Siapa sangka bumi ini terdiri daripada pelbagai jenis makhluk, daripada sekecil-kecil mikrob kepada sebesar-besar gorilla. Ada yang makan daging, ada yang makan rumput, dan ada yang tahan panas, ada yang tahan sejuk. 

Terdapat banyak haiwan yang mampu bertahan dalam suhu melampau, namun haiwan apakah dalam pengetahuan anda yang mampu hidup walaupun badan membeku?

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Anak Kura-Kura Jenis Painted Turtle 

anak kura kura painted turtle boleh hidup membeku

Anak kura-kura jenis ini selalunya dijumpai di habitat air tawar di Amerika dan Kanada, mempunyai lebih daripada satu helah untuk menghadapi keadaan sejuk melampau. Kebanyakan helah ini masih tidak difahami oleh saintis sehingga kini. Spesis anak kura-kura ini digelar sebagai 'supercooling superstars of the vertebrate world' kerana kebolehan mengekalkan suhu cecair dalam badan pada kadar bawah kosong.

Haiwan ini juga berupaya bertahan dalam keadaan separa beku, mampu hidup walaupun sejumlah besar air membentuk di dalam tisu badan mereka. Respon kura-kura ini kepada cuaca sejuk bergantung kepada keadaan persekitaran sarangnya. 

2. Kumbang Upis (Upis Beetle)

upis beetle kumbang upis tahan lasak hidup beku

Pada musim sejuk ekstrem di Alaska, kumbang Upis mampu bertahan suhu serendah -73°C. Pada suhu -28°C, serangga berkulit keras ini membeku, namun ia berupaya meneruskan hidupnya dalam keadaan tersebut kerana badannya menghasilkan sejenis gula anti-beku yang dikenali sebagai xylomannan.

Bahan ini sebenarnya tidak menghalang proses pembekuan, sebaliknya ia melambatkan pembentukan ais serta memastikan proses pembekuan tidak terlalu melampau yang boleh menyebabkan sel kumbang spesis berkenaan rosak. 

3. Ulat Bulu Jenis Banded Wooly Bear

ulat bulu jenis banded wooly bear tahan hidup sejuk beku

Kerap kali ditemui di kebanyakan kawasan sejuk, termasuklah Artik, banded woolly bears merupakan larva kepada seekor spesis rama-rama iaitu Isabella tiger moth. Seperti kebanyakan ulat bulu lain, serangga kecil berbulu ini menghabiskan kebanyakan masanya memakan daun-daun hijau sebelum berubah menjadi pupa

Berbanding ulat bulu lain, serangga ini sangat unik kerana ia hidup dalam keadaan beku selama 90% hidupnya. Kebolehan bertahan dalam cuaca sejuk melampau di Artik ini adalah disebabkan kewujudan bahan cryoprotectant yang terhasil di dalam tisunya, memberikan perlindungan optimum. 

Tidak seperti ulat bulu lain di seluruh dunia, wooly bears di Artik tidak terus berubah menjadi pupa selepas tamatnya musim sejuk. Sebaliknya, ia mampu meneruskan hidup dalam keadaan ulat bulu sehingga usia 13 tahun dalam keadaan sejuk dan cair. 

4. Katak Kayu (Wood Frog)

katak kayu wood frog tahan hidup sejuk beku

Katak kayu spesis Rana sylvatica ini antara yang paling tahan lasak dalam cuaca sejuk beku. Secara literal, haiwan ini masih hidup walaupun membeku hampir sepenuhnya, dengan jantung, otot dan pergerakan pernafasan terhenti. Otak yang membeku tidak membunuh katak ini.

Apabila tiba musim bunga, katak beku tersebut mencair dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Kes kryogenik ini sangat menarik dan boleh berlaku kerana katak spesis ini mempunyai sejenis gula anti beku di dalam badannya. 

5. Tardigrade

tardigrade hidupan tahan lasak sejuk beku

Makhluk bernama Tardigrade ini turut dikenali sebagai water bear atau moss piglet. Ia mungkin kecil, kurang daripada 1mm panjang, namun ia sejenis hidupan yang boleh dikatakan sebagai kalis mati. Sesetengah spesis Tardigrade boleh bertahan dalam suhu serendah -273°C. Ia juga mampu hidup apabila direbus, dipanaskan dalam mikrowave, terdedah kepada tekanan melampau dan diletakkan di ruangan vakuum di angkasa lepas. 

Apakah rahsianya? Ada yang berkata bahawa Tardigrade ini adalah jenis hidupan angkasa, namun sesetengah para saintis berpendapat bahawa hidupan kecil ini mendapat perlindungan melalui sejenis keadaan yang dipanggil cryptobiosis

6. Resurrection Bug (Herminiimonas glaciei)

resurrection bug herminiimonas glaciei hidupan paling tahan sejuk beku

Menariknya tentang hidupan ini, ia masih hidup walaupun tertimbus sedalam 3 kilometer di dalam kepingan ais di Greenland selama 120,000 tahun. Apabila saintis memperolehi kepingan ais daripada tapak glasier di Greenland, mereka menemui spesis ini pada ais tersebut. Mereka menghidupkan semula mikrob berkenaan dengan memanaskannya secara perlahan. 

Bukankah sangat menarik ciptaan Tuhan, daripada sebesar-besar bintang dan alam semesta, kepada sekecil-kecil bakteria yang mampu hidup selama ribuan tahun. 

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. simplemost.com
  2. earthtouchnews.com
  3. insh.world



Hakcipta iluminasi.com (2017)