Oleh pada 01 Jan 2020 kategori

Pada detik artikel ini ditulis, negara kita telah melangkah ke dalam dekad yang selama ini sangat dinanti - permulaan tahun 2020.

Bagi rakyat Malaysia, 2020 menandakan satu kemuncak yang selama ini hanya bermain dalam kepala kita tentang hala tuju masyarakat kita, yang telah dimulakan sejak awal tahun 1990-an dahulu. Ada yang membayangkan kita akan ada kereta terbang dan ada yang mengimaginasikan tentang wajah Kuala Lumpur yang bergemerlapan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pelbagai kempen kerajaan kita dalam cuba menjayakan visi 2020 dilakukan, dengan pertandingan mewarna peringkat sekolah, tayangan media, ucapan, ceramah dan yang paling popular - lagu yang mengangkat Wawasan 2020. Sempena tiba 1 Januari 2020, apa kata kita imbas balik 5 lagu berkenaan tahun 2020 paling diingati kita.

1. Wawasan 2020

Lagu yang seingat penulis, pernah dijadikan lagu wajib nyanyian pelajar sekolah satu masa dulu - rasanya generasi-generasi yang lahir tahun 80-an serta 90-an, malahan awal 2000 pasti menghafal sepenuhnya bait-bait lirik lagu ini.

Mampu meningkatkan semangat mereka yang menyanyikannya, wujud beberapa versi berbeza lagu ini tetapi versi asalnya tetap merupakan versi yang paling diingati.

2. Erat 'Rock n Roll 2020' dan Iris 'Wawasan 2020'

kumpulan iris wawasan 2020

Kami tidak berjaya menemui video yang memaparkan kedua-dua buah lagu daripada dua kumpulan rock Melayu yang muncul sekitar tahun 1992, selepas setahun Wawasan 2020 dilancarkan. Walaupun kurang terkenal, kedua-dua kumpulan tetap berusaha mengangkat gagasan Wawasan 2020 menerusi lagu mereka.

kumpulan erat rock n roll 2020

Kumpulan Iris bukan saja menerbitkan lagu yang jelas-jelas berjudul 'Wawasan 2020' malahan menamakan album mereka 'Wawasan.' Kami harap lebih ramai artis kita kembali berani mengangkat idea-idea sebegini di masa akan datang, berbanding trend sekarang di mana kerajaan pula yang sibuk meniru slogan ciptaan artis-artis.

Anda ada video kepada dua lagu ini? Boleh kongsikan dengan kami?

3. Res2 - Wawasan

Tidak sepopular garapan kumpulan KRU malahan dibayangi oleh sebuah lagi nama besar iaitu kumpulan Feminin, kumpulan Res2 turut sama cuba membawakan tema Wawasan 2020 ke dalam salah sebuah karya nyanyian mereka.

Bagaimanapun, sekiranya dibandingkan dengan karya kumpulan KRU yang jauh lebih 'catchy' dan menyengat, penulis boleh fahamlah kenapa lagu ini kurang popular di kalangan rakyat Malaysia pada era tersebut.

4. Babylon - Wawasan

kumpulan babylon wawasan loloq

Kumpulan rock Babylon yang mula berkarya pada era 80-an mengeluarkan album terakhir mereka yang diberikan judul '2020'. Kontroversi melanda kumpulan itu selepas kulit album mereka menampilkan imej yang agak sensitif - apabila digambarkan bangunan Sultan Abdul Ahmad usang ditenggelami pasir.

Digabungkan dengan judul '2020' sudah pastilah tindakan ini dianggap satu kritikan mereka terhadap kerajaan ketika itu. Kritikan tidak terhenti disitu - dalam album '2020' turut mengandungi sebuah lagu diberi judul 'Wawasan' yang mempunyai lirik yang agak sukar untuk ditafsirkan serta sebenarnya mengundang reaksi orang ramai.

5. Kru - 20/20

Muncul semasa era negara kita dilanda demam lagu rap, KRU mengambil peluang dengan mencipta lagu klasik '2020' yang menjadi siulan ramai anak muda ketika itu, walaupun besar kemungkinan mereka tak minat lagu rap.

Perasaan bangga yang lahir setiap kali kita menyanyi/melalakkan lagu ini khasnya bahagian 'chorus' nya sukar untuk diganti. Kami harap ramai akan cuba mempopularkan semula lagu ini sepanjang kita berada dalam tahun 2020.

Ini kerana pada awal kemunculannya, lagu ini sebenarnya digam untuk siaran oleh stesen televisyen dan radio kendalian RTM, kerana mempunyai lirik berunsur saduran - menggabungkan bahasa Melayu dan Inggeris di dalam karya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)