carlos kaizer

Dia merupakan antara legenda bola sepak Brazil yang paling terkenal, namun dia tidak pernah beraksi di padang. Begitulah kisah Carlos Henrique Raposo, seorang penipu yang berlakon sebagai bintang bola sepak dan menjadi popular kerana 'kehandalannya' di atas padang walaupun tidak pernah bermain walau satu perlawanan pun.

Carlos yang dikenali sebagai "Kaiser" menikmati kerjaya sebagai bintang bola sepak selama lebih dua dekad sehingga dia ditandatangani oleh kelab-kelab besar yang terunggul di Brazil. Malah, dia juga diterima dalam pasukan bola dari Amerika Selatan, Amerika Syarikat dan juga Eropah.

carlos kaiser pemain bola sepak yang tidak pernah menendang bola

Apa yang menakjubkan, dia tidak pernah menyepak bola sepanjang masa tersebut.

Nama jolokan "Kaiser" itu diberi kerana dia mendakwa dirinya mempunyai beberapa persamaan dengan pemain pertahanan Jerman yang hebat iaitu Franz Beckenbauer. Selama lebih 20 tahun, dia menggunakan pesona, tipu helah dan pelbagai pembohongan bijak untuk mengaburi mata pasukan-pasukan yang menandatangani kontrak dengannya.

Penipu paling besar dalam sejarah bola sepak

Dia akan menunjukkan video palsu "tendangan gol terbaiknya" dan membayar "peminat" untuk menyeru namanya bagi meyakinkan pengurus-pengurus kelab bahawa dia adalah seorang bintang bola sepak sejati. Namun, bila tiba masa untuk menunjukkan bakatnya, dia pandai mencari pelbagai alasan supaya dapat mengelak daripada bermain. Antara alasan licik yang pernah digunakan adalah seperti berpura-pura mengalami kecederaan, berbalah sehingga dipaksa keluar padang dan juga menghadiri pengebumian nenek. Alasan nenek meninggal dunia itu juga telah digunakan lebih daripada empat kali.

carlos kaiser semasa bermain dengan kelab wacker innsbruck austria

Pernah terjadi satu peristiwa apabila dia hampir dibawa masuk ke padang sebagai pemain gantian bagi pasukan Bangu di Rio yang sedang berada di ambang kekalahan dengan skor 2-0. Ketika itu, Carlos dengan tidak semena-mena terus memanjat pagar, menjerit-jerit sambil melaungkan kata-kata kesat kepada para penyokong pihak lawan. Dia terus dilayangkan kad merah serta-merta oleh pengadil.

Semasa dia menjadi bintang kelab bola Perancis Gazelec Ajaccio dan perlu menghadiri sesi latihan bersama peminat, Carlos menendang kesemua bola ke arah peminat untuk disimpan sebagai cenderamata. Disebabkan kehabisan bola, pasukan itu tidak dapat berlatih pada hari tersebut dan Carlos Kaiser sekali lagi berjaya 'mengelat.'

antara artikel yang ditulis mengenai carlos kaiser

Selain menggunakan rakaman video tendangan gol yang palsu, Carlos sentiasa mempunyai kepingan gambar dirinya bersama pemain-pemain bola Brazil yang terkenal untuk lebih menjayakan penipuannya. Dia juga menyogok pelbagai maklumat palsu kepada pihak wartawan yang akan menulis artikel-artikel menggegarkan yang melabelkan dirinya sebagai "the King" dan sebagainya.

Carlos berjaya hidup dalam penipuan selama 26 tahun tanpa disedari sesiapa sehinggalah dia bersara pada usia 41 tahun dan dikenali sebagai bintang penyerang bola sepak yang tidak pernah menjaringkan gol.

Kerjaya 'hebat' yang difilemkan

Pada tahun 2018, kisah Carlos yang menakjubkan ini telah diadaptasi menjadi sebuah filem berjudul "The Greatest Footballer Never to Play Football" yang diarahkan oleh Louis Myles. Pada masa yang sama, sebuah buku hasil tulisan Rob Smyth juga dihasilkan.

carlos kaiser pemain bola sepak profesional yang tidak pernah bermain walau satu perlawanan

Ramai peminat bola sepak mengecam perbuatan Carlos. Mereka mendakwa dia hanya mahukan kehidupan mewah seorang bintang bola sepak Brazil dengan mudah namun tidak punya kemahiran dan kerja keras yang setimpal. Walau bagaimanapun, dalam satu temu ramah dengan Daily Mirror UK, Carlos menjelaskan perihal kisah penyamarannya selama lebih dua dekad itu. Dia mendakwa yang sebenarnya dia telah diculik oleh seorang wanita semasa masih bayi lagi dan wanita tersebut memaksanya mendapatkan wang dengan bermain bola sepak.

Menurut Carlos, dia hanyalah seorang mangsa. Dia mendapat tahu melalui sepupunya yang ibu angkatnya, Lina, telah menculik Carlos daripada ibu kandungnya semasa berusia tujuh hari. Ibu kandungnya pula menyangka yang Carlos telahpun meninggal dunia.

Sepanjang membesar di bawah jagaan Lina, wanita itu merupakan seorang yang sangat kejam. Ketika Carlos berumur 10 tahun, dia mendaftarkan Carlos ke sekolah sukan bola sepak dan memaksanya bermain supaya dia boleh menjadi kaya-raya. Namun, sejak itu, Carlos mula membenci bola sepak.

carlos kaiser bermain untuk kelab terkemuka

Sejak dimasukkan ke sekolah itu, Carlos berusaha melakukan segala-galanya agar sentiasa dapat mengelakkan diri daripada bermain di padang. Pakar psikologi memaklumkan bahawa itulah punca Carlos membesar dan menjadi sedemikian.

