permainan video game dulu yang beri impak besar

Zaman keemasan dunia permainan video muncul pada era 1980-an di mana Sega Genesis, Nintendo Entertainment System (NES) dan Nitendo Game Boy dilancarkan dalam dekad itu.

Pada zaman keemasan ini jugalah beberapa permainan video terbaik telah dihasilkan. Kami akan senaraikan 10 permainan video yang dianggap paling penting pada era 80-an. Bukan sahaja ia memberi impak dan membentuk era 80-an tetapi juga industri permainan video secara amnya pada hari ini.

10. Street Fighter (1987)

street fighter

Dalam era 80-an, inovasi dalam pemprosesan grafik menjadikan genre pertarungan digilai ramai terutamanya pengunjung arked. Namun, permainan video pertarungan paling berpengaruh adalah Street Fighter yang dihasilkan Capcom pada 1987.

Permainan video yang diarahkan oleh Takashi Nishiyama ini memberi impak kepada hampir setiap genre pertarungan yang muncul selepas itu. Street Fighter telah memperkenalkan kawalan enam butang yang digunakan pada banyak permainan video pertarungan pada hari ini.

Walaupun Street Fighter II (1991) dianggap lebih baik dan menjadi fenomena di seluruh dunia tetapi ia mungkin tidak akan lahir tanpa Street Fighter yang pertama.

9. Final Fantasy (1987)

final fantasy

Sebelum kemunculan Final Fantasy, terdapat beberapa permainan video RPG (role playing game) lain sudah dihasilkan. Namun, Final Fantasy dianggap sebagai permainan video RPG terbaik dalam dekad itu.

Setahun sebelum Final Fantasy dilancarkan untuk NES, satu lagi permainan video RPG iaitu Dragon Quest telah merekodkan jualan sebanyak dua juta unit di Jepun. Namun, apabila diperkenalkan di pasaran Amerika Utara, ia kurang mendapat sambutan.

Sebaliknya, Final Fantasy menjadi kegilaan para pemain di Amerika Utara. Final Fantasy juga menampilkan beberapa inovasi baru dalam genre RPG dan menjadi pengaruh besar dalam permainan video role-playing sehingga hari ini.

8. SimCity (1989)

simcity

Ketika semua orang gilakan permainan video RPG dan pertarungan, Will Wright berusaha keras membangunkan permainan video genre simulasi SimCity. Malah, dia menghabiskan masa selama empat tahun mencari syarikat yang sanggup menerbitkan SimCity.

Apabila Broderbund bersetuju untuk mengedarkan SimCity, jualannya pula mengecewakan. Melalui banyak review dan dari mulut ke mulut, SimCity semakin dikenali. Ketika ia dilancarkan di konsol Super NES pada 1991, populariti SimCity meletup dan terjual sebanyak dua juta unit.

Para pemain ketika itu tidak pernah membayangkan mereka akan berminat dengan simulasi pembinaan bandar. SimCity menjadi ilham kepada banyak permainan simulasi yang ada pada hari ini.

7. Prince Of Persia (1989)

prince of persia

Prince of Persia yang dihasilkan oleh Jordan Mechner merupakan permainan video pertama yang menggunakan platform sinematik. Prince of Persia kelihatan begitu realistik kerana Mechner menggunakan rotoscoping untuk memindahkan pergerakan yang difilemkan menjadi watak dalam permainan videonya.

Proses ini berkembang pada tahun 90-an dengan permainan seperti Mortal Kombat sehinggalah kepada penggunaan teknologi motion-capture pada hari ini. Inovasi Mechner menjadi pelopor kepada banyak permainan video selepas itu.

6. Duck Hunt (1984) 

duck hunt

Duck Hunt bukanlah permainan video yang rumit atau terperinci dan ia juga bukanlah permainan shooting yang pertama. Duck Hunt menjadi permainan penting kerana ia memberi nafas baru kepada permainan menembak di rumah.

Segalanya berubah apabila Nintendo melancarkan NES Zapper (alat kawalan jauh berbentuk pistol) untuk Duck Hunt. Sebelum itu, permainan video menembak hanya dimainkan di rumah menggunakan joystick atau keyboard sahaja. Kejayaan Duck Hunt dan Zapper membawa kepada banyak inovasi seperti Nintendo Wii.

