Oleh pada 23 May 2023 kategori

Kugiran alternatif yang kini lebih terkenal dengan muzik genre pop rock Coldplay, bukanlah satu nama asing di kalangan peminat muzik dunia.

Muncul dalam tahun 2000 bersama album mega popular mereka 'Parachutes', perjalanan seni Coldplay telah mengalami banyak jatuh bangun, tetapi mereka berjaya mengekalkan barisan anggota serupa sejak mula walaupun kuat dibayangi populariti vokalis utama Chris Martin.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Telah menerbitkan 9 album utama, diskografi Coldplay dipenuhi pelbagai melodi muzik yang jelas tampak identiti mereka. Di antara ratusan lagu yang sudah diterbitkan, berikut adalah 6 lagu Coldplay yang kami rasakan terbaik takkan lapuk dek hujan takkan lekang dek panas.

1. "Yellow" dari album Parachutes (2000)

coldplay yellow lagu single penting

"Yellow" balada yang menggetarkan hati, menjadi lagu pertama menongkah kejayaan kepada Coldplay.

Membawakan mesej cinta tidak terbalas disulami rasa kerinduan, tema warna yang dipilih sebagai pelengkap lagu ini melambangkan sikap optimis yang boleh membawa kepada harapan.

Karya paling penting Coldplay ini dicipta secara kolektif keempat-empat ahli kumpulan iaitu Chris Martin, Jonny Buckland, Guy Berryman, dan Will Champion, dengan Berryman memainkan peranan besar mencetuskan inspirasi liriknya.

Atas banyak sebab tidak dapat dielakkan, klip video lagu ini dihasil secara ringkas hanya memaparkan Martin berjalan di pantai sambil berlatar belakangkan hari bertukar ke siang, semuanya dalam satu rakaman.

Lagu ini bukan saja mengubah nasib Coldplay, bahkan berjaya memecah pasaran muzik yang ketika itu didominasi genre rap-rockdipopularkan Limp Bizkit dan Korn.

2. "Clocks" daripada 'Rush of Blood to the Head' (2002):

coldplay clocks lagu ikonik

DIterbitkan sebagai single pada bulan Mac 2003, "Clocks" menjadikan melodi piano dalam rentak yang bersemangat sebagai nadi utama karya.

Pada awalnya digarap hasil daripada sebuah idea yang tertangguh lama, usaha menyiapkan lagu ini membawa kepada penambahan masa lebih 2 bulan proses rakaman album agar lagu ini dapat dibina lebih kemas.

Walaupun melodi asasnya ringkas, karya yang terhasil berjaya menggamit telinga pendengar sehingga membawa kepada kemenangan Coldplay dalam kategori lagu terbaik Anugerah Grammy tahun 2004.

3. "The Scientist" daripada 'A Rush of Blood to the Head' (2002)

coldplay the scientist

Kisah yang dipaparkan dalam lagu yang sangat melankolik ini, mengisahkan tentang keinginan untuk kembali ke masa lalu demi memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan.

Diinspirasikan daripada lagu daripada album solo pemain gitar The Beatles, George Harrison berjudul 'All Things Must Pass', melodi asas lagu ini dicipta oleh Martin secara spontan hasil inspirasi tersebut.

Ada juga pendapat mengatakan mesej penyesalan dalam lagu ini, sebenarnya merupakan refleksi diri Martin terhadap beberapa kesilapan yang telah beliau lakukan dalam percintaan.

Betul atau tidak, hanya tuan punya badan yang tahu.

4. "Viva la Vida" daripada 'Viva la Vida or Death and All His Friends' (2008)

viva la vida lukisan

Lagu 'Yellow' menjulang nama mereka ke persada antarabangsa sebagai sebuah kugiran rock alternatif.

Manakala lagu 'Viva la Vida' yang diterbitkan tahun 2008 menjadi lagu yang memahatkan nama Coldplay sebagai kuasa besar dalam industri, mengubah identiti mereka lebih berorientasikan pop.

Viva la Vida yang membawa makna 'Kehidupan Yang Bermakna', dicetuskan daripada sebuah lukisan seorang artis Mexico bernama Frida Kahlo pada tahun 1954 diberikan nama Sandias con leyenda : Viva la vida.

Gambar lukisan di atas adalah lukisan yang kami maksudkan.

5. "Fix You" daripada 'X&Y' (2005)

coldplay lagu ikonik fix you

"Fix You" jika benar-benar dihayati adalah sebuah lagu yang berkuasa kerana impaknya mampu membangkitkan emosi pendengar.

Lagu ini sarat dengan mesej yang mengangkat kita agar kuat dalam saat-saat sukar, dianggap bukan saja menjadi antara lagu Coldplay paling ikonik bahkan karya terbaik pernah dihasilkan kugiran ini.

Ditulis akibat tragedi keluarga untuk meredakan hati isterinya Gwyneth Paltrow yang kehilangan ayah, 'Fix You' digarap untuk membantu Paltrow menangani apa yang berlaku.

Di antara kebanyakan karya yang pernah terhasil, 'Fix You' merupakan karya Coldplay paling disayangi Martin.

6. "Trouble" daripada 'Parachutes' (2000)

coldplay trouble lagu popular

Seperti judulnya, lagu 'Trouble' mencerminkan era pertelingkahan ketika Coldplay sedang dalam usaha ditubuhkan.

Berlaku perselisihan di antara anggota yang ada, khususnya di antara Chris Martin sebagai vokalis dan Will Champion sebagai pemain dram kerana Martin meragui kemampuan Champion untuk bermain dengan baik.

Atas kegusaran itu, Coldplay mengambil keputusan memecat Champion sebelum Martin menarik balik keputusan itu, membenarkan penyertaan semula beliau - yang kekal sehingga ke hari ini.

Lagu ini asalnya dinamakan 'Spiderweb' sarat dengan metafora perasaan terperangkap dalam sarang labah-labah, menjadi lagu kedua daripada album 'Parachutes' menerjah ke kedudukan 10 terbaik carta muzik UK.

Populariti lagu yang digarap berasaskan piano ini memperkenalkan identiti berbeza Coldplay yang lebih lunak, ringan dan melankolik berbanding lagu popular lain dalam album sama - menjadi single yang sama pentingnya dengan Yellow yang telah diterbitkan lebih awal.




Hakcipta iluminasi.com (2017)