Di Malaysia, dilaporkan jalan raya yang paling curam adalah Lebuhraya Kimanis-Keningau di Sabah yang mempunyai had kecerunan antara 10% hingga 20%.

Kadang-kadang lalu jalan sedikit bercerun pun dah boleh membuatkan anda berasa kecut perut seperti menaiki roller-coaster. Ada yang rasa gayat, ada yang lebih ekstrem hingga rasa loya nak termuntah.

Kami kongsikan 8 jalan paling curam di dunia. Tengok pun dah rasa ngilu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

#8 Vale Street (Bristol, England)

Ini merupakan jalan paling curam di Britain dengan darjah kecerunan 22%. Pelumba basikal yang sukakan cabaran bolehlah menuju ke pekan Totterdown dan cuba berbasikal di sepanjang jalan ini.

vale street jalan paling curam di dunia

Warga Bristol juga menggunakan jalan ini semasa festival menggolek telur Easter. Mereka berkumpul pada hari Ahad Easter untuk melihat siapa yang boleh menggolekkan telur paling jauh sebelum telur pecah.

#7 Lombard Street (San Francisco, CA, U.S.)

Lombard Street di San Francisco ini pernah dinobatkan sebagai jalan paling bengkang-bengkok oleh Rekod Dunia Guinness tetapi ia juga sebenarnya adalah salah satu jalan raya paling curam.

lombard street jalan paling curam di dunia

Jalan yang menghubungkan Hyde Street dan Leavenworth Street ini pada asalnya bermula dengan jalan batu buntar berkecerunan 27%. Ketika itu, kereta tidak dibenarkan melalui jalan ini kerana pemandu dikhuatiri tidak mampu mengawal kenderaan disebabkan jalan yang terlalu curam.

Pada tahun 1922, penduduk tempatan membantu merancang pelan baru melibatkan lapan siri pusingan tajam untuk membuatkannya lebih mesra kenderaan. Kini, ia menjadi jalan utama bagi sejuta buah kenderaan setiap tahun.

#6 Waipio Valley Road (Pulau Besar Hawaii, AS)

Jalan Lembah Waipio yang terletak di Daerah Hamakua di Hawaii ini merupakan jalan paling curam terpanjang di dunia. Ia menghubungkan dataran tinggi yang terletak setinggi 250 meter selepas 1km perjalanan.

waipio valley jalan paling curam di dunia

Darjah purata kecerunan adalah 25%, namun kecerunan sebelum sampai ke puncak mencecah sehingga 40%. Ia sangat terjal sehingga hanya kenderaan 4x4 sahaja dibenarkan lalu, selain pendaki dan penunggang basikal.

#5 Baxter Street (Los Angeles, AS)

Baxter Street di Los Angeles ini sangat curam sehingga banyak bas dan kenderaan panjang lain sering terkandas di bahagian puncak. Walaupun ia bukan jalan tercuram, namun ia curam di kedua-dua belah bahagian turun dan naik. Lereng jalan ini berada pada kecuraman 32%.

baxter street jalan paling curam di dunia

Jalan yang dibina sejak 1872 ini mula terkenal sejak muncul dalam episod Little Rascals sekitar 1930. Sejak itu, banyak pengeluar kereta menghantar model-model kereta terbaru untuk cuba menaiki bukit curam ini untuk membuktikan betapa berkuasanya enjin kereta mereka.

Tapi pada tahun lepas, seorang pemain papan selaju terkenal Don "The Nuge" Nguyen telah membuat aksi berani dengan menuruni jalan curam ini menaiki papan selaju. Lihatlah sendiri aksi beliau:

#4 Fargo Street (Los Angeles, AS)

Fargo Street yang terletak di Echo Park ini merupakan bukit tercuram di Los Angeles. Ia juga merupakan salah satu jalan paling curam di Amerika Syarikat dengan kecuraman 33%.

fargo street jalan paling curam di dunia

Sejak tahun 1974, acara tahunan menunggang basikal menaiki curam diadakan anjuran Kelab Roda Los Angeles ketika musim bunga. 

#3 Eldred Street (Los Angeles, AS)

Sebuah lagi jalan raya di kota Los Angeles ini menaiki puncak setinggi 67 meter dengan 33% antara Avenue 50 dengan Cross Avenue di sebelah Gunung Washington.

Jalan ini dibuat pada tahun 1912 dan dinamakan sempena penduduk pertama yang memiliki rumah di situ.

Disebabkan jalan yang sangat terjal, hanya lori sampah kecil yang dibenarkan mengutip sampah di sini. Lori sampah ini perlu bergerak mengundur menaiki bukit untuk membuat kutipan sebelum menuruni semula bukit. Ini bagi mengelakkan sampah terjatuh semula ke atas jalan raya.

eldred street jalan paling curam di dunia

Posmen juga telah berputus harap untuk menghantar surat dari rumah ke rumah. Semua surat dan penghantaran dibuat melalui peti surat kumpulan yang terletak di kaki bukit.

Sejak tahun 1950-an jalan raya di sekitar bandar ini telah dihadkan kepada 15% sahaja.

#2 Baldwin Street (Dunedin, New Zealand)

Rekod Dunia Guinness selama bertahun-tahun telah menobatkan Baldwin Street sebagai jalan paling curam di dunia. Namun, kini jika anda membuat carian di laman Guinness, rekod telah tiada kerana gelaran itu ditarik balik setelah mendapati berlaku kesilapan teknikal ketika membuat ukuran.

Walau bagaimanapun, penduduk bandar ini perlu melalui jalan di bandar Dunedin yang berkecerunan 35%. Untuk berjalan sejauh 350 meter sahaja perlu mengambil masa lebih daripada 10 minit. 

baldwin street jalan paling curam di dunia

Jalan ini amat terkenal dan sentiasa terdapat pelancong yang berkunjung sambil cuba mendaki bukit yang curam. Sebelum tandas awam dibina, para penduduk terpaksa berhadapan dengan perangai buruk pelancong yang selamba membuang air di hadapan rumah akibat mengambil masa mendaki terlalu lama.

#1 Canton Avenue (Pittsburgh, AS)

Berkecerunan 37%, Canton Avenue tidak sesuai untuk mereka yang lemah semangat. Walaupun masih belum dinobatkan sebagai jalan paling curam secara rasmi, ia mempunyai cerun yang paling curam di dunia.

canton avenue jalan paling curam di dunia

Jalan batu buntar ini menjadi salah satu pilihan perlumbaan basikal Dirty Dozen yang dianjurkan sejak tahun 1983 lagi. Dalam pertandingan itu, para pelumba perlu menunggang sejauh 80 km yang merentasi 13 jalan tercuram di Pittsburgh.

Matlamat utama para pelumba bukanlah untuk menang tapi mereka sudah rasa cukup bersyukur sekiranya dapat menghabiskan perlumbaan. Ada yang memakan masa sehingga 7 jam cuba nak panjat bukit-bukit itu!

Bayangkan kalau rumah anda terletak di jalan-jalan ini. Nak tinggal kereta pun seram.




Hakcipta iluminasi.com (2017)