Satu masa dahulu, arked permainan video merupakan medan peminat permainan video menguji kehandalan, selain menjadi bentuk perniagaan yang sangat menguntungkan pengusahanya. 

Berbeza dengan taman permainan video zaman sekarang yang lebih mesra keluarga, arked video dulu pula agak kurang mesra orang ramai. Hanya mereka yang benar-benar meminati permainan video, sanggup bersesak dengan orang ramai menghidu asap rokok - akan ke sana menikmati judul-judul arked lejen. 

Ada lima judul permainan arked yang popular di kalangan ahli masyarakat kita,menjadi kegilaan ramai serta mengakibatkan puluhan ringgit tanpa kita sedar berlakunya pembaziran.

1. Virtua Cop

virtua cop permainan arked popular 90 an

Sebelum terbitnya Virtua Cop, tidak banyak judul permainan video yang mampu memberikan sensasi tembak menembak setangkas judul ini. 

Virtua Cop mampu meletakkan 2 pemain serentak, ebagai anggota polis yang bertanggungjawab membasmi jenayah dalam siri-siri adegan yang kreatif dan inovatif. Lebih mengagumkan judul ini juga menjadi antara permainan arked terawal menggunakan sistem grafik bertekstur 3 dimensi. 

virtua cop aksi tembak menembak

Berkat popularitinya, Virtua Cop menjadi antara judul paling laku jualannya bukan saja di Jepun bahkan turut sama bergelar judul 10 paling popular di Amerika Syarikat.

Populariti ini mendorong penerbitnya Sega untuk turut sama menerbitkan judul sama dalam format mesin konsol rumah dan PC, yang boleh dimainkan menggunakan tetikus. 

Tetapi semua itu tak sama. Bagi mereka yang pernah merasai pengalaman menembak menggunakan pistol di arked bersama rakan-rakan, mereka tahu hanya arked mampu memberikan pengalaman yang pada ketika itu diiktiraf jauh mendahului zaman.

2. Daytona USA

daytona usa permainan arked popular

Sebelum kemudahan alat pengawal stereng mula dikeluarkan bagi kegunaan rumah, ramai anak muda zaman perlu merasai pengalaman berlumba dengan mesin arked. Mesin Daytona USA mampu memberikan sensasi pemanduan yang seronok dirasai siap dengan gear manual lagi. 

Lebih mengagumkan rekaan kabinet arked itu mempunyai fungsi stereng yang memberikan maklum balas tekanan, membolehkan pemain merasai tindak balas kereta hanya dari pergerakan dan tekanan stereng. 

daytona usa arked judul lejen popular malaysia

Bagaimanapun hanya arked-arked tertentu saja mampu memiliki mesin ini. Kosnya agak tinggi.

Setiap satu unit berkembar yang mampu dimainkan dua pemain dan mempunyai binaan mirip kokpit kereta sebenar lengkap dengan pembesar suara individu; dijual pada harga USD20,000 di Amerika Syarikat.

Harga yang sangat tinggi tidak menghalang sesetengah pengusaha tempatan memberanikan diri membeli unitnya. Khasnya apabila dua unit mesin ini disambungkan, membolehkan empat pemain dapat berlumba serentak.

Bila cukup ada 4 orang bermain sekali - memang seronok kena sorak dengan kawan-kawan kalau menang.

3. Time Crisis

time crisis judul popular arked

Jika Virtua Cop memperkenalkan judul menembak generasi baru kepada ramai pemain, permainan tembak menembak Time Crisis keluaran syarikat Namco pula membawa satu perubahan radikal yang mengubah genre itu.

Pengenalan pedal yang perlu dipijak dengan kaki bagi mengawal gerakan sembunyi dan menembak menjadi faktor utama kenapa judul ini diterima baik peminat. Time Crisis benar-benar mampu membuatkan pemainnya merangka strategi - adakah selamat untuk keluar menembak atau lebih baik kekal berlindung.

time crisis judul arked popular 90 an

Ekoran aksinya yang mantap, melihat individu cuba bermain Time Crisis saja sudah cukup menghiburkan. Lebih menghiburkan apabila ada pemain-pemain baru yang terus memijak pedal bersembunyi kerana takut terkena peluru - mengakibatkan masa tamat.

Populariti judul ini membolehkan Time Crisis diperkembangkan dalam beberapa siri sambungan seterusnya, kali terakhir dikeluarkan pada tahun 2015 menerusi Time Crisis 5.

Versi terbaru ini memperkenalkan kawalan dua pedal serentak untuk seorang pemain, membolehkan pemain bertukar-tukar tempat bersembunyi semasa permainan menambahkan lagi debarannya.

4. Virtual ON

virtua on judul permainan arked popular

Secara jujur penulis tak tahu berapa ringgit penulis telah habiskan bermain judul ini.

Keunikan yang dimiliki Cyber Troopers: Virtual On membolehkannya tampak jauh berbeza berbanding judul-judul arked lain sezamannya. Cyber Troopers: Virtual On atau lebih dikenali sebagai Virtual On adalah judul pertarungan 1 lawan 1 robot-robot gergasi.

Datang dengan dua kabinet siap dengan tempat duduk dan kokpit kawalan yang aneh, tidak ada judul lain serupa dengannya. 

videogame arked lejen 90 an

Pemain diberikan kawalan ke atas robot pilihan mereka menggunakan dua kayu bedik (joystick) yang dipasangkan dengan pemicu dan butang. Semua kawalan dan tembakan dilakukan seolah-olah kita benar-benar berada dalam kerangka robot tersebut.

Judul ini mempunyai grafik yang cantik serta rekaan robot yang menarik. Setiap robot gergasi mempunyai perwatakan tersendiri yang membezakan kemampuannya. Sensasi mengelakkan serangan pihak lawan yang diberikan judul ini, belum pernah penulis dapat rasai dalam judul-judul lain sehingga kini.

5. Battle Gear

battle gear taito judul arked popular malaysia

iklan

Selepas demam Daytona USA mula reda di negara kita, peminat sukan perlumbaan maya mula tercari-cari apakah judul seterusnya yang mampu memenuhi permintaan mereka.

Pada ketika itu juga ramai peminat komik Jepun turut menggilai siri 'Initial D', memaparkan seorang pemuda penghantar makanan yang cekap memandu sebuah kereta lama menuruni bukit berliku.

battle gear judul popular arked

Dek kegilaan peminat terhadap siri itu, muncul sebuah judul permainan video arked keluaran syarikat Taito diberikan judul 'Side by Side' - yang memaparkan kenderaan dunia sebenar dalam perlumbaan.

Seperti Initial D, Side by Side membawakan budaya lumba haram Jepun, merekabentuk semua laluan berbukit atau 'touge' yang sering dijadikan trek perlumbaan anak muda, untuk dijadikan pentas berlumba secara maya.

Side by Side dikeluarkan sebanyak dua judul di arked sebelum pengenalan mesin arked Taito baru mengubah judul ini kepada nama barunya 'Battle Gear.' Sehingga kini mesin ini masih mudah didapati di taman-taman permainan dalaman di negara kita, mampu menempatkan dua pemain dalam satu-satu masa.

Cuma penyelenggaraannya agak longlai. Pusing stereng pun kadangkala kereta tak bergerak. Kereta pun jalan lurus saja.



Hakcipta iluminasi.com (2017)