Ada lebih kurang 195 negara di dunia ini dan setiap negara pasti cuba menjadikan negara mereka kawasan pilihan pelancongan masyarakat dunia. Ini semua kerana pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan negara yang paling menguntungkan ekoran kemasukan dana perbelanjaan pelancong asing ke negara tersebut.

Negara kita juga merupakan antara negara yang menjadikan pelancongan sebagai salah satu teras ekonomi. Kita sebenarnya bernasib baik mempunyai lokasi yang elok, di kelilingi pantai serta terlindung daripada lingkaran gunung berapi yang membuatkan Malaysia amat menarik pada pandangan pelancong. Walaupun begitu, ada juga beberapa negara yang tidak begitu bernasib baik tidak mendapat kemasukan pelancong yang ramai.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 negara di dunia yang paling sikit menerima lawatan pelancong ke dalam negara mereka.

5. Timor Leste

timor leste negara kurang pelancong

Timor Leste merupakan negara yang paling sedikit dikunjungi pelancong di Asia. Mempunyai pantai panjang sejauh 706 kilometer, negara ini mempunyai tanah yang bergunung-ganang serta berdepan risiko bencana alam yang agak tinggi. Bagaimanapun, pantainya dikatakan cukup cantik dengan kumpulan batu karang yang tidak pernah diusik.

Selain pantai, Timor Leste juga menempatkan banyak bangunan bersejarah era zaman penjajahan Portugis serta mempunyai ladang-ladang kopi yang cukup indah. Setiap tahun, lebih kurang 66 ribu pelancong hadir ke sini. Walaupun agak ramai berbanding negara lain dalam senarai ini, antara semua negara Asia, Timor Leste adalah negara yang paling kurang dikunjungi pelancong.

4. Sao Tome and Principle

sao tome negara kurang pelancong

Negara Afrika kedua paling kurang menerima kemasukan pelancong, negara yang terdiri di atas dua buah pulau yang berasingan dengan jarak 140 kilometer, hanya 8000 orang pelancong hadir ke pulau ini setiap tahun secara purata. Mempunyai penduduk seramai 200 ribu orang dengan bahasa rasminya bahasa Portugal, ekonomi Sao Tome bergantung kepada minyak dan eksport koko.

Aktiviti menarik di negara ini berkisar kepada pantai yang sunyi dan bukit-bukit untuk didaki. Oleh kerana agak sukar untuk tiba di negara tersebut, jika anda inginkan ketenangan semasa bercuti, Sao Tome and Principle patut dijadikan sebagai salah satu lokasi impian anda.

3. Tuvalu

tuvalu negara kurang pelancong

Negara Tuvalu merupakan pulau kecil yang hanya mempunyai 26 kilometer persegi muka bumi. Mempunyai jumlah penduduk hanya seramai 10,600 orang, penduduk Tuvalu tidak mempunyai kerajaan yang dilantik kerana mereka masih mengamalkan sistem pentadbiran berasaskan masyarakat.

Oleh kerana itu mereka tidak mempunyai pasukan keselamatan bagi melindungi penduduk di situ. Semuanya dilakukan secara komuniti. Hanya 2000 orang pelancong hadir ke Tuvalu setiap tahun ekoran kedudukannya yang agak jauh dan penerbangan ke situ pun jarang diadakan. Bagi mereka yang pernah ke sana, mereka akan menikmati sebuah kepulauan kecil yang cantik dengan pantai yang bersih serta nyata berbeza corak hidupnya dengan kebanyakan negara lain.

2. Somalia

somalia negara kurang pelancong

Antara negara paling berbahaya di dunia ekoran berlaku banyak pemberontakan di negara tersebut, Somalia merupakan sebuah negara yang majoritinya terletak dalam kawasan gurun. Majoriti tanah di negara tersebut digunakan untuk bercucuk tanam dengan hampir 70% kawasan muka bumi Somalia dijalankan aktiviti pertanian. Kerajaan mereka baru saja dipulihkan jadi bagi para pelancong yang hendak ke sana, perlu tahu mereka hendak ke mana.

Mempunyai banyak lokasi bersejarah kesultanan Islam yang pernah bertapak di sana, beberapa pantai di sekitar Mogadishu dan beberapa buah Taman Negara, banyak sebenarnya tarikan di Somalia. Walaupun begitu, kebanyakan negara memilih untuk menasihatkan rakyat mereka daripada berkunjung ke Somalia sehinggakan jumlah pelancong yang datang, hanyalah sekitar 500 orang setahun.

1. Nauru

nauru negara kurang pelancong 4mi76

Negara kecil di kepulauan Pasifik yang hanya berkeluasan 21 kilometer persegi dengan populasi seramai 10 ribu orang, Nauru adalah negara di dunia yang paling kurang menerima kunjungan pelancong. Negara ini memang kurang fasiliti yang disediakan jika menerima kunjungan pelancong dan ini menyebabkan tidak ramai yang berminat hendak ke sana.

Mempunyai lapangan terbang sendiri, oleh kerana keluasannya yang agak terhad landasan kapal terbang di Nauru merentasi jalan raya. Lampu isyarat yang dipasang di negara ini hanyalah untuk memastikan kapal terbang dapat melintas tanpa gangguan kenderaan lain.

Tidak banyak yang dapat dilakukan di sini. Beberapa kesan peninggalan tentera Jepun masih lagi dipelihara. Pantainya pula cetek dan berbatu jadi penduduk setempat lebih banyak mandi manda di Teluk Anibare, satu-satunya lokasi pelancongan yang ada di sana. Setiap tahun hanya 200 orang pelancong hadir bagi mengalami sendiri keunikan Nauru.




Hakcipta iluminasi.com (2017)