Setiap negara pastinya mempunyai kisah misteri yang ada kalanya masih belum dapat dirungkai sehingga kini. Dalam halam hal ini, negara India tidak terkecuali. India adalah negara yang kaya dengan pelbagai mitos, kepercayaan misteri dan kisah-kisah lagenda yang dipercayai rakyat tempatan.

Seperti mitos dan kisah-kisah misteri yang lain, sebahagian besar kisah-kisah yang diceritakan ini biasanya ditokok-tambah dan ditambah perisa apabila cerita mengenainya diperturunkan daripada satu generasi ke generasi berikutnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walau bagaimanapun, terdapat juga peristiwa atau kisah misteri yang masih belum dapat dirungkaikan sehingga kini. Kali ini, pihak Iluminasi ingin berkongsi 7 kisah misteri popular yang pastinya membuatkan ramai orang garu kepala bagi mencari penjelasan di sebalik kejadian atau peristiwa tersebut.

1. Kampung yang mempunyai peratusan kembar tinggi

bandar pelik india

Setiap daripada kita pastinya mempunyai kenalan yang mempunyai adik-beradik kembar. Walau bagaimanapun, jumlahnya tidak ramai dan boleh dibilang dengan jari. Namun, bayangkan di sebuah kampung di India, kelahiran anak kembar sudah menjadi suatu kebiasaan.

Di kampung Kodinhi yang terletak di Kerala, peratusan pasangan kembar di kampung ini adalah sangat tinggi. Daripada kira-kira 2000 buah keluarga di kawasan ini, terdapat kira-kira 250 orang pasangan kembar. Perkara ini dianggap misteri memandangkan secara puratanya di India, hanya 4 daripada setiap 1000 kelahiran adalah kembar.

Sebagai perbandingan, di Kodinhi 45 daripada setiap 1000 kelahiran adalah kembar. Para doktor masih tidak menemui faktor penyebab perkara ini dan membuat teori ianya mungkin berpunca daripada pekerjaan, gaya hidup ataupun pemakanan penduduk di perkampungan ini.

2. Misteri pembinaan Taj Mahal

taj mahal 825

Tidak dapat dinafikan bahawa Taj Mahal merupakan antara bangunan paling popular di India. Menurut sejarah, ianya adalah sebuah makam yang dibina oleh Maharaja Mughal ketika itu Shah Jahan bagi menggambarkan kecintaannya terhadap isterinya.

Namun, terdapat juga teori lain yang menyangkal dakwaan bahawa ianya dibina sewaktu zaman Shah Jalan. Dr. P.N. Oak, seorang professor dari New Delhi berpendapat Taj Mahal mungkin sebenarnya dibina 300 tahun lebih awal. Lebih mengejutkan, beliau berpendapat Taj Mahal mungkin asalnya tidak dibina sebagai tugu atau makam, sebaliknya merupakan sebuah kuil agama Hindu yang dikenali sebagai Tejo Mahalaya.

Menurut beliau, Shah Jahan mungkin sudah mengubah sedikit bentuk dan dekorasi bangunan ini dan dipercantikkan semula untuk isterinya. Pendapatnya ini berdasarkan fakta bahawa dalam sejarah, keluarga Raja-raja di India suatu ketika dahulu gemar mengambil alih kuil dan rumah besar dan mengubahnya sebagai makam bagi ahli keluarga mereka.

3. Sumpahan di kampung Kuldhara

kampung misteri india 806

Selama lebih kurang 500 tahun lamanya, sebuah perkampungan di Kuldhara didiami lebih kurang 1500 orang penduduk. Namun, pada suatu malam kesemua penduduk dari kawasan ini menghilangkan diri tanpa meninggalkan sebarang kesan. Malah, tiada bukti yang ditemui menunjukkan kesemua mereka ini dibunuh.

Namun, ada pendapat yang mengatakan mereka mungkin melarikan diri daripada membayar cukai daripada pihak penguasa yang menindas mereka. Ada yang mengatakan terdapat konflik dalaman antara penduduk yang menyebabkan kesemua mereka terpaksa membina hidup baru di tempat lain.

Apa jua pendapat sekalipun, satu perkara yang menjadi misteri adalah kawasan ini seolah-olah telah disumpah. Terdapat beberapa cubaan untuk membangunkan semula penempatan di kampung ini namun kesemuanya mati. Perkara ini masih tidak dapat dirungkai dan menjadi minat pengkaji aktiviti paranormal.

