Oleh pada 17 Dec 2019 kategori

taylor swift petaling street

Lagu yang baik memakan masa dan usaha yang panjang untuk dihasilkan, apatah lagi apabila penciptanya mahu mengutarakan tema atau konsep yang tertentu dalam ciptaannya.

Bagaimanapun, ada juga ketika - sesuatu ciptaan yang terhasil secara spontan mampu mempunyai identiti yang unik dan kuat sehingga mampu menggoncangkan industri muzik dunia.

Berikut adalah 5 lagu yang dihasilkan secara segera, tetapi mampu memberikan impak yang sangat besar pada industri muzik seluruh dunia.

1. Adele "Skyfall"

adele skyfall tema james bond

Diberikan tanggungjawab untuk menggalas runut bunyi utama filem ikonik seperti 'James Bond' bukan satu tugas mudah, namun percayakah anda lirik kepada lagu tersebut telah pun disiapkan dalam masa 10 minit sehaja?

Proses paling lama dalam menyiapkan lagu tema filem ini adalah penghasilan muziknya, yang memerlukan 77 peralatan orkestra. Penyanyi terkenal Adele dibekalkan dengan skrip filem tersebut untuk memahami tema filem tersebut. Mempelajari dan memahami apa yang diperlukan,

Adele hadir ke studio dengan idea dalam kepala - menulis keseluruhan lagu itu di atas kertas dan 10 minit kemudian mula merakamkannya. 'Skyfall' memenangi anugerah lagu terbaik anugerah Academy, lagu terbaik anugerah Brits dan banyak anugerah berprestij lain - membuktikan ada kalanya idea spontan mampu menghasilkan sesuatu yang sangat berkualiti.

2. The Beatles "Yesterday"

the beatles yesterday

Dikenali ramai berikutan melodinya yang ringkas tetapi sangat menyucuk jiwa, "Yesterday' merupakan antara garapan Paul McCartney yang paling diingati sehinggakan menjadi lagu no. 1 dalam dunia dinyanyikan semula oleh artis lain. Setakat ini, lebih 3,000 versi nyanyian semula melibatkan lagu ini ada.

Apa yang mengagumkan, McCartney menyifatkan keseluruhan melodi lagu 'Yesterday' hadir padanya dalam mimpi sehinggakan dia sendiri tidak tahu apa proses penghasilan lagu tersebut.

Bagi memastikan idea itu benar-benar asli, McCartney memainkan melodi lagu 'Yesterday' kepada orang di sekelilingnya agar dapat dia mengenalpasti adakah dia tertiru mana-mana lagu yang pernah didengarinya. Selepas mendapat pengesahan, McCartney menghasilkan lirik lagunya yang mengambil masa lebih 2 minggu untuk menyempurnakannya.

3. The Guess Who "American Woman"

the guess who lejen rock

Lagu rock klasik ini mempunyai kisah yang sangat menarik tentang penciptaannya. Semasa dalam sebuah konsert, akibat terputus tali gitarnya - Randy Bachman perlu menggantikan tali sementara anggota kumpulan lain berhenti rehat buat sementara. Bagi mendapatkan talaan tali yang betul, Bachman menekan nota E di piano sambil memetik gitar berulang kali.

Melodi yang terhasil pada ketika itu diulang-ulang, sehinggakan penonton yang menunggu menjangkakan mereka bakal menyambung persembahan. Bachman yang keseorangan meneruskan 'persembahan' itu, sebelum pemain dram The Guess Who masuk menyertai 'lagu segera' yang tercipta.

Oleh kerana melodi yang tercipta itu dirasakan baik, Bachman mengulanginya berulang kali agar dia mampu mengingatinya sebelum vokalis The Guess Who masuk menyanyi apa saja yang terlintas di kepalanya. Selepas persembahan itu, mereka duduk semula bersama bagi menghasilkan lagu klasik 'American Woman' yang sehingga kini masih dimainkan di mana saja.

4. R.E.M "Losing My Religion"

kumpulan rem

Lagu klasik kumpulan R.E.M ini merupakan antara lagu yang cukup popular, tetapi penghasilannya pula datang daripada cubaan Peter Buck, pemain gitar kumpulan tersebut yang sedang belajar bermain peralatan mandolin. Merasakan melodi yang terhasil agak unik, dia mula menambah beberapa bahagian lain, untuk melengkapkan badan melodi yang ada.

Dalam tempoh 5 minit, keseluruhan melodi berjaya disiapkan dan sejam kemudian, Michael Stipe - vokalis kumpulan R.E.M menyiapkan liriknya. Dianggap sebagai lagu paling senang pernah mereka hasilkan, 'Losing My Religion' diangkat sebagai lagu rasmi mereka yang hilang arah hidup sehingga menimbulkan kontroversi dengan pihak penyokong ajaran Kristian.

Lagu yang dihasilkan dalam satu jam lebih itu memenangi anugerah vokal terbaik Grammy pada tahun 1991, seterusnya mengangkat kumpulan R.E.M sebagai ikon muzik alternatif dunia yang disegani.

5. Taylor Swift 'We Are Never Ever Getting Back Together'

taylor swift lagu segera

Sebelum menjadi salah seorang artis pop yang sangat terkenal, Taylor Swift telah melalui fasa di mana muzik yang dihasilkan beliau lebih ke arah country dan pop rock dalam empat album terawal beliau - dengan 'Never Ever Getting Back Together' menjadi antara single terakhir Swift yang masih mengekalkan tema lama.

Proses penghasilannya sangat mudah. Selepas Swift diajukan soalan berkenaan hubungannya dengan seorang lelaki (khabar angin menyifatkan aktor terkenal Jake Gyllenhaal) yang telah putus dan adakah mereka akan kembali bersama, Swift mengambil rasa menyampah dengan pertanyaan sedemikian rupa lalu memetik gitar.

Melodi yang terhasil pada ketika itu dengan ungkapan 'we are never' dirasakan menarik, lalu Swift bersama produser beliau mula memperkembangkan idea itu kepada sebuah bentuk lagu lengkap dan 25 minit kemudian, lagu itu siap sepenuhnya.

Hasilnya 'We Are Never Ever Getting Back Together' mengungguli carta Billboard Country selama 9 minggu, memecahkan rekod yang telah lama bertahan sejak tahun 1964. Album keempat beliau dilancarkan dengan lagu tersebut menjadi single pertama, menandakan pengakhiran Taylor Swift sebagai seorang artis pop rock/ country.



Hakcipta iluminasi.com (2017)