Muzik telah menjadi sebahagian budaya manusia sejak dahulu lagi dan setiap orang mempunyai cita rasa muzik yang berlainan. Kehebatan sesebuah lagu itu boleh dinilai daripada lirik, susunan muzik, populariti artis dan sebagainya.

Panjang atau pendek sesebuah lagu itu mungkin tidak mempengaruhi kehebatan sesebuah lagu. Malah, ada yang lebih menggemari lagu yang pendek tetapi padat dengan lirik yang memukau. Namun, pernahkah anda tertanya-tanya apakah lagu paling panjang di dunia?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kali ini pihak Iluminasi ingin kongsikan pula senarai 7 lagu paling panjang di dunia. Jangan terkejut, ada lagu yang durasinya lebih daripada 24 jam dan videonya terpaksa dipotong kepada beberapa bahagian sebelum dimuatnaik ke Youtube!

7. Thick As A Brick - 43 minit 46 saat

thick as a brick

Album Thick As A Brick memaparkan beberapa bunyi klasik yang menarik yang digabungkan oleh Jethro Tull dengan mahir dalam bunyi rock progresif. Malah, lukisan hadapan album juga sangat kreatif dan dihasilkan untuk kelihatan seakan-akan seperti surat khabar olok-olok dengan keseluruhan lirik dicetak di bahagian depan.

Thick as a Brick adalah album studio kelima oleh kumpulan rock Britain Jethro Tull, yang dikeluarkan pada bulan Mac 1972. Album ini mengandungi beberap karya muzik yang bersambungan menjadi sebuah lagu. Album ini dirakam pada akhir 1971, menampilkan muzik yang digubah oleh Anderson dan disusun dengan sumbangan semua ahli kumpulan.

6. Catch Thirtythree -  47 minit 09 saat

catch thirtythree

Catch Thirtythree telah mendapat maklum balas yang pelbagai. Sesetengah orang menggemarinya sementera sesetengah orang menganggapnya sebagai lagu sampah. Lagu panjang ini dikatakan merupakan sambungan bagi lagu EP (extended play record) bertajuk "I" yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai sesuatu yang tidak perlu.

Catch Thirtythree juga merupakan album pertama yang menampilkan drum yang diprogramkan dan dikatakan sebagai karya eksperimen. Ini adalah album konsep yang berkisar pada idea-idea dari pelbagai paradoks dan dipaparkan dalam soundtrack filem Saw III.

5. Garden of Dreams - 59 minit 16 saat

garden of dreams 653

Lagu Garden of Dreams adalah apa yang banyak dianggap orang ramai sebagai sebuah lagu berdurasi selama satu jam dihasilkan dengan betul. Ia menggabungkan pelbagai elemen yang cukup untuk membuat karya ini dan ada juga yang mengatakan bahawa mereka berharap lagu ini mempunyai durasi lebih lama!

Lagu ini mempunyai durasi 59 minit 16 saat dan dihasilkan oleh kumpulan Flower Kings yang dirilis pada tahun 2002. Lagu yang berdurasi hampir 1 jam ini dimuatkan dalam albim Flower Power, album keempat band yang berasal dari Sweden ini. 

4. Light of Day, Day of Darkness - 60 minit 06 saat

light of day day of darkness

Light of Day, Day of Darkness adalah album studio kedua (satu trek) oleh band metal progresif Norway, Green Carnation. Pada asalnya, ia dikeluarkan oleh label rakaman German Prophecy Productions pada bulan November 2001. 

Album ini digubah, ditulis dan disusun oleh ahli pengasas Terje Vik Schei (Tchort). Ia terdiri dari satu lagu sepanjang 60 minit dan sebahagian besarnya diinspirasikan dari kisah kematian anak perempuan Tchort dan didedikasikan untuk anaknya, Damien Aleksander yang suaranya ketika bayi muncul beberapa saat dalam lagu ini.

3. The Whirlwind - 77 minit 46 saat

the whirlwind

The Whirlwind bukan sahaja dikeluarkan sebagai sebuah album, tetapi juga dianggap sebagai sebuah lagu walaupun dibahagikan kepada trek yang berasingan. Lagu The Whirlwind dikatakan dengan jelas menunjukkan kemahiran unggul setiap ahli kumpulan dan menggabungkan semua sentuhan klasik yang diharapkan peminat genre Progressive Rock.

The Whirlwind adalah album studio ketiga oleh band Transatlantic, dirilis pada 23 Oktober 2009. Ia tersedia dalam tiga format iaitu edisi standard, edisi khas dua cakera dan edisi mewah dengan dimuatkan dalam DVD dengan durasi selama 105 minit.

2. 7 Skies H3 - 24 jam

7 skies h3

"7 Skies H3" adalah komposisi oleh kumpulan rock eksperimental Amerika The Flaming Lips, yang dikeluarkan pada 31 Oktober 2011. "7 Skies H3" adalah lagu tunggal berdurasi 24 jam yang terdapat dalam EP (extended play record) - 24 Hour Song Skull.

Walaupun dikompilasi sebagai lagu berdurasi 1 hari, lagu itu dirakam dalam beberapa bahagian yang terpisah antara 25 minit hingga 7 jam setiap satunya sebelum digabungkan. Lagu ini dikeluarkan dalam edisi terhad sebanyak 13 salinan yang dimuatkan dalam cakera pemacu.

1. The Noise Militia (#38/76) - 35 jam 41 min 9 saat

Lagu yang berdurasi paling panjang dilancarkan secara rasmi adalah 'The Noise Militia (# 38/76)' oleh Steve Lieberman (USA), yang mempunyai durasi selama 35 jam 41 min 9 saat. Lagu ini dilancarkan pada 3 Disember 2020.

Steve Lieberman telah merakam muzik selama lebih dari 30 tahun. Beliau mula menghasilkan The Noise Milita (# 38/76) pada 1 Jun 2019, pada tahun ke-10 disahkan leukimia. Malangnya, penyakit leukimia yang dialaminya semakin teruk dan Steve Lieberman memutuskan untuk memenuhi impian terbesarnya untuk memecahkan rekod Guinness World Records untuk lagu paling panjang di dunia. 

Kredit:

  1. Guinness World Records
  2. Wikipedia
  3. Trablezine
  4. Metal Storm



Hakcipta iluminasi.com (2017)