Tahun 80-an dan 90-an merupakan era di mana pemain bola sepak Brazil sering dianggap legenda paling ulung di seluruh dunia. Namun, Carlos lebih hebat daripada pemain-pemain ini.

Dari akademi ke alam realiti

Sejurus menamatkan latihan di akademi remaja kelab Botafogo Rio, Carlos yang berusia 16 tahun ditawarkan peluang untuk menjalani sesi percubaan bagi menyertai pasukan bola sepak Mexico iaitu Puebla FC. Malangnya, Carlos gagal memenangi hati panel jurulatih dan dilepaskan tanpa perlu bermain.

Selepas beberapa ketika bersama El Paso Patriots di Amerika Syarikat (sudah semestinya tanpa sebarang penampilan di atas padang), Carlos kembali ke bandar kelahirannya. Ketika itu, dia membuat kenyataan yang dia telah membantu kelab Independiente FC memenangi  Copa Libertadores dan meyakinkan kelab-kelab terbesar Brazil untuk menandatangani kontrak dengannya.

carlos keiser gemar bergambar dengan pemain bola sepak terkenal yang lain supaya boleh memperdaya orang

Carlos mula berkeliaran di kelab-kelab malam paling eksklusif di Rio untuk mencari pemain bola yang terkenal. Dia menggunakan tarikan keperibadiannya yang menawan dan mula berkawan dengan Romario, Bebeto, Carlos Alberto serta Zico sehingga mereka juga terpedaya dan menyangka Carlos adalah bintang bola sepak seperti mereka.

Legenda bola sepak Brazil, Bebeto, pernah menyatakan Carlos boleh menawan hati sesiapa sahaja. Sebaik sahaja dia membuka mulut, orang di sekelilingnya pasti terpukau dengan setiap patah kata yang diucapkan.

Dengan bantuan rakan-rakan pemain bola terkenal inilah Carlos berjaya membuatkan banyak kelab benar-benar percaya untuk menandatangani kontrak dengannya. Ia bermula dengan Botafogo, diikuti pula dengan Flamengo.

carlos kaiser dan torres

Sebaik sahaja menerima kontrak dan yuran perpindahannya, Carlos akan mula berfikir dan membuat rancangan bagaimana dia boleh mengelakkan diri daripada menyepak bola sama sekali. Majoriti pemain lain akan tiba ke perlawanan dengan minda yang fokus untuk bermain bersungguh-sungguh dan cuba sedaya-upaya menjaringkan gol tetapi Carlos pula melakukan perkara sebaliknya. Dalam kotak fikirannya hanya terdapat alasan dan cara terbaik untuk mengelak daripada bermain.

Carlos sering berunding untuk mendapatkan perjanjian jangka pendek sahaja dengan kelab-kelab yang ditandatangani. Setelah berjaya menyertai sesebuah kelab, dia akan memberitahu pengurus bahawa dia tidak cukup cergas untuk bermain dalam perlawanan dan memerlukan beberapa minggu untuk memberikan tumpuan pada latihan.

carlos kaiser

Sekiranya dia terpaksa juga turun ke padang untuk bermain, dia akan segera jatuh ke tanah secara tiba-tiba, menjerit kesakitan dan mendakwa yang dia telah mengalami kecederaan hamstring. Salah seorang sahabat baiknya bekerja sebagai doktor gigi dan boleh mengeluarkan sijil cuti sakit untuknya. Maka, dia boleh 'direhatkan' selama beberapa bulan dengan begitu mudah.

Carlos juga sering meyakinkan semua orang bahawa dia menerima banyak tawaran daripada kelab-kelab Eropah dengan berpura-pura bercakap dalam bahasa Inggeris menggunakan telefon bimbit mainan. Lakonan drama ini terpaksa dihentikan apabila terdapat seorang jurulatih yang boleh berbicara dalam bahasa Inggeris dengan sempurna. Walau bagaimanapun, kerjayanya yang luar biasa ini akhirnya berjaya menjejakkan kakinya ke kelab-kelab bola sepak Eropah termasuklah Ajaccio (Perancis) dan Wacker Innsbruck (Austria).

Statistik 'sapu bersih'

Sehingga hari terakhirnya sebagai seorang 'bintang bola sepak,' Carlos Kaiser telah berjaya melewati 10 kelab terkemuka dengan satu set statistik yang tidak pernah dicapai oleh orang lain: tiada perlawanan, tiada jaringan gol dan tiada bantuan gol (assist).

carlos kaiser terkini

Carlos yang kini berusia 55 tahun menderita sakit pinggul dan mempunyai penglihatan yang tidak begitu baik. Dia juga telah menjadi seorang penganut agama Buddha dan memenuhi impiannya selama ini untuk menjadi seorang jurulatih kecergasan yang melatih ahli bina badan wanita.

Menurut Carlos, dia tidak pernah sukakan bola sepak. Sukan tersebut tidak pernah menarik minatnya namun dia tidaklah berasa bangga dengan apa yang dilakukan selama 26 tahun itu. Baginya, perbuatan itu hanyalah sesuatu yang perlu dilakukan untuk menjadi seorang survivor.


tags : , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)