrika Selatan akan menyanyikan lagu kebangsaan mereka dalam 5 bahasa setiap kali berlangsungnya sebarang bentuk acara kemasyarakatan.

Mungkin itu adalah langkah yang patut dicontohi Kosovo dan Bosnia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)