Sumber Foto: ftnnews.com
Ketika muda, kita tidak tahu apa yang kita inginkan dalam hidup. Tamat universiti, ramai membuat keputusan untuk terus terjun ke alam pekerjaan. Ramai daripada mereka tidak tahu apa yang mereka inginkan dalam hidup mereka.
Mengembara mampu membuka minda anda untuk membuat keputusan tentang apa yang anda ingin capai dalam hidup. Mengembara berbeza dengan melancong. Melancong sekadar beristirehat, mengembara pula lebih kepada beristirehat sambil belajar.
BESARKAN TEKS A- A+
Di sini penulis ingin kongsikan mengapa anda patut ambil sedikit masa sebelum mula bekerja ataupun mengambil gap year untuk kembara di dalam Malaysia, mahupun ke negara lain, dan pasti anda tidak akan menyesal dengan keputusan ini.
1. Menjadi Lebih Berdikari / Street Smart
Sumber Foto: themindsjournal.com
Mengembara ketika usia muda remaja berbeza dengan melancong bersama keluarga ke tempat-tempat seperti Bukit Merah Laketown Resort mahupun Lego Land.
Apa yang pasti, kembara tanpa ibu bapa anda di sisi memerlukan anda untuk menjadi berdikari. Segala keputusan anda yang akan putuskan. Makan di mana, pengangkutan apa yang perlu digunakan dan macam-macam lagi.
Anda diletakkan di dalam situasi dunia sebenar yang memerlukan anda untuk menjadi seorang street smart, seorang yang mampu menyelesaikan masalah dengan praktikal.
Ketika mengembara, anda akan menghadapi pelbagai masalah dan anda akan belajar untuk menjadi peka dan lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling yang anda tidak biasa.
Penyelesaian masalah dan berfikir di luar kotak adalah skil yang bakal anda pelajari semasa mengembara.
2. Belajar Tentang Pengurusan Kewangan
Sumber Foto: bsm.ac.th
Untuk mengembara sama ada di dalam mahupun luar negara sudah pasti memerlukan wang ringgit. Dan wang ringgit bukan dipetik dari pokok. Bagi yang dari keluarga berada, ini kewangan bukanlah suatu isu.
Bagi yang berasal dari keluarga sederhana mahupun kurang berkemampuan, anda perlu mengikat perut untuk mengembara. Sekiranya itu bukan suatu pilihan, buatlah sesuatu untuk mendapatkan pendapatan sampingan.
Sebelum mengembara, anda akan untuk buat belanjawan perjalanan. Ketika mengembara, anda akan belajar bagaimana untuk belanja tidak lebih daripada apa yang anda pelan.
Kadangkala anda juga akan belanja lebih daripada belanjawan anda. Di sinilah titik tolak di mana anda perlu membuat keputusan apa yang patut anda kurangkan atau lebihkan dari segi perbelanjaan.
Anda akan belajar tentang keutamaan dalam kewangan.
3. Menjadi Lebih Yakin
Sumber Foto: business2community.com
Anda di sini kerana anda klik artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengembaraan di usia muda. Ini langkah pertama yang anda sudah capai.
Dengan sedikit maklumat yang anda perolehi di sini, anda sedikit lebih yakin untuk mengembara. Betul tak?
Sebelum mengembara, anda perlu membuat pelan kembara anda. Anda mungkin takut untuk keluar dari zon selesa. Namun, setelah melakukannya, anda akan berasa mengunjungi tempat baru bukanlah sesukar yang disangka.
Keyakinan tidak boleh dipelajari. Ia hanya boleh dipupuk melalui praktikal. Sekiranya anda takut lemas dalam air, anda belajar berenang. Sudah pandai berenang, anda lebih yakin.
Begitu juga dengan hidup. Mengembara mampu memupuk keyakinan anda untuk membuat keputusan tentang hidup anda.