4. Bhootbilli

binatang misteri bhootbilli

Negara India juga tidak terkecuali daripada kepercayaan kewujudan makhluk-makhluk misteri. Mereka mempercayai kewujudan makhluk pelik yang dikenali sebagai Bhootbilli yang didakwa banyak membunuh haiwan ternakan dan merosakkan tanaman di kawasan Pune.

Bhootbilli dipercayai meruapakan hibrid antara kucing, anjing dan mongoose. Menurut beberapa individu yang mendakwa pernah melihatnya, makhluk ini dikatakan berbadan gemuk dan lebar, mempunyai ekor panjang, berwarna hitam, mempunyai muka seperti anjing dan dan belakang badannya seperti mongoose.

Makhluk ini dikatakan mampu membuat lompatan jauh dan dengan mudah mampu melarikan diri daripada manusia yang cuba menangkapnya. Walaupun terdapat beberapa versi kisah mengenainya, sesetengah pengkaji percaya bahawa Bhootbilli mungkin sebenarnya hanyalah seekor kucing civet dan perkara-perkara lain yang dilihat mungkin sekadar imaginasi saksi yang melihatnya atau sudah ditokok-tambah.

5. Kawasan larangan di Kongka La Pass

kongka la pass 686

Kongka La Pass di Ladakh adalah salah satu kawasan terpencil dan paling sukar diakses di dunia. Ianya terletak di Himalaya dan merupakan sempadan antara negara India dan China yang dahulunya sering menjadi kawasan konflik antara pasukan tentera daripada kedua-dua buah negara.

Disebabkan akses yang sukar ke kawasan ini, sesetengah pihak mendakwa kawasan ini telah dijadikan sebagai tapak pendaratan UFO. Sesetengah pihak percaya terdapat banyak binaan besar dan tersembunyi di bawah tanah yang menjadi pangkalan operasi di ini.

Rakyat dari kedua-dua buah negara ini percaya bahawa kerajaan mungkin sudah mengetahui sesuatu dan cuba menyembunyikannya daripada pengetahuan orang awam. Carian di Google Map telah mendedahkan kemungkinan terdapat laluan masuk ke kawasan bawah tanah dan pangkalan ketenteraan dibina di kawasan ini.

6. Kewujudan kawasan mistik di Himalaya

gyanganj 248

Banyak kisah mitos di seluruh dunia yang berkisarkan mengenai kawasan pergunungan. Maka, kawasan pergunungan Himalaya juga tidak terkecuali daripada kewujudan penempatan misteri yang terlindung daripada pandangan mata manusia biasa.

Salah satu kisah misteri mengenai kawasan Himalaya adalah sebuah kawasan penempatan kerajaan purba India dan Tibet yang dikenali sebagai Gyanganj. Dikatakan penempatan ini masih wujud tetapi tidak dapat dilihat oleh manusia biasa dan dikesan oleh satelit.

Sesetengah saksi mengaku pernah menjumpai penempatan ini malah terdapat juga guru-guru rohani yang berpengaruh mendakwa segla ilmu yang dimiliki datangnya dari tempat yang menjadi misteri ini.

7. Kawasan pergunungan yang mempunyai kuasa magnetik misteri

Di kawasan Ladakh yang terletak di Himalaya, terdapat sebuah bukit misteri yang dikatakan mempunyai kuasa magnetik. Sekiranya anda meletakkan kenderaan di jalan yang menghala ke puncaknya dan meletakkan kenderaan anda dalam gear neutral, kenderaan tersebut akan bergerak ke atas dengan sendirinya. 

Perkara yang dianggap ajaib ini merupakan tarikan utama pengunjung ke kawasan ini. Walaupun fenomena ini dianggap mengagumkan, ianya tidaklah dianggap sebagai begitu misteri malah terdapat penjelasan menarik disebaliknya.

Ianya berpunca dari ilusi optikal kawasan ini dimana jalan yang menuju ke puncak tersebut sebenarnya jalan yang menurun ke bawah. Sila tonton video ringkas di atas untuk melihat sendiri fenomena menarik ini.

Kredit:

  1. iO9
  2. India TV News
  3. Indian Express
  4. The Telegraph



Hakcipta iluminasi.com (2017)