Kehidupan bintang-bintang filem antarabangsa sering dilihat sangat menyeronokkan. Mereka kaya, hidup dalam kemewahan dan sering melancong ke seluruh dunia. Cara bagaimana para pelakon antarabangsa memiliki kekayaan mereka ini juga seakan-akan begitu mudah sekali. Mereka hanya perlu muncul di layar perak dan menerima wang dalam jumlah yang besar.

Walau bagaimanapun, pekerjaan sebagai seorang pelakon itu tidaklah semudah sepertimana yang disangkakan. Untuk menjadi seorang pelakon yang hebat, ia memerlukan dedikasi yang tinggi. Mereka berkorban masa, wang dan tenaga untuk menghayati setiap watak yang diberikan. Berikut adalah senarai pelakon yang sanggup melakukan perkara ekstrem bagi menjiwai watak yang diberikan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1.Robert De Niro - Taxi Driver (1976)

taxi driver

Peranan Robert De Niro sebagai Travis Bickle dalam filem Taxi Driver adalah salah satu watak yang sering disebut-sebut sepanjang masa. Robert De Niro sememangnya dikenali sebagai seorang pelakon yang sentiasa melakukan perkara ekstrem untuk menjiwai watak yang diberikan kepadanya.

Untuk menjiwai watak Travis Bickle dalam filem Taxi Driver yang diterbitkan pada tahun 1976, De Niro telah mempelajari mengenai masalah kesihatan mental dan mengambil lesen memandu teksi.

Dia akan menyamar dengan memakai rambut palsu, memandu teksi, mengambil dan menurunkan penumpang seperti seorang pemandu teksi yang sebenar selama 12 jam sehari. Dia lakukan perkara yang sama setiap hari sehinggalah dia bersedia untuk melakonkan watak Travis Brikle.

2. Forest Whitaker - The Last King of Scotland (2006)

the last king of scotland

Forest Whitaker telah mengagumkan ramai pihak setelah melakonkan watak Idi Amin iaitu diktator Uganda dalam filem The Last King of Scotland. Untuk menjiwai watak itu, dia telah mempelajari bahasa Swahili dan sejarah negara itu berbulan-bulan sebelum pergi ke Uganda. 

Dia melakukan persiapan awal itu untuk mendapatkan kerjasama yang lebih baik dengan pelakon-pelakon Uganda di set penggambaran. Selain itu, Whitaker juga telah menaikkan berat badannya sebanyak 22.6kg supaya dia kelihatan lebih sama dengan diktator terkenal itu.

3. Christian Bale - The Machinist (2004)

the machinist

Dalam filem psikologi seram The Machinist, Christian Bale diberi peluang untuk melakonkan watak seorang pekerja kilang yang menghidapi insomnia bernama Trevor Reznik. Bale telah menurutkan berat badannya sebanyak 29 kg untuk menjiwai watak yang dilakonkannya itu.

Bale memberitahu The Guardian, proses menurunkan berat badan itu bukanlah yang paling sukar dihadapinya tetapi kesan yang berlaku terhadap fizikal dan emosinya.

Oleh kerana tubuhnya yang terlalu kurus ketika itu, dia sukar untuk melakukan kebanyakan kerja fizikal yang mudah termasuklah menaiki tangga. Ketika Bale cuba untuk menghayati watak itu, dia hanya tidur selama dua jam sahaja dan membaca buku selama lebih 10 jam tanpa henti setiap hari.

4. Heath Ledger - The Dark Knight (2008)

joker

Lakonan mendiang Heath Ledger dalam filem The Dark Knight telah membuatkan bulu roma para penonton meremang kerana keberkesanannya. Untuk menghayati watak Joker iaitu musuh kepada Batman, Ledger telah mengurung dirinya dalam bilik hotel selama enam minggu sebelum penggambaran bermula.

Pengasingan diri itu berjaya apabila watak Joker lebih menonjol berbanding Batman lakonan Christian Bale. Namun, orang ramai percaya persediaan yang dilakukannya untuk watak itu telah memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan mental pelakon itu.

Heath Ledger kemudian ditemui mati kerana terlebih dos ubat-ubatan priskripsi pada Januari 2008, beberapa bulan sebelum filem lakonannya itu ditayangkan. Akan tetapi, lakonan Joker itu membuatkan mendiang Heath Ledger berjaya memenangi Anugerah Oscar walaupun selepas kematiannya. 

5. Jack Nicholson - One Flew Over the Cuckoo's Nest (1975)

one flew over the cuckoo s nest

Filem One Flew Over The Cuckoo's Nest karya Milos Forman ini diterbitkan pada tahun 1975. Ia mengisahkan kehidupan sekumpulan pesakit mental yang tinggal di wad sakit jiwa.

Sekumpulan pelakon yang diketuai oleh pelakon utama iaitu Jack Nicholson dikatakan telah tinggal di hospital mental sebelum pengambaran dilakukan untuk mengkaji tingkah laku pesakit dengan lebih teliti. Pengalaman mereka tinggal di wad sakit jiwa itu telah membantu untuk menjiwai watak yang diberikan.

Ramai antara pelakon itu yang masih di dalam watak mereka sepanjang pengambaran walaupun kamera tidak dihidupkan. Selain itu, beberapa pesakit mental sebenar juga telah diambil untuk berlakon di dalam filem itu. Filem itu mendapat sambutan hangat dan berjaya merangkul Anugerah Oscar.

6. Jared Leto - Chapter 27 (2007)

jared leto

Dalam filem Chapter 27 arahan Jarrett Schaefer, Jared Leto telah melakonkan watak Mark David Chapman. Chapman adalah lelaki yang bertanggungjawab membunuh penyanyi pop terkenal dunia, John Lennon dari kumpulan The Beatles.

Untuk menjiwai watak Chapman, Jared Leto telah menaikkan berat badannya sebanyak 31 kg. Para pengkritik filem juga memuji usaha yang dilakukan penyanyi itu kerana kelihatan sangat berbeza dengan personalitinya sebelum ini.

Walaupun perubahan itu bagus untuk watak dan filem lakonannya, tetapi Jared Leto terpaksa menghadapi beberapa masalah lain. Antaranya ialah dia telah menghidap gout kerana kenaikan berat badan itu dan terpaksa menggunakan kerusi roda di set penggambaran untuk merehatkan kakinya yang sakit.

7. Marlon Brando - The Men (1950)

marlon brando

Marlon Brando adalah salah seorang bintang Hollywood yang terkenal melalui lakonannya dalam filem The Godfather sebagai Vito Carleone. Akan tetapi, pelakon hebat ini sebenarnya sudah terlibat dengan banyak lagi lakonan filem sebelum itu.

Salah satu filem lakonannya ialah The Men yang mengisahkan watak seorang lelaki bernama Kenneth yang lumpuh dari pinggang ke bawah akibat kecederaan semasa perang. Untuk menghayati watak itu, dia telah menghabiskan masa selama sebulan di Hospital Tentera Birmingham untuk mengkaji pesakit di sana dengan lebih dekat.

Bukan itu sahaja, Brando juga belajar dan berlatih bagaimana untuk menggunakan bahagian atas badannya sahaja, sama seperti seorang pesakit sebenar. Lakonannya dalam filem itu sememangnya memberi kesan yang mendalam.   




Hakcipta iluminasi.com (2017)