Oleh pada 17 Oct 2022 kategori

Sukan apabila sudah dipertandingkan dalam peringkat profesional, dilihat sebagai satu pekerjaan utama yang menjadi punca pendapatan.

Apabila dah jadi pekerjaan, pasti ada kontrak. Setiap kontrak pula mesti ada syarat dan klausa yang harus dipersetujui kedua-dua pihak, baik atlet sebagai pekerja dengan kelab atau persatuan sebagai majikan, sebelum mereka layak didaftarkan.

Bagi kebanyakan pemain bola sepak, kontrak mereka adalah kontrak biasa antara pekerja dengan majikan. Tidak ada pengecualian atau keistimewaan aneh dimaktubkan dalam kontrak mereka.

Dalam sesetengah kes unik, pemain atau kelab harus mempersetujui syarat-syarat aneh ketika di meja rundingan sebelum membolehkan tandatangan diturunkan. Berikut adalah lima yang paling aneh syaratnya.

1. Lionel Messi dibenarkan bertukar kelab..jika Catalonia merdeka

lionel messi catalonia kontrak barcelon

Politik bergolak di antara negeri Catalonia yang ingin bebas dengan kerajaan Sepanyol, menyulitkan banyak situasi. Salah satu badan yang cukup terkesan, adalah kelab gergasi Sepanyol, Barcelona.

Ini kerana mereka beroperasi dalam wilayah Catalonia dan susur galur kelab ini lebih rapat dengan tradisi Catalonia. Situasi politik ini selain menjerat pengurusan kelab, turut menjerat salah seorang pemain terbaik dunia, Lionel Messi; walaupun dia orang Argentina.

Pada tahun 2017, bagi menandatangani kontrak baru Barcelona meletakkan syarat Messi haruslah bersedia untuk berintegrasi dengan lebih baik dalam masyarakat dan budaya orang Catalonia, dengan penekanan kepada penggunaan bahasa Catalan asli menjadi satu syarat penting.

Sebagai timbali balik untuk bersetuju kepada permintaan ini, Lionel Messi meletakkan syarat sekiranya Catalonia berjaya memperolehi kemerdekaan dari kerajaan Sepanyol sepanjang kontrak itu berlangsung, dia dibenarkan untuk membatalkan kontrak dan berpindah ke kelab lain, bergantung kepada pilihannya.

Kontrak itu dipersetujui.

Beberapa tahun kemudian setelah masalah kewangan menimpa Barcelona dan Messi sendiri menerima potongan gaji, dia berpindah ke kelab PSG di Perancis menamatkan klausa ini daripada terus berjalan.

Sehingga ke hari ini ura-ura Barcelona masih mahukan Messi kembali ke Catalonia agar dapat kembali berbakti di sana, terus kedengaran. Ini kerana Messi dikatakan mampu menjadi ikon berpengaruh dalam kebangkitan warga Catalonia menuntut kemerdekaan mereka.

2. Penyerang Jerman mahu rumah disediakan untuknya

giuseppe reina lego house

Memulakan karier pada tahun 1990, penyerang kelahiran Jerman, Giuseppe Reina mempamerkan aksi baik bersama kelab SG Wattenscheid 09 menjaringkan 15 gol dalam 56 penampilan.

Berkat prestasi baik itu, dia ditawarkan peluang menandatangani kontrak dengan kelab Arminia Bielefeld. Semasa rundingan dijalankan, Reina tegas mahu Bielefeld menaja baginya sebuah rumah untuk setiap tahun kontraknya.

Kontrak 3 tahun yang ditawarkan mampu memberikan Reina pulangan 3 buah rumah, selain pendapatan yang sepatutnya diterima. Permintaan itu dipersetujui kelab tersebut.

Malang bagi Reina, kontrak itu tidak memperincikan apakah jenis dan saiz kediaman yang perlu dibina pengurusan Arminia Bielefeld dalam memenuhi syarat tersebut. Jadi pengurusan kelab membina 3 buah rumah bersaiz miniatur yang diperbuat daripada bongkah LEGO untuk dihadiahkan kepada Reina setiap tahun.

Tidak berpuas hati kerana melihat tindakan Arminia Bielefeld seakan memperbodohkan dirinya, Reina membawa kes ini ke mahkamah.

Kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah selepas Reina ditawarkan sejumlah pampasan, agar isu itu tidak lagi dipanjangkan.

3. Ronaldinho mahu dibenarkan berparti 2 kali seminggu

ronaldinho parti syarat flamengo

Hidup sebagai atlet profesional memerlukan seseorang mengamalkan tahap disiplin yang sangat tinggi.

Kecuali bagi beberapa kelompok istimewa...seperti legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho. Dia cukup terkenal dengan hidup berpoya-poya gemar berparti tetapi tetap mampu memberikan aksi terbaik ketika berada di atas padang.

