Oleh pada 27 Jul 2021 kategori

Dalam dunia yang mempunyai pelbagai spesies haiwan, terdapat beberapa pasangan haiwan yang sering mengelirukan kita. Pasangan haiwan mengelirukan ini biasanya mempunyai ciri, bentuk dan warna yang serupa.

Ada kalanya, pasangan haiwan ini berasal daripada keluarga yang sama tetapi ada juga daripada keluarga berlainan. Berikut adalah senarai pasangan haiwan yang kelihatan serupa tetapi tidak sama.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Arnab vs Kelinci (Rabbit vs Hare)

arnab dan kelinci

Arnab (kiri) dan kelinci (kanan)

Walaupun tergolong dalam keluarga Leporidae serta memiliki rupa yang sama tetapi arnab dan kelinci mempunyai beberapa perbezaan ketara.

Kelinci lebih besar daripada arnab. Telinga dan kaki kelinci jauh lebih panjang berbanding arnab pada usia yang sama. Kelinci berlari lebih pantas berbanding arnab iaitu sekitar 80km sejam. 

Arnab biasanya tinggal di dalam liang bawah tanah sedangkan kebanyakan kelinci tinggal di atas tanah lapang. Arnab lebih jinak dan sesuai dibela berbanding kelinci yang lebih selesa hidup liar.

2. Gagak (Raven vs. Crow)

gagak

Dalam Bahasa Melayu, kedua-dua spesies ini biasanya disebut sebagai gagak. Walaupun berasal dari keluarga yang sama tetapi mereka mempunyai ciri yang berbeza.

Kedua-dua burung ini berbeza dari sudut saiz. Raven lebih besar dan berat. Ada raven yang saiznya empat kali lebih besar berbanding crow yang hanya bersiaz seperti burung merpati.

Jika anda melihat sekumpulan gagak terbang bersama, kemungkinan besar ia adalah kawanan crow kerana raven biasanya terbang berpasangan. Ketika terbang, ekor crow berbentuk seperti kipas tangan manakala ekor raven pula seperti berlian.

3. Alpaka vs Llama (Alpaca vs Llama)

alpaca dan llama

Alpaka (kiri) dan Llama (kanan)

Sekali pandang, kedua-dua spesies ini kelihatan seperti kembar seiras dan mengelirukan. Haiwan dari keluarga camelidae ini banyak ditemui di Bolivia dan Peru.

Alpaka dewasa boleh mencapai ketinggian 35 inci dan berat sekitar 65 kg. Spesies ini mempunyai bulu lebat yang lembut dan sering digunakan manusia seperti bulu biri-biri. Alpaka mempunyai wajah yang agak leper dengan telinga yang lebih pendek.

Manakala Llama dewasa pula boleh mencapai ketinggian 47 inci dan berat sekitar 113 kg. Llama biasanya digunakan sebagai pengangkutan. Haiwan ini mempunyai muka dan telinga yang lebih panjang berbanding alpaka.

Alpaka adalah haiwan yang pemalu manakala Llama pula lebih agresif. Llama sering meludah, menendang atau tidak mendengar arahan jika marah atau membawa beban berlebihan.

4. Jaguar vs Harimau Bintang (Jaguar vs Leopard)

jaguar dan harimau bintang

Jaguar (kiri) dan harimau bintang

Tidak sukar membezakan dua spesies ini jika anda seorang peminat haiwan. Jaguar dikenali sebagai Panthera onca manakala harimau bintang sebagai Panthera pardus. Jaguar biasanya terdapat di Amerika Tengah dan Amerika Selatan sementara harimau bintang terdapat di Afrika dan Asia.

Saiz jaguar adalah lebih besar dan mereka mempunyai otot rahang, gigi dan gigitan paling kuat dalam semua spesies keluarga kucing. Mereka juga mahir berenang dan memburu pemangsa lain seperti buaya kecil dan anaconda.

Harimau bintang pula mahir memanjat. Sekiranya anda terjumpa "big cat" di atas pokok, ia semestinya seekor harimau bintang. Corak pada kulit kedua-dua spesies ini hampir sama tetapi jaguar mempunyai bintik hitam di bahagian dalam coraknya. Satu lagi spesies yang kelihatan hampir sama adalah cheetah.

5. Buaya vs Aligator (Crocodile vs Alligator)

buaya aligator

Buaya (kiri) dan Aligator

Kulit kasar menggerutu, struktur badan memanjang dan kemahiran memburu membuatkan kedua-dua spesies ini kelihatan serupa. Namun, mereka mempunyai beberapa perbezaan nyata dari segi sifat dan penampilan.

Buaya mempunyai mulut yang lebih muncung dan tajam berbanding aligator yang lebih lebar dan bujur. Gigi atas dan bawah buaya jelas kelihatan ketika mulutnya tertutup rapat. Bagi aligator pula, hanya gigi bahagian atas sahaja kelihatan apabila mulutnya tertutup.

Buaya lebih agresif dan akan menyerang haiwan atau manusia berhampiran sementara aligator hanya menyerang ketika lapar atau diganggu sahaja. Buaya hidup di air tawar dan air masin tetapi aligator hanya hidup di air tawar sahaja.

Buaya boleh hidup sehingga 100 tahun manakala aligator mempunyai jangka hayat yang lebih pendek antara 30 hingga 50 tahun sahaja.

6. Singa laut vs Anjing laut (Sea lion vs Seal)

singa laut dan anjing laut

Singa laut (kiri) dan Anjing laut (kanan)

Dua spesies ini mungkin merupakan haiwan yang paling mengelirukan. Mereka kelihatan hampir sama tetapi tetap mempunyai berbezaan dari segi sifat dan fizikal.

Singa laut mempunyai sirip kaki dan tangan yang lebih panjang berbanding anjing laut. Bahkan, sirip singa laut juga boleh diterbalikkan bagi membantunya berjalan di daratan tetapi tidak bagi anjing laut. 

Singa laut gemar membuat bunyi yang kuat manakala anjing laut lebih bersifat pendiam. Selain itu, singa laut lebih bersifat sosial sementara anjing laut banyak menghabiskan masa di dalam air. Perbezaan lain adalah singa laut mempunyai kelopak telinga tetapi anjing laut hanya mempunyai lubang sahaja.

7. Koyote vs Serigala (Coyote vs Wolf)

coyote wolf 202

Koyote (kiri) dan serigala

Koyote dan serigala berasal dari keluarga Canidae yang sama dan agak sukar untuk membezakan kedua-dua spesies ini terutamanya ketika mereka masih kecil. Namun, terdapat ciri-ciri fizikal tertentu yang membezakan antara koyote dan serigala dewasa.

Wajah koyote lebih sempit dan runcing dengan hidung yang lebih pendek. Serigala pula mempunyai wajah yang lebih lebar dan hidung yang lebih besar dan bujur. Dari segi saiz pula, koyote biasanya lebih kecil dan berukuran antara 3.5 hingga 4.5 kaki panjang.

Serigala pula boleh membesar sehingga 6.5 kaki panjang. Seekor serigala dewasa mempunyai berat antara 30kg hingga 68kg sementara seekor koyote dewasa hanya seberat 7kg hingga 23kg sahaja. Serigala juga lebih agresif jika dibandingkan dengan koyote.

Koyote mempunyai telinga yang lebih runcing berbanding serigala yang lebih bulat. Dari segi suara pula, koyote mempunyai nada yang lebih tinggi berbanding serigala.




Hakcipta iluminasi.com (2017)