Zaman kanak-kanak adalah waktu yang penting dalam fasa kehidupan seseorang individu. Ketika itu jugalah, mereka sepatutnya mempelajari sesuatu yang baharu mengenai segala-galanya dengan penuh kegembiraan, keriangan, keceriaan dan keseronokan. 

Namun, tidak semua melalui zaman kanak-kanak yang indah. Hampir di seluruh dunia, ada segelintir kanak-kanak yang terpaksa bekerja di usia muda kerana kesempitan hidup. Malah, perkara itu menjadi perkara biasa di sesetengah negara mundur.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kebanyakan negara mengenakan undang-undang yang ketat ke atas pengambilan kanak-kanak sebagai pekerja. Setiap negara mempunyai peraturan berbeza mengenai had umur minimum, jenis pekerjaan dan waktu bekerja bagi mengelakkan kanak-kanak dijadikan sebagai buruh paksaan.

Berikut adalah beberapa negara dengan had umur minimum bekerja paling rendah di dunia.

7. Brazil - 14 Tahun

brazil 319

Brazil merupakan negara terbesar di Amerika Selatan dengan populasi melebihi 210 juta orang. Walaupun Brazil dianggap Bank Dunia sebagai ekonomi berpendapatan kelas menengah atas namun golongan rendah dan sederhana menjalani kehidupan yang sangat sukar di sana akibat rasuah yang berleluasa. 

Ini menyebabkan ramai kanak-kanak di kawasan mundur di Brazil terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan. Bagi kebanyakan pekerjaan, kanak-kanak di bawah usia 16 tahun tidak dibenarkan bekerja. Walau bagaimanapun, kanak-kanak berusia 14 tahun ke atas dibenarkan bekerja dengan syarat-syarat tertentu.

Disebabkan Brazil adalah salah satu negara yang paling bahaya di dunia, kanak-kanak bawah umur tidak dibenarkan bekerja pada waktu malam.

6. Argentina - 14 Tahun

argentina 612

Pada suatu ketika, Argentina pernah menjadi negara ketujuh paling kaya di dunia. Namun, negara itu berada pada kedudukan ke-71 sebagai negara paling kaya pada hari ini. Sejak dilanda Kemelesetan Besar pada tahun 1930-an, Argentina masih berusaha membangunkan ekonomi mereka.

Sama seperti Brazil, had umur bekerja minimum di Argentina ialah 14 tahun tetapi dengan garis panduan yang ketat. Pekerja di bawah 18 tahun tidak dibenarkan terlibat dengan kerja berbahaya.

Pekerja berumur antara 14-16 tahun juga hanya dibenarkan bekerja selama tiga jam sehari dan 15 jam secara keseluruhan dalam seminggu. Itupun hanya dibenarkan jika mereka berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga yang sah.

5. Canada - 13 Tahun

budak surat khabar

Had umur bekerja minimum di Canada adalah 13 tahun tetapi hanya terhad kepada beberapa bahagian negara itu sahaja. Secara rasminya, Canada hanya membenarkan mereka yang berusia 18 tahun dan ke atas sahaja bekerja sepenuh masa. Kerajaan Canada juga mewajibkan kanak-kanak bersekolah sekurang-kurangnya sehingga mereka berusia 16 tahun.

Kanak-kanak di Canada hanya dibenarkan bekerja selama 12 jam sahaja seminggu dan ia mestilah di luar waktu sekolah. Ketika cuti sekolah pada musim panas pula, kanak-kanak dibenarkan bekerja sehingga 25 jam seminggu.

Hanya beberapa jenis pekerjaan ringan sahaja yang dibenarkan untuk kanak-kanak seperti mengasuh, menjaga haiwan peliharaan, menghantar surat khabar, membersihkan rumah dan lain-lain pekerjaan yang tidak berbahaya. Mereka perlu mempunyai permit kebenaran dan menduduki kursus khas untuk bekerja.