4. Mempunyai Tenaga & Masa Serta Kurang Komitmen
Sumber Foto: ligadonogospel.com
Nabi Muhammad S.A.W. juga menggalakkan kita untuk menuntut ilmu sampai ke negeri (negara) China. Yakni, ilmu itu di mana-mana. Mengembara juga suatu proses menuntut ilmu.
Ketika berusia 20an, anda mempunyai banyak tenaga untuk melakukan sesuatu. Masuk 30an, tenaga anda sedikit berkurang ditambah dengan komitmen dan kekangan masa.
Masuk umur 40an, anda baru hendak mula selesa dengan kewangan namun tenaga makin berkurangan ditambah dengan kekangan masa.
Masuk umur 50an, anda sedikit selesa dengan kewangan dan anak-anak pun sudah besar, namun tenaga anda kurang.
Di usia muda, anda masih belum mempunyai komitmen atau tanggungjawab. Mungkin anda punya komitmen, namun masih belum berat.
Bagi yang sudah berkahwin, tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak. Makan minum mereka, tempat tinggal dan sebagainya.
Bagi yang mempunyai rumah dan kereta, komitmen untuk membayar pinjaman bulanan. Komitmen kerja membuatkan masa dirasakan tidak mencukupi.
Masa tidak akan kembali. Muda hanya sekali. Jadi, anda yang masih muda, gunakan masa yang ada untuk belajar tentang ilmu kehidupan melalui pengembaraan.
5. Menjadi Lebih Berfikiran Terbuka
Sumber Foto: warriormindcoach.com
Ketika mengembara, anda akan berjumpa dengan macam-macam jenis orang, pelbagai perwatakan. Ambil peluang ini untuk bercakap dengan masyarakat tempatan, anda boleh belajar sesuatu daripada mereka.
Setiap tempat ada keunikannya yang tersendiri, penuh dengan budaya yang mampu mempengaruhi dan mengubah pemikiran anda.
Adalah sangat bagus untuk menerokai tempat-tempat baharu dan melihat sendiri bagaimana ia mengajar anda tentang erti kehidupan dan tentang diri anda.
Proses pembelajaran bukan hanya terhad kepada pembelajaran di dalam kelas. Apa yang kita belajar di sekolah mahupun universiti kebanyakkannya adalah teori semata-mata.
Ilmu yang kebanyakan tidak digunakan pun dalam kehidupan kita. Mengembara mengajar kita tentang banyak perkara yang berguna untuk kehidupan kelak.
6. Mengutip Pengalaman & Memori Berharga
Sumber Foto: favim.com
Bahagian yang paling menarik tentang pengembaraan adalah cerita-cerita yang anda boleh kongsikan dengan bakal majikan anda, rakan sekerja, pasangan hidup, anak-anak mahupun cucu anda suatu hari nanti.
Adakah anda masih ingat apa yang ada belajar di tingkatan 2? Mungkin tidak sangat kerana ia bukanlah suatu memori yang penting dalam hidup anda.
Ketika mengembara, anda berjumpa ramai orang di tempat baharu, merasai pengalaman berjalan di kota asing. Cabaran-cabaran yang dilalui. Memori seperti inilah yang anda akan ingat sampai bila-bila.
Perkongsian Peribadi: Semasa temuduga kerja, bakal majikan penulis tidak terlalu berminat dengan pencapaian akademik penulis, malah meminta penulis untuk kongsikan skil dan pengalaman yang ada.
Memandangkan penulis seorang graduan, tiada pengalaman kerja untuk dikongsikan. Penulis kongsikan pengalaman solo backpacking di Eropah dan menarik minat majikan. Akhirnya berjaya mendapat tawaran kerja (Bukan kerja menulis. Menulis hanya kerja sampingan).
Kesimpulan
Kita mulakan hidup kita seharian dengan kerja, kerja dan kerja. Bangun pagi, mandi dan bersiap ke tempat kerja dari 8 pagi hingga 5 petang. Kadang kala kerja lebih