Oleh pada 20 Jan 2022 kategori

Apabila bercakap mengenai ajaran sesat, pasti ramai terfikir tentang sekumpulan individu yang memakai pakaian serba hitam, melakukan pemujaan syaitan dan mengamalkan sihir.

Pada hakikatnya, ada juga kumpulan ajaran sesat ini yang menonjolkan imej bergaya dan moden. Berdasarkan kamus Merriam-Webster, ajaran sesat ditakrifkan sebagai "kumpulan kecil yang bukan daripada agama besar atau diterima umum dan kepercayaannya dianggap ramai sebagai ekstrem atau berbahaya".

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malah, selebriti Hollywood juga tidak terkecuali menyertai kumpulan seperti ini. Antara yang diketahui ramai ialah Tom Cruise yang menyertai ajaran sesat Scientology. Berikut adalah beberapa lagi selebriti Hollywood yang pernah menyertai ajaran sesat.

1. Val Kilmer

val kilmer

Pelakon filem aksi 80-an dan 90-an yang pernah memegang watak Batman ini adalah seorang penganut kuat kepercayaan Christian Science. Kumpulan agama ini terkenal dengan amalan metafizik mereka dan percaya bahawa semua masalah di dunia boleh diselesaikan dengan pemikiran yang betul.

Pada tahun 2015, Kilmer telah dimasukkan ke hospital kerana masalah tumor. Pada tahun 2017, Kilmer mendakwa bahawa perubatan tradisional adalah punca masalah tumornya tetapi boleh disembuhkan dengan kepercayaan Christian Science yang diamalkannya.

Akhirnya, Kilmer bersetuju untuk menjalani rawatan kimoterapi.

2. Allison Mack

allison mack

Kisah mengenai pelakon ini pernah kami kupaskan secara terperinci. Pelakon yang dikenali ramai melalui siri "Smallville" ini pernah menyertai ajaran sesat bernama NXIVM.

NXIVM pada mulanya didaftarkan sebagai syarikat jualan langsung tetapi beroperasi sebagai sebuah ajaran sesat terlibat dengan pemerdagangan seks. Allison sendiri membantu ajaran sesat itu untuk merekrut mangsa wanita dengan keadah memeras ugut.

Allison dianggap sebagai orang kedua terpenting dalam ajaran sesat itu. Malah, sebahagian ahli kumpulan itu turut dicacah dengan singkatan nama Allison Mack (AM) dan pengasas NXIVM iaitu Keith Raniere (KR). Allison telah ditahan pada 2018 dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun pada 2021.

3. Patricia Arquette

patricia arquette

David dan Patricia Arquette

Patricia dan adiknya yang juga seorang pelakon iaitu David Arquette pernah dibesarkan keluarganya dalam komuniti ajaran sesat yang dinamakan sebagai Skymont Subud di Virginia.

Mereka tinggal dalam satu komuniti besar tanpa kemudahan seperti tandas, air bersih dan elektrik untuk mencari dan mengikuti "petunjuk batin" dalam diri mereka.

Ajaran sesat ini diasaskan di Indonesia pada 1920-an oleh Muhamad Subud Sumohadiwidjojo yang dianggap sebagai "nabi" oleh kumpulan itu. Patricia akhirnya melarikan diri daripada komuniti itu dan berpindah ke California.

4. Michelle Pfeiffer

michelle pfeiffer

Pelakon hebat ini pernah membintangi banyak filem besar seperti Scarface (1983), Batman Returns (1992), Dangerous Mind (1995) dan banyak lagi. Ketika awal kerjayanya dalam dunia Hollywood, Pfeiffer telah terjebak dengan ajaran sesat yang dikenali sebagai Breatharianism.

Menurut Pfeiffer, ahli kumpulan itu percaya mereka hanya memerlukan cahaya matahari untuk hidup, bukannya makanan atau minuman. Malah, ada ahli kumpulan yang maut akibat mengamalkan kepercayaan ini.

Pfeiffer mendakwa kumpulan itu mengambil banyak wang daripadanya tetapi berjaya membantunya mengatasi masalah ketagihan sehingga dia berjaya menjadi seorang pelakon terkenal. Pfeiffer akhirnya meninggalkan kumpulan itu dengan bantuan suaminya. 

5. Joaquin Phoenix

joaquin phoenix

Pelakon yang memegang watak utama filem Joker (2019) ini dilahirkan dalam kumpulan ajaran sesat iaitu Children of God. Kini, kumpulan itu dikenali sebagai The Family International.

Kumpulan itu percaya kepada pembebasan diri, pembentukan semula kerohanian dan kelahiran anti-Christ (Dajjal). Pheonix membesar dalam ajaran ini lebih daripada sedekad kerana orang tuanya adalah pendakwah Children of God di Amerika Selatan.

Pada tahun 1970-an, kumpulan ini semakin mencurigakan apabila menggunakan ahli wanita untuk menawarkan perkhidmatan seks bagi mengutip derma yang menjadi sumber pendapatan utama mereka. Pada 1978, keluarga Phoenix telah keluar daripada kumpulan itu dan menetap di Florida.

6. Rose McGowan

rose mcgowan 242

Pelakon yang pernah membintangi filem Scream (1996) dan siri TV Charmed ini juga mempunyai kisah yang sama dengan Joaquin Phoenix. Rose McGowan dilahirkan di Itali ketika bapanya menjadi pendakwah Children of God di sana.

Ketika membesar, Rose banyak menjelajah ke seluruh Eropah bersama ibu bapanya dan menyaksikan banyak jenayah seksual dan penderaan yang dilakukan kumpulan ajaran sesat itu.

Sama seperti ibu bapa Joaquin Pheonix, ibu bapa Rose juga keluar daripada Children of God pada tahun 1978 dan kembali ke Amerika. Pada tahun yang sama juga, Rose yang berusia 15 tahun melarikan diri untuk tinggal di Los Angeles bagi mengejar cita-citanya menjadi pelakon.




Hakcipta iluminasi.com (2017)