Populariti permainan video sentiasa meningkat naik dari awal kemunculannya sehingga ke hari ini. Menurut statistik yang dikeluarkan Persatuan Perisian Hiburan, industri tersebut mencatatkan jumlah perbelanjaan pengguna sehingga $30.4 bilion bagi tahun 2016, iaitu meningkat daripada $23.5 bilion pada tahun 2015. Kali ini kami gali fakta sehingga 30 tahun ke belakang untuk melihat kembali kisah menarik di sebalik nama-nama besar dalam sejarah industri permainan video:

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Lagu tema "Tetris" digubah berdasarkan lagu rakyat Rusia dari tahun 1800-an.

Lagu rakyat berjudul "Korobeiniki" itu mengisahkan tentang peniaga jalanan yang cuba menggoda seorang wanita semasa dia cuba meminta potongan harga bagi barangan yang ingin dibeli.

lagu tema tetris merupakan lagu rakyat rusia

Dalam lagu tersebut, peniaga itu menawarkan barang yang ingin dibeli wanita terbabit sebagai pertukaran dengan sebuah kucupan. Namun begitu, wanita tersebut enggan mengambil barangan yang dijual kecuali sebentuk cincin dan memberitahu yang dia terus ingin bertunang. Si penjual terus bersetuju untuk mengahwini wanita pilihan hatinya sebaik sahaja pulang daripada berniaga.

Kisah di sebalik lirik ini tidak memperincikan secara mendalam apa yang terjadi selepas itu. Walau bagaimanapun, menurut puisi asal yang mengilhamkan penghasilan lagu tersebut, nasib tidak begitu menyebelahi si penjual kerana ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, dia telah mati dibunuh semasa berhenti untuk bertanyakan arah jalan. (Sumber #1, #2)

2. Nama permainan video "Mortal Kombat" pada asalnya dicadangkan sebagai "Van Damme."

Pada asalnya, idea permainan video yang sepatutnya diberi nama "Van Damme" ini ingin dibuat berdasarkan karakter bintang terkenal Hollywood iaitu Jean-Claude Van Damme. Syarikat pengeluar permainan ini berkata filem "Bloodsport" lakonan Van Damme baru sahaja mula ditayangkan ketika itu dan permainan video itu pula dibuat berdasarkan gaya perlawanan dalam filem tersebut.

Walau bagaimanapun, Van Damme telah menolak tawaran untuk bekerjasama. Jadi, pembangun permainan video ini hanya menggunakan karakter yang diinspirasikan daripada Van Damme sahaja. Maka, lahirlah Johnny Cage, seorang bintang filem yang berlagak dan narsisistik.

nama permainan video mortal kombat hampir menjadi van damme

Apa yang menarik, ketika sesi perbincangan antara kedua-dua belah pihak, wakil Van Damme mengatakan mereka terpaksa menolak tawaran tersebut kerana telah menandatangani kontrak permainan video lain dengan Sega. Namun, kenyataan ini agak aneh kerana Sega tidak pernah menghasilkan permainan video Van Damme.

Selepas dikecewakan Van Damme, pihak syarikat terpaksa memikirkan nama baru untuk permainan video tersebut. Mereka telah menyenaraipendekkan pelbagai nama klise untuk tajuk seni mempertahankan diri seperti Kumite, Dragon Attack, Deathblow dan Final Fist sebelum memilih "Mortal Kombat." (Sumber #1#2)

3. Dalam "Space Invaders," punca kelajuan permainan video meningkat setiap kali musuh dimusnahkan adalah disebabkan keupayaan hardware yang terhad.

space invaders menjadi ikutan permainan level up menjadi lebih laju

Pemproses dalam kabinet permainan arked ini direka dan dibangunkan supaya kesemua musuh bergerak pada kelajuan yang sama. Nasib menyebelahi pihak pembangun perisian apabila mendapati setiap kali musuh dimusnahkan, musuh-musuh baru akan 'masuk' ke skrin dengan lebih laju kerana pemproses komputer tidak lagi mempunyai begitu banyak objek untuk dilukis. Maka, mereka membiarkan sahaja kelajuan meningkat ini dijadikan sebagai kaedah "level up" untuk meninggikan tahap kesukaran permainan.

Permainan video ini kemudian mula menjadi ikutan kerana memperkenalkan konsep peningkatan kesukaran tahap bermain sedemikian. Menurut Giant Bomb, konsep perskalaan ini telah menjadi asas kepada perkembangan permainan video moden dengan seorang pemain.

4. Sambutan selepas menang perlumbaan dalam "Super Mario Kart" versi Jepun telah menimbulkan kontroversi di Amerika Syarikat.

