Jenayah mencuri adalah satu perkara yang berlaku di mana-mana tempat di dunia ini. Agak sukar untuk membendung masalah ini dan ia melibatkan jumlah nilai yang berbeza-beza.
Bagi barangan yang bernilai tinggi, ia biasanya amat sukar untuk dicuri kerana diletakkan pada tempat yang sukar untuk dicapai atau diberikan kawalan yang sangat ketat.
Namun walaupun barang-barang ini mempunyai nilai yang tersangat tinggi, namun ia masih berjaya dicuri oleh penjenayah yang mempunyai kepakaran luar biasa. iluminasi.com kongsikan dengan para pembaca 8 barang yang paling mahal di dunia yang pernah dicuri.
BESARKAN TEKS A- A+
8. Tulang dinosaur - RM3.9 juta
Dengar macam kelakar, tapi ia benar bahawa ada penjenayah yang mampu dan berjaya mencuri tulang dinosaur. Eric Prokopi telah mencuri tulang rangka lebih daripada 12 dinosaur dari Mongolia.
Dia kemudiannya menyeludup tulang-tulang tersebut ke Amerika Syarikat yang mana ia dianggarkan bernilai lebih daripada RM3.9 juta. Eric Prokopi diberkas oleh FBI dan dijatuhkan hukuman 3 bulan penjara, dan tulang-tulang tersebut dikembalikan ke Mongolia.
7. Kasut Dorothy Gale - RM12 juta
Pada Ogos 2005, kasut merah delima yang terkenal melalui filem Wizard of Oz pada tahun 1939, telah dicuri dari Muzium Judy Garland di Minnesota, Amerika Syarikat. Kasut tersebut yang telah diinsuranskan pada nilai RM4 juta, kini dianggarkan bernilai di antara RM8 hingga RM12 juta.
Sehingga kini ia masih belum ditemui dan seorang peminat fanatik dari Arizona telah menawarkan RM4 juta hadiah kepada sesiapa yang memberitahu siapa pencuri dan di mana ia berada.
6. Biola Davidoff-Morini Stradivarius - RM13.8 juta
Biola terkenal, Stradivarius yang bernilai RM13.8 juta ini telah dicuri daripada pemain biola konsert yang terkenal, Erica Morini. Biola ini dihasilkan pada tahun 1727 oleh Antonio Stradivari dan dicuri dari apartment Erica di New York City.
Ketika itu, Erica Morini berusia 91 tahun dan meninggal dunia tak lama selepas harta berharga miliknya ini dicuri. Biola ini masih belum dijumpai dan berada dalam senarai jenayah top 10 oleh FBI.
5. Telur Fabergé - RM27.3 juta
House of Fabergé menghasilkan 50 telur bertatahkan permata untuk keluarga diraja Rusia dari tahun 1885 sehinggalah revolusi pada tahun 1917.
Telur-telur ini hilang ketika revolusi Bolshevik, dan selebihnya kini dipamerikan di muzium. Satu daripada telur ini telah berjaya dijumpai oleh pengedar besi buruk di sebuah pasar.
Dengan nilai mencecah RM3.9 juta bagi setiap telur, ia merupakan antara barang curian paling mahal di dunia.
4. Arca Saliera - RM224.6 juta
Saliera adalah arca emas bersaiz 10 inci yang dihasilkan oleh artis pada abad ke-16 iaitu Benvenuto Cellini untuk Raja Francis I dari Perancis. Ia bukan sahaja sangat cantik dan unik malah praktikal yang mana dihasilkan untuk diisi garam dan lada.
Arca ini yang dianggarkan bernilai RM224.6 juta telah dicuri dari Muzium Kunsthistorisches di Vienna, Itali pada tahun 2003 yang mana ketika itu muzium ini dalam proses pengubahsuaian. Pihak muzium menawarkan hadiah RM4.7 juta bagi sesiapa yang menemui arca ini.
Selepas 3 tahun, Saliera telah dijumpai tertanam dalam sebuah kotak di hutan berdekatan bandar Zwettl, Austria, 90 kilometer dari utara Vienna. Pencuri tersebut, Robert Mang menyerah diri selepas pihak polis mengeluarkan foto daripada kamera pengawasan yang mana akhirnya dicam oleh kenalannya.
3. The Scream - RM473 juta
Terdapat 4 versi lukisan terkenal ini yang dilukis oleh Edvard Munch. Versi yang paling terkenal daripada 4 versi ini bernilai RM473 juta dan disiapkan pada tahun 1893 kemudiannya dipamerkan di Galeri Kebangsaan di Oslo, Norway.
Pencuri tersebut telah mencuri lukisan ini pada tahun 1994 (dan sekali lagi pada tahun 2004), lalu meminta wang tebusan sebanyak RM3.8 juta.
Permintaan tersebut ditolak, dan akhinya penjenayah tersebut berjaya ditangkap dalam satu misi penyamaran berbahaya dilakukan oleh detektif British dengan menyamar sebagai peniaga seni dan menipu pencuri tersebut.
2. Mona Lisa - RM7.8 bilion
Mungkin anda pernah mendengar nama lukisan yang paling terkenal di dunia ini kan? Penjenayah yang mencuri lukisan ini bernama Vincenzo Perugia, yang merupakan seorang pekerja di Muzium Louvre, Paris, lokasi di mana lukisan ini dipamerkan.
Pada tahun 1911, Vincenzo bersembunyi di dalam almari sehingga muzim ini ditutup, dan kemudiannya mengambil Mona Lisa bersama dua rakan sekerja yang lain. Lukisan ini tidak dapat dikesan selama 2 tahun, sehinggalah pada Disember 1913 apabila Vincenzo cuba untuk menjualnya kepada pengedar seni di Itali.
Lukisan ini mendapat liputan yang hangat oleh pihak media menjadikannya sebagai lukisan paling terkenal di dunia. Lukisan ini diiktiraf sebagai benda yang paling mahal pernah dicuri dengan nilai sekurang-kuranganya RM7.8 bilion.
1. Hati Fattah Amin
Bagi gadis-gadis di luar sana, pastinya berasa sangat kecewa dan hampa, apabila Fattah Amin melafazkan akad nikah terhadap pilihan hatinya, Nur Fazura. Walaupun tidak dapat dianggarkan berapa nilai hatinya yang dicuri, namun bagi gadis-gadis malah sesetengah "jejaka" di Malaysia, ia mungkin tidak ternilai, membuatkan ianya berada di tangga pertama senarai ini.
Hati ini pernah cuba dicuri oleh Neelofa dan Sherry Ibrahim sebelum ini namun ia tidak kekal dan akhirnya berada dalam genggaman Fazura.
Rujukan:
1. RD
2. CNN