Apabila kerajaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan pengharaman merokok di restoran, pastinya pengumuman tersebut tidak disenangi ramai perokok. Tidak kurang juga ada yang ingin mencabar perlaksanaan tersebut dari segi undang-undang.

Selain itu, ada juga pihak yang mendakwa seolah-olah kerajaan "membuli" para perokok dengan tidak membenarkan lagi merokok di restoran. Segelintir pemilik restoran juga tidak menyenangi tindakan kerajaan ini dengan mendakwa mereka turut mendapat tempiasnya kerana perokok kini kurang melepak di restoran mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

pengharaman merokok di uk 507

Bagi ibu-bapa yang tidak merokok dan seringkali membawa anak-anak kecil mereka ke restoran, penguatkuasaan undang-undang baru ini semestinya disambut baik. Malah, ramai yang mengatakan mereka mereka kini lebih selesa untuk menjamu selera di restoran dan kedai makan tanpa perlu memikirkan mengenai asap rokok yang mungkin dihidu oleh anak mereka.

Undang-undang seperti ini merupakan sesuatu yang baru di Malaysia. Namun di negara lain seperti UK misalnya, pengharaman merokok di tempat awam sebenarnya sudah diperkenalkan sejak lebih 10 tahun yang lalu. Kali ini pihak Iluminasi ingin berkongsi 7 perubahan yang berlaku di UK sejak undang-undang seperti ini diperkenalkan sejak 10 tahun yang lalu.

1. Lebih ramai perokok berhenti merokok

berhenti merokok 398

Daripada statistik, terdapat peningkatan mendadak terhadap jumlah perokok yang mengambil keputusan untuk berhenti merokok. Secara umumnya, kita sedia maklum akan keburukan merokok kepada kesihatan tubuh badan dan pengharaman ini seterusnya membantu perokok untuk tidak merokok tanpa mengira tempat dan masa.

Sejak undang-undang ini diperkenalkan, jumlah perokok didapati semakin berkurang dari tahun ke tahun. Malah orang ramai juga makin menyambut baik undang-undang ini. Jumlah perokok muda di bawah umur 16 tahun juga berkurang hampir separuh kepada hanya 3% sejak 2007.

2. Jumlah perokok dimasukkan ke hospital berkurangan

xray perokok

Statistik juga menunjukkan penurunan yang signifikan terhadap jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital kerana serangan jantung, asma dan jangkitan baru dan penyakit lain disebabkan oleh asap rokok. Hanya 1 tahun selepas undang-undang ini diperkenalkakn pada tahun 2007, didapati terdapat pengurangan 2.4% pesakit yang dimasukkan ke Jabatan Kecemasan di hospital.

Peratusan tersebut mungkin nampak kecil tetapi ia sebenarnya bersamaan 1200 kes berkaitan rokok yang dapat dikurangkan di seluruh negara. Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk merawat pelbagai penyakit berkaitan rokok. Bayangkan berapa banyak wang dapat dijimatkan sekiranya kadar kes penyakit berkaitan rokok ini dapat dikurangkan.

3. Kesedaran mengenai perokok pasif/sekunder makin meningkat

perokok pasif

Pengharaman merokok di tempat awam ini juga menjadikan para perokok lebih maklum akan bahaya asap rokok kepada perokok pasif atau sekunder, termasuklah ketika berada di rumah mereka sendiri. Ini merupakan satu perkara positif memandangkan perokok pasif sebenarnya menghidu lebih banyak asap rokok berbanding perokok itu sendiri.

Di Malaysia, rata-rata ibu bapa tidak gemar membawa anak-anak kecil mereka ke kedai makan terbuka kerana risaukan kesihatan anak mereka yang mungkin terhidu asap rokok. Malangnya, terdapat segelintir perokok yang tidak mengendahkan kehadiran anak-anak kecil berhampiran meja makan mereka dan merokok tanpa segan-silu.

