Penulis merupakan peminat setia komik Jepun atau dalam bahasa popularnya, 'manga' Jepun yang mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia.

Bila kita dah rajin mengikuti kisah-kisah imaginasi yang disampaikan oleh pengkarya Jepun ni, amat lebih mudahlah untuk kita perasan pengaruh dan elemen-elemen yang sebenarnya diulang-ulang dan digunapakai pengkarya Jepun dalam menghasilkan jalan cerita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

jepun manga stereotaip 787

Wataknya berbeza, judulnya berbeza, tetapi lima stereotaip komik Jepun ini pasti ada dalam mana-mana jalan cerita mereka tanpa diketahui sebabnya. Mungkin kerana memang begitulah acuannya sejak mula.

1. Seteru yang berubah jadi kawan

vegeta antihero

Kita mulakan dengan teknik paling mudah yang kerap kali digunakan oleh pengkarya Jepun dalam menarik minat pembaca - mencipta watak antihero. Antihero ini boleh muncul dengan pelbagai cara, sama ada insaf selepas tewas dengan hero ataupun tersedar selepas melihat kerosakan yang dimusnahkan.

Antara watak antihero yang membuktikan teknik ini sangat kerap dimainkan dalam komik Jepun adalah watak Aizen Sousuke dalam siri Bleach, Akira Sendoh dalam siri Slam Dunk, Orochimaru dan Itachi Sasuke dalam siri Naruto serta banyak lagi watak sama.

Salah satu watak paling popular dalam dunia komik Jepun yang menggambarkan watak antihero tipikal mereka adalah watak Vegeta dalam siri popular Dragonball. Dia datang untuk menghapuskan Son Goku, tetapi pada penghujung jalan cerita - dialah yang paling pantas akan mengorbankan diri demi menyelamatkan keluarga barunya.

Kenapa pengkarya Jepun amat gemarkan watak-watak ini? Kami berpendapat daripada segi penerimaan watak, jauh lebih mendalam identiti eseorang yang insaf dan berubah berbanding dengan watak Son Goku misalnya, yang amat jarang sekali berbuat silap. Apabila sesuatu watak itu pernah berdosa, secara realistiknya kita juga akan lebih senang mengaitkan diri mereka dengan kita.

2. Pasti ada yang lebih kuat

yhwach penjahat utama bleach

Stereotaip ini merupakan kaedah penceritaan paling popular yang pengkarya Jepun selalu gunakan. Kita dah dijamu dengan penceritaan yang panjang, dikhabarkan tentang penjahat yang super power sekali jentik rata gunung, rupa-rupanya di luar sana ada penjahat lain yang sekali jentik meletup planet. Dah menang dengan penjahat tu, tengok-tengok ada penjahat lain sekali jentik, bima sakti meletup.

Perkara itu akan berulang-ulang bergantung kepada sejauh mana imaginasi pelukis itu mahu pergi. Dalam skop yang besar, siri Dragonball menjadi acuan kepada stereotaip ini dan memang jelas diikuti oleh majoriti komik yang ada. Lihat saja komik One Piece misalnya dan perubahan yang perlu dilalui oleh watak utama filem itu, demi mengalahkan musuh yang entah dari mana datangnya dan semakin hebat episod ke episod.

Komik-komik bergenre sukan yang popular juga ada kalanya mengikuti acuan serupa, memaparkan rintangan pasukan watak utama yang semakin lama semakin sukar. Setakat ini, yang penulis tahu komik Slam Dunk berjaya lari daripada stereotaip ini apabila kisahnya tidak menggunakan acuan serupa - malahan membawa perbezaan yang masih jarang dapat diikuti komik popular Jepun lain.

3. Guru yang ikonik

hiko seijuro guru cool

Datuk Muten bagi Son Goku, Jiraiya bagi Naruto, Ryuken bagi Kenshiro, Hiko Sejuro bagi Kenshin Himura - kesemua ini adalah nama watak-watak yang boleh dikatakan bertindak sebagai guru sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, kepada watak-watak utama manga Jepun popular dunia.