Dalam versi Jepun yang asal, Bowser dan Peach akan menyambut kemenangan perlumbaan dengan meminum champagne. Bowser dilihat menuang champagne tersebut ke dalam mulut sehingga tumpah meleleh ke dadanya manakala Peach yang bermuka merah padam pula menggogok botol berulang kali.

mario kart minum champagne selepas menang perlumbaan

Ketika itu, Nintendo Amerika tidak membenarkan sebarang gambaran watak meminum minuman beralkohol dalam mana-mana permainan videonya. Jadi, mereka telah menggantikan animasi itu dengan karakter Bowser memegang botol dengan tinggi manakala Peach pula membaling botol ke udara sebelum menyambut semula botol tersebut. (Sumber #1, #2)

5. Shigeru Miyamoto tidak dibenarkan berbasikal ke pejabat kerana keselamatannya adalah begitu penting buat Nintendo.

Miyamoto merupakan pereka dan pengasas permainan video popular seperti Donkey Kong, Super Mario Bros., The Legend of Zelda dan banyak lagi. Pada mulanya, beliau lebih gemar berjalan kaki atau menunggang basikal ke tempat kerja, namun menurut satu artikel dalam The New Yorker, Nintendo telah mengarahkan beliau supaya berulang-alik dengan menaiki kereta "untuk keselamatan diri dan ketenangan fikirannya."

shigeru miyamoto tidak dibenarkan berbasikal ke pejabat kerana keselamatannya begitu berharga buat nintendo

Antara permainan video 'laku keras' lain yang direka Miyamoto termasuklah Excitebike, Iceclimber, Pilotwings, Star Fox, F-Zero, Metroid Prime, Pikmin, Nintendogs dan Wii Fit. (Sumber #1#2)

6. Mario dinamakan bersempena nama tuan empunya gudang sewaan yang dijadikan ibu pejabat Nintendo di Amerika Syarikat.

Pada tahun 1981, syarikat itu sedang bergelut dengan pelbagai masalah namun bertungkus-lumus untuk melancarkan Donkey Kong. Apabila mereka sudah lewat beberapa bulan untuk menjelaskan bayaran sewa, tuan tanah bernama Mario A. Segale telah turun padang sendiri untuk mengutip hutang tertunggak.

mario permainan video berasal daripada mario segale tuan tanah nintendo

Selepas berbincang dengan Presiden Nintendo Amerika iaitu Minoru Arakawa, Mario telah bersetuju memberikan mereka ruang untuk mengumpulkan wang dengan melanjutkan tempoh bayaran. Ketika itulah mereka mendapat idea untuk membalas jasa Mario dengan menggantikan nama karakter yang dipanggil "Jumpman" dengan nama tuan tanah yang baik hati itu.

Dalam satu temu ramah pada tahun 1993, Mario ditanya tentang perasaannya apabila namanya digunakan untuk permainan video popular itu. Beliau berseloroh dengan menjawab, "Saya masih menunggu bayaran royalti." (Sumber #1#2)

7. Pada tahun 2010, Google telah meletakkan permainan video "Pac-Man" di laman utama enjin carian itu untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-30.

Semasa hari permainan dalam talian itu dilancarkan, para pelawat mengambil masa purata selama 36 saat lebih lama untuk menyelesaikan satu carian Google. Apabila 36 saat itu didarab dengan bilangan carian Google setiap hari, masa 'tambahan' itu berjumlah 549 tahun.

google pac man ulang tahun ke 30

Secara purata, seramai 504 juta pelawat unik menggunakan Google setiap hari. Jika dikira nilai sebenar masa yang digunakan untuk bermain Pac-Man versi "doodle" Google itu, sekiranya orang yang bermain itu memperolehi sekitar 25 dolar sejam, masa yang 'terbuang' itu sebenarnya telah mencecah sehingga $120 juta.

Statistik ini diumumkan oleh sebuah syarikat yang membuat perisian untuk mengesan aktiviti para pekerja dalam talian. Untuk mengumpulkan data statistik tersebut, mereka telah menggunakan data pelayaran daripada 11,000 pengguna perisian itu. (Sumber #1#2)

8. "Sonic" sebenarnya adalah seekor arnab. Kemudian hampir menjadi armadilo sebelum bertukar menjadi landak kecil.

Pengaturcara Yuji Naka bermula dengan sebuah konsep mudah iaitu pemain boleh mengawal karakter yang berada dalam sebiji bola yang bergolek melalui tiub-tiub panjang. Lama-kelamaan, idea karakter asal ini berubah menjadi seekor arnab. Seperti Mario, arnab ini boleh berhenti bergerak untuk mengutip pelbagai item.

sonic hampir menjadi seekor arnab sebelum menjadi landak

Walau bagaimanapun, mereka mendapati telinga arnab itu agak sukar untuk dianimasikan dan pergerakan yang terhenti-henti akan melambatkan perjalanan permainan. Maka, mereka mula mencari haiwan lain yang boleh 'digulung' menjadi seperti sebiji bola untuk mengekalkan idea dan gaya asal permainan selain memenuhi keperluan aksi pantas yang diinginkan.

Akhirnya cadangan pereka Naoto Ohshima untuk menggunakan landak kecil (hedgehog) dipilih, mengatasi pencabar terdekatnya iaitu seekor armadilo. Lebih menarik lagi, nama karakter yang diusulkan pada mulanya adalah "Mr. Needlemouse." (Sumber #1)




Hakcipta iluminasi.com (2017)