Pada penghujung karier beliau, Ronaldinho kembali ke tanah airnya selepas kontraknya dengan AC Milan tamat, dengan kelab Flamengo menyuarakan minat mahu mendapatkan khidmat beliau.

Bagi mencapai persetujuan, Ronaldinho meletakkan satu syarat mudah; dia harus dibenarkan berparti sesuka hati beliau dua malam dalam setiap minggu, tanpa ada apa-apa kekangan dikenakan. Pengurusan kelab Flamengo bersetuju.

Satu musim bersama kelab itu, Ronaldinho yang pada ketika itu berusia 31 tahun tampil dalam 56 perlawanan, menjaringkan 23 gol; untuk seorang kaki parti, rekod itu sangat-sangat mengagumkan.

4. Pemain dihadkan masa permainan bagi mengelak bayaran lebih

antoine griezmann 30 minit setiap perlawanan

Dalam sesetengah kes unik, ada pemain yang dihalang daripada beraksi demi menjimatkan perbelanjaan kelab. Kes sebegini pernah berlaku kepada pemain sayap Liverpool dan England, Alex Oxlade Chamberlain ketika dia masih mewakili kelab Arsenal.

Untuk setiap penampilan di mana Chamberlain bermain lebih 20 minit, Arsenal perlu membayar kelab asal pemain itu Southampton sebanyak £10,000.

Syarat tersebut mengakibatkan dalam beberapa musim bersama Arsenal, Chamberlain terpaksa berpuas hati melakukan penampilan pada penghujung perlawanan dan hanya sekali-sekala bermula dalam kesebelasan utama.

Begitulah juga yang berlaku kepada penyerang terkenal Perancis, Antoine Griezmann. Selepas gagal merebut posisi dengan kelab Barcelona, Griezmann dipinjamkan kepada kelab lamanya Athletico Madrid dengan syarat:

Sekiranya dia bermain lebih 45 minit dalam 50% perlawanan disertainya, Athletico perlu membayar Barcelona EUR40 juta sebagai yuran perpindahan wajib serta merta.

Bagi mengelakkan klausa pembayaran ini aktif, Griezmann diturunkan pada minit ke 60 setiap perlawanan, bagi meminimakan penyertaan beliau walaupun reputasinya sebagai pemain berbisa sangat disegani.

Itulah yang berlaku dalam beberapa perlawanan sebelum pengurusan kedua-dua kelab duduk berbincang, bersetuju membenarkan beliau berpindah ke Athletico secara kekal membolehkan Griezmann beraksi tanpa ada lagi sekatan.

5. Bekas pertahanan Liverpool didenda jika lebih berat

iklan

klausa syarat aneh kontrak

Jika anda mengikuti perkembangan liga perdana Inggeris beberapa dekad dulu, pasti anda pernah mendengar nama Neil Ruddock, seorang pertahanan kental yang terkenal dengan corak permainan keras dan kasar.

Corak kurang disiplin permainannya itu malangnya turut menular ke dalam hidup beliau, kerana Ruddock turut dikenali sebagai seorang kaki minum dan suka berparti. Semasa ditawarkan untuk menyertai kelab Crystal Palace, pengurusan Palace meletakkan syarat untuk Ruddock mengawal berat badannya pada tahap 98.8 kg.

Jika dia melebihi tahap ditetapkan, gajinya akan dipotong 10%. Klausa ini diharap dapat membantu Ruddock fokus kepada tugasannya namun malangnya tetap tidak membantu.

Dia didenda beberapa kali dalam musim tersebut sehinggalah kontraknya ditamatkan selepas satu musim sahaja. Ruddock kemudiannya ditawarkan beraksi dengan kelab Swindon Town, berjaya menurunkan berat badan sedikit.

Penurunan itu tidak banyak membantu kerana Ruddock tetap dikategorikan terlebih berat untuk seorang pemain bola sepak profesional, sehinggakan gagal melepasi ujian asas kecergasan asas yang dijalankan.

Sudahlah tidak layak, Ruddock juga mencipta satu masalah baru bagi pengurusan kelab selepas semua seluar pendek yang dimiliki kelab gagal dipakai oleh Ruddock ekoran saiz tubuh beliau yang agar besar.

Beberapa cubaan membantu Ruddock kembali pada tahap tubuh optimum gagal, akhirnya pengurusan Swindon Town menyerah kalah mengisytiharkan Ruddock tidak lagi layak bermain.

Tindakan Swindon menamatkan kontrak secara mengejut dicabar Ruddock di mahkamah tribunal. Ruddock menang kes tersebut dan berjaya mendapatkan tuntutan gaji tertunggak sebanyak £57,000.




Hakcipta iluminasi.com (2017)