4. Merokok tidak lagi dibenarkan di stesen kereta api

larangan merokok stesen kereta api 796

Undang-undang yang diperkenalkan hanya mengharamkan merokok di tempat awam. Namun, sesetengah syarikat pengangkutan awam turut mengambil pendekatan serupa. Syarikat operator The Association of Train Operator Companies and Network Rail turut memperkenalkan pengharaman rokok di kesemua stesen di bawah kelolaannya.

Pengharaman ini juga bertujuan menghalang kes kebakaran di stesen kereta api bawah tanah Kings Cross pada tahun 1987 daripada berulang. Kebakaran tersebut telah menyebabkan 31 orang terbunuh dan ianya berpunca daripada sebatang rokok yang dibuang oleh seorang perokok di kawasan stesen bawah tanah tersebut.

5. Pengurangan jumlah perokok dalam kalangan remaja

remaja merokok

Pengharaman ini juga menyaksikan mesin layan diri (vending machine) untuk membeli rokok tidak lagi wujud. Suatu ketika dahulu, para remaja bawah biasanya membeli rokok daripada mesin ini memandangkan mereka tidak dibenarkan untuk membeli rokok di kedai.

Kini, had merokok telah dinaikkan ke umur 18 tahun. Sebelum 2007 iaitu tahun pengharaman ini diperkenalkan, had umur bagi perokok adalah 16 tahun. Peningkatan cukai terhadap rokok juga menyebabkan lebih ramai remaja sukar mendapatkan rokok seiring dengan harga rokok yang semakin meningkat.

6. Pengharaman merokok dalam kenderaan yang dinaiki kanak-kanak

perokok sekunder

Pengenalan undang-undang yang mengharamkan pengharaman rokok di tempat awam juga turut disertai dengan beberapa undang-undang lain yang berkaitan dengannya. Contohnya, perokok juga dilarang merokok dalam kenderaan yang dinaiki oleh kanak-kanak.

Perkara ini sangat penting memandangkan kanak-kanak mendapat mudarat yang lebih sebagai perokok pasif berbanding orang dewasa. Sekiranya kanak-kanak boleh mendapat sakit akibat daripada asap rokok di restoran, kesannya pasti lebih teruk apabila mereka berada di kawasan terkurung seperti di dalam kereta.

7. Tiada lagi kotak rokok yang menarik perhatian

rekabentuk kotak rokok di uk

Garis panduan kotak rokok di UK

Kejayaan mengurangkan jumlah perokok akibat pengenalan undang-undang yang mengharamkan rokok di tempat awam ini memberi dorongan kepada kerajaan untuk turut sama menjadikan kotak rokok kurang menarik perhatian. Mungkin kedengaran pelik, tapi kerajaan beranggapan kotak rokok yang cantik dapat menarik perhatian perokok untuk membelinya.

Perkara ini mungkin ada asasnya. Di Australia, pengwajipan pengeluar rokok menjual rokok dalam kotak rokok yang tidak bercorak (kurang penggunaan warna, saiz dan kepelbagaian saiz tulisan) dikatakan membawa kepada pengurangan jumlah perokok. Undang-undang di Australia ini diperkenalkan 3 tahun sebelum perkara yang sama diperkenalkan di UK.

Unjuran penurunan jumlah perokok di UK turut dilakukan dengan sesetengah saintis percaya kotak rokok yang "kurang menarik" ini dapat menggalakkan sehingga 300,000 rakyatnya untuk berhenti merokok.

Di Malaysia, pengharaman rokok di restoran masih terlalu baru. Malah, pengharaman ini hanya terhad di restoran sahaja. Walau bagaimanapun, kita mungkin akan melihat beberapa perubahan positif dalam jangka masa panjang.

Sekalipun undang-undang ini tidak mampu mengurangkan jumlah perokok, sekurang-kurangnya ia mampu mewujudkan persekitaran yang sihat terhadap semua manusia tidak kira kepada perokok sendiri ataupun mereka yang tidak merokok.

Kredit:

  1. The Independent
  2. The Conversation
  3. The Guardian
  4. Daily Star



Hakcipta iluminasi.com (2017)