Ada satu perbezaan yang kerap kali pengkarya Jepun gunakan pada watak guru-guru ini; sama ada mereka tersangat-sangatlah serius ataupun mereka akan digarapkan supaya mempunyai sikap tersangatlah kelakar (serta sedikit nakal terhadap wanita).

Bagaimanapun, persamaannya pula dapat dilihat daripada cara pengkarya Jepun meletakkan guru-guru ini sebagai seorang individu yang perlu dijulang dan diingati kedudukan mereka, walaupun masih hidup atau telah meninggal dunia. Seronok sebenarnya melihat bagaimana pengkarya Jepun gemar menyanjung tinggi guru dalam karya mereka dan kami berpendapat, inspirasi sebegitu datang daripada sikap budaya masyarakat mereka sendiri yang sangat menghargai pengorbanan guru.

4. Watak yang bersusah payah dan dikagumi

krillin watak penting dragonball

Selain sangat mahir memaparkan jalan cerita antihero, pengkarya Jepun juga sangat pandai menggarap watak baik yang berhati besar, sanggup berkorban tetapi mempunyai kebolehan yang terhad - walau demikian watak-watak ini tetap dianggap peminat komik sebagai pencetus inspirasi serta pembakar semangat pembaca.

Antara watak komik paling popular yang membawakan identiti sedemikian adalah watak Kurin/Krillin dalam siri Dragonball - seorang pelatih sami yang berhati baik, tetapi pada satu tahap tidak lagi mampu bersaing dengan kawan-kawannya selepas menyedari kemampuannya sangat terbatas.

Dalam siri Doraemon pula misalnya, watak utama siri tersebut yang dinamakan Nobita pula dibentuk dengan menggunakan identiti ini - seorang yang lemah serba-serbi dan perlu dibantu oleh Doraemon bagi membina jati dirinya. Sekiranya anda perhatikan, tema komik juga memainkan peranan yang besar dalam menentukan kedudukan watak sebegini.

Komik pertarungan yang lebih serius biasanya akan meletakkan watak sebegini sebagai watak sampingan, sementara itu komik bergenre komedi pula gemar meletakkan watak sebegini sebagai watak utama. Selain Doraemo, siri Chibimaruko, Ninja Boy dan Dr. Slump membawakan kaedah serupa menjadikan komedi sebagai latar belakang penggerak kisahnya.

5. Gadis seksi bawah umur dengan pakaian tak masuk akal

gadis bawah umur seksi jepun

Anda pasti sedar kan orang Jepun sangat gemar memvisualkan gadis-gadis remaja dalam keadaan yang sangat mengghairahkan, walaupun majoriti watak yang dibangunkan ramai yang masih berada di bawah paras umur minima. Pelik kan budaya mereka? Tak pelik bagi mereka.

Ini kerana undang-undang mereka mempunyai pengiktirafan yang jauh berbeza berbanding apa yang biasa kita ikuti. Hanya pada tahun 2014, kerajaan Jepun bertindak mengharamkan sebarang bentuk pornografi melibatkan kanak-kanak.

Selain itu, wujud beberapa kekeliruan tentang had minima umur sebenar hubungan seksual boleh dilakukan di Jepun. Dalam satu akta, umur minima bagi rakyat Jepun mengadakan hubungan seks adalah 13 tahun sementara dalam satu akta lain, ada dinyatakan umur minimanya adalah 18 tahun. Besar kemungkinan masyarakat Jepun sendiri keliru dengan undang-undang mereka, menyebabkan ramai ahli masyarakat mereka secara terbuka mempunyai keinginan seksual yang melampau terhadap gadis-gadis kecil.

Pada pendapat penulis, daripada situlah puncanya obsesi pengkarya Jepun dalam menseksualisasikan watak-watak bawah umur dalam lukisan-lukisan mereka. Pada mereka, apa yang mereka lakukan itu merupakan sesuatu yang biasa serta tidak perlu malu untuk terus diamalkan.




Hakcipta iluminasi.com (2017)