Oleh pada 04 Jan 2022 kategori

Dalam masyarakat di seluruh dunia, terdapat pelbagai kisah seram mengenai makhluk menakutkan yang dikenali sebagai "hantu". Kisah-kisah seram ini sebenarnya telah wujud dalam kebanyakan budaya sejak ratusan malah ribuan tahun yang lalu lagi.

jenis jenis hantu vampire popular

Dalam agama Islam, tiada istilah "hantu" atau orang mati kembali menghantui manusia. Apa yang dipercayai sebagai hantu itu sebenarnya adalah jelmaan daripada makhluk yang dikenali sebagai Jin.

Namun, terdapat sejenis "hantu" yang begitu popular walaupun namanya mungkin berbeza di dalam budaya lain. Hantu yang dimaksudkan ialah puntianak atau vampire.

Berikut adalah beberapa puntianak atau vampire yang popular di seluruh dunia.

1. Strigoi - Romania

strigoi

Kisah makhluk ini dipercayai wujud sejak tahun 2000 SM oleh masyarakat Dacian yang mendiami tempat yang kini dikenali sebagai Romania. Perkataan Strigoi bermaksud "jerit". Seperti vampire lain, Strigoi lemah pada waktu siang dan aktif pada sebelah malam.

Strigoi dipercayai wujud dalam pelbagai cara dan salah satu yang popular adalah melalui bunuh diri atau disumpah ahli sihir. Makhluk ini dikatakan mampu berubah bentuk menjadi kelawar atau serigala.

Selain berubah bentuk, Strigoi juga dipercayai mempunyai kekuatan luar biasa, membaca minda dan boleh memasuki alam mimpi manusia. Cara untuk membunuh Strigoi adalah dengan menikam jantungnya menggunakan jarum pengait.

2. Upiór - Rusia, Ukraine, Poland, Romania, Belarus, Slovakia dan Republik Czech 

upior 877

Tradisi Slavik mendakwa bahawa makhluk ini lahir daripada mayat orang yang melakukan dosa besar semasa hidupnya. Ahli sihir atau nujum yang mati juga boleh bertukar menjadi Upiór. 

Upiór adalah sejenis puntianak yang sangat dahagakan darah. Ia bukan sahaja menghisap darah mangsanya tetapi juga mandi dan tidur di dalam darah.

Upiór adalah jenis puntianak yang tidak takutkan cahaya matahari tetapi lebih suka memburu pada waktu malam. Cara untuk membunuh Upiór adalah dengan mencucuk jantungnya menggunakan kayu yang telah dijampi oleh paderi.

Kayu itu mesti ditikam dengan sekali cubaan sahaja. Jika menikamnya dua kali, Upiór dipercayai menjadi lebih kuat dan ganas.

3. Bruxsa - Portugal

bruxsa

Dalam masyarakat Portugal, Bruxsa biasanya adalah wanita di mana masa hidupnya adalah seorang ahli sihir. Makhluk ini dipercayai mampu berubah bentuk menjadi seekor burung gergasi, tikus, serigala dan banyak lagi.

Seperti Upiór, Bruxsa juga dipercayai tidak terjejas dengan cahaya matahari tetapi paling kuat pada waktu tengah malam. Antara mangsa yang paling digemari Bruxsa adalah kanak-kanak.

Bruxsa dikatakan takut dengan bawang putih dan besi. Masyarakat dahulu membuat tangkal daripada besi dan menyimpan besi seperti gunting di tempat tidur anak-anak mereka bagi menghalang gangguan Bruxsa.

Bruxsa bermaksud "ahli sihir" dan serupa dengan perkataan "brujas" di Sepanyol dan Mexico. Ia merupakan legenda yang luas tersebar ketika suatu masa dahulu untuk menakut-nakutkan orang supaya tidak mengamalkan amalan sihir.

4. Pontianak

pontianak

Pontianak adalah sejenis vampire yang popular yang berasal dari Malaysia manakala di Indonesia pula ia dikenali sebagai Kuntilanak. Pontianak dipercayai berasal daripada wanita yang mati ketika bersalin atau dibunuh dengan kejam.

Pontianak dipercayai wujud dalam bentuk seorang wanita yang cantik dan suka menggoda mangsa ke dalam perangkapnya. Orang dahulu percaya jika terdengar bunyi bayi menangis atau tercium bau bunga bermakna ada pontianak berhampiran.

Pontianak dikatakan muncul ketika bulan mengambang penuh dan cara untuk membunuhnya adalah dengan memahat paku pada lubang di belakang lehernya. Legenda juga mengatakan pontianak boleh berubah menjadi wanita cantik setelah paku dimasukkan ke belakang lehernya.

Di Malaysia dan Indonesia, pontianak adalah hantu "selebriti" yang sering dipaparkan dalam filem atau drama seram.

5. Vetala - India

vetala

Vampire dari India ini berbeza daripada vampire dalam budaya lain. Vetala tidak menjelma daripada manusia yang mati sebaliknya merupakan roh jahat yang merasuki mayat manusia atau bangkai binatang.

Jika seseorang itu tidak dikebumikan dengan sempurna, Vetala akan masuk ke dalam mayat itu dan memburu mangsanya untuk darah. Vetala mempunyai taring berbisa yang boleh melumpuhkan mangsanya.

Masyarakat India percaya Vetala sukar dihapuskan kerana ia merasuk tubuh manusia yang mati. Jika perumahnya dihapuskan, Vetala akan keluar dan memasuki mayat atau bangkai lain. Satu-satunya cara adalah dengan melakukan pengebumian sempurna bagi mengelak daripada dirasuki Vetala.

6. Soucouyant - Jamaica, Dominica, Guyana, Suriname, Guadeloupe, Haiti dan Bahamas

soucouyant

Pada waktu siang, soucouyant berupa seorang wanita tua tetapi menjadi wanita muda dan cantik pada sebelah malamnya. Makhluk ini dipercayai boleh memasuki rumah melalui celahan kayu atau lubang kunci.

Mereka dikatakan menghisap darah mangsa di bahagian badan paling lembut sehingga meninggalkan kesan berwarna biru. Soucouyant ini dipercayai jelmaan daripada wanita yang mengamalkan sihir semasa hidupnya.

Cara untuk menangkap soucouyant adalah dengan menabur beras di dalam rumah. Makhluk ini dipercayai akan leka mengutip beras dan ketika itulah masa terbaik untuk menangkapnya.

7. Jiangshi - China

jiangshi

Jiangshi bermaksud "mayat keras" dan merupakan hantu yang popular melalui filem-filem Hong Kong. Di Malaysia, ia lebih dikenali sebagai Hantu Cina yang bergerak dengan cara melompat-lompat.

Jiangshi mempunyai kulit pucat kebiru-biruan dan menyerupai fizikalnya ketika seperti masih hidup. Jiangshi mempunyai kuku dan gigi tajam dan amat keras.

Kisah mengenai Jiangshi bermula sejak zaman pengasas dinasti China yang pertama lagi iaitu Maharaja Qin Shi Huang. Dikisahkan bahawa Maharaja Qin Shi Huang meluaskan kuasanya melalui banyak perang. 

Ibu bapa yang kematian anak di medan perang dikatakan meminta sami supaya menghidupkan semula anak mereka supaya dapat kembali dan dikebumikan dengan sempurnya. Mayat yang dijampi inilah dikatakan menjadi Jiangshi.



Hakcipta iluminasi.com (2017)