4. Australia - 13 Tahun

had umur bekerja bawah umur negara undang

Umur minimum bekerja untuk belia Australia ialah 13 tahun. Sama seperti negara lain dalam senarai ini, terdapat undang-undang ketat yang dikenakan bagi pekerja bawah umur di Australia. Mereka perlulah mendapatkan permit terlebih dahulu dan hanya dibenarkan bekerja selama 10 jam sahaja seminggu.

Kanak-kanak bawah umur juga hanya dibenarkan bekerja di antara jam 6 pagi sehingga 10 pagi sahaja. Sesetengah kawasan di Australia seperti Queensland dan Victoria hanya membenarkan kanak-kanak melakukan kerja ringan tetapi tidak untuk industri hiburan.

Kanak-kanak bawah umur juga tidak dibenarkan melakukan jualan dari pintu ke pintu, bekerja di tapak pembinaan atau di atas bot menangkap ikan. Remaja di Australia boleh bekerja sepenuh masa sekiranya mereka menghabiskan persekolahan yang diwajibkan iaitu Tahun 10 (Tingkatan 4 di Malaysia). 

3. Malaysia - 13 Tahun

buruh kanak kanak 563

Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 2019 (Akta A1586) Seksyen 2(2A) menyatakan bahawa umur minimum yang membolehkan seseorang bekerja ialah 13 tahun di mana hanya kerja ringan yang tidak mendatangkan bahaya kepada minda, mental, fizikal atau mengganggu kehadirannya ke sekolah.

Selain itu, terdapat beberapa peraturan tambahan bagi pekerja kanak-kanak seperti mereka tidak dibenarkan bekerja antara jam 8 malam sehingga 7 pagi. Mereka juga tidak boleh bekerja lebih daripada 3 jam tanpa waktu rehat selama 30 minit.

Kanak-kanak di Malaysia hanya boleh melakukan kerja ringan yang bersesuaian dengan kapasitinya sahaja. Mereka juga boleh bekerja dalam bidang hiburan awam (peragaan dan lakonan) atau aktiviti yang dianjurkan sekolah seperti jualan.

Bagi kanak-kanak yang bekerja di bawah kontrak apprenticeship pula, ia haruslah mendapat kelulusan Ketua Pengarah Buruh terlebih dahulu.

2. Nigeria - 12 Tahun

Nigeria yang terletak di Afrika Barat merupakan negara paling tinggi populasi di benua Afrika. Ia merupakan kediaman bagi 206 juta penduduk yang bertutur hampir 500 bahasa berbeza.

Had umur bekerja minimum di Nigeria ialah 12 tahun tetapi mereka tidak dibenarkan melakukan kerja yang melibatkan aktiviti berat sehingga membahayakan perkembangan fizikal. Walaupun dibenarkan bekerja semuda 12 tahun, mereka perlulah menghabiskan persekolahan yang diwajibkan sehingga berusia 15 tahun.

Kanak-kanak tidak dibenarkan melakukan pekerjaan seperti menjual makanan di tepi jalan, mengemis, buruh kasar atau pelacuran dan seumpamanya. Malangnya, masih ramai kanak-kanak di Nigeria yang dipaksa melakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya dan dilarang.

1. Bolivia - 10 Tahun

bolivia

Bolivia adalah negara dengan had umur bekerja minimum paling rendah di dunia iaitu 10 tahun! Kanak-kanak semuda 10 tahun boleh bekerja secara sah untuk diri sendiri atau keluarga mereka. Apabila mencapai usia 12 tahun, mereka boleh bekerja untuk orang lain.

Undang-undang kontroversi ini telah diluluskan pada tahun 2014 tetapi kerajaan Bolivia masih bergelut untuk menguatkuasakan peraturan dan melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan eksploitasi.

Walaupun undang-undang ini dilihat sebagai salah satu langkah memperkasakan kanak-kanak tetapi ia juga mendapat tentangan banyak pihak kerana kesan sampingannya. Kanak-kanak bekerja ini lebih cenderung untuk meninggalkan persekolahan, menjadi mangsa eksploitasi dan sebagainya.

Namun, kemiskinan di negara itu menjadi punca utama kanak-kanak memilih untuk bekerja.




Hakcipta iluminasi.com (2017)