5. Donkey Kong (1981)

donkey kong 734

Apabila Namco melancarkan Pac-Man pada 1980, semua syarikat permainan video lain cuba menyainginya. Pada 1981, Nintendo menghasilkan Donkey Kong. Permainan video ini mempunyai beberapa inovasi yang mengubah permainan video selamanya.

Sebelum pemain boleh mula bermain, terdapat satu sinematik ringkas yang menunjukkan seekor gorila raksasa menculik sorang puteri dan tugas pemain adalah untuk menyelamatkannya.

Ini adalah pertama kali permainan video menampilkan cutscene seumpama ini yang menitikberatkan jalan cerita sebelum permainan bermula. Hari ini, boleh dikatakan setiap permainan video mempunyai cutscene sebagai pengenalan kepada jalan cerita.

4. The Legend of Zelda (1986)

legend of zelda

Walaupun The Legend of Zelda bukanlah permainan video berkonsepkan open-world yang pertama tetapi ia mengubah norma genre action adventure sehinggalah kepada yang kita kenali hari ini.

Katrij emas Zelda mempunyai keunikan yang menjadikannya salah satu permainan video terpenting. Katrij itu merupakan katrij pertama yang mempunyai RAM berkuasa bateri di dalamnya. Ia membolehkan pemain menyimpan atau save permainan mereka supaya boleh disambung kemudian.

Sebelum Zelda, rata-rata permainan video menyediakan kata laluan (password) yang panjang supaya pemain boleh menyambung permainan mereka terdahulu.

3. Tetris (1984)

tetris

Pada 1984, Alexey Pajitnov mencipta satu permainan puzzle iaitu Tetris menggunakan peranti Electronika 60. Permainan itu tidak mempunyai grafik sebenar atau sistem pemarkahan tetapi ia amat mengasyikkan.

Tetris menjadi kegilaan di seluruh Kesatuan Soviet tetapi Pajitnov ingin memasarkannya ke seluruh dunia. Walaupun tidak mudah, Tetris berjaya menembusi pasaran Amerika pada 1987. Walaupun banyak platform melancarkannya tetapi Nintendo berjaya mempopularkannya.

Nintendo membangunkan Tetris yang dimainkan bersama Game Boy pada 1989. Berjuta-juta orang membeli Game Boy untuk bermain Tetris, menjadikannya raja kepada permainan mudah alih ketika itu.

2. Pac-Man (1980)

pacman

Pada era 70-an, kebanyakan permainan video adalah dari genre shooting dan diminati oleh lelaki berbanding wanita. Disebabkan itu, Toru Iwatani ingin melakukan sesuatu yang berbeza. Dia ingin mencipta permainan video yang comel serta berwatak kartun.

Maka lahirlah Pac-Man dan ia merupakan kejayaan kilat dan menjadi fenomena dunia permainan video. Malah, imej Pac-Man secara tidak langsung menjadi duta kepada semua jenis permainan video. Walaupun lebih daripada 40 tahun, Pac-Man masih menjadi permainan video paling laris dijual.

Sesiapa sahaja yang meminati permainan video pada era 80-an, 90-an atau seterusnya pasti pernah sekurang-kurangnya sekali mencuba Pac-Man. 

1. Super Mario Bros. (1985)

super mario

Walaupun NES mempunyai lebih daripada 700 permainan tetapi tidak ada yang memberi impak sehebat Super Mario Bros ciptaan Shigeru Miyamoto.

Permainan ini menampilkan soundtrack yang mengagumkan, grafik yang terang dan jelas serta permainan yang menghiburkan. Sistem pemarkahannya memberikan cabaran kepada pemain kedua dan permainan itu penuh dengan barangan tersembunyi dan zon rahsia.

Malah, Super Mario Bros juga menyelamatkan industri permainan video. Pada tahun 1983, industri ini mengalami kejatuhan yang besar. Ramai menyangka zaman permainan video tidak akan bertahan lama. Namun, kemunculan Super Mario Bros membuktikan permainan video masih lagi releven dan berkembang sehingga sekarang.



Hakcipta iluminasi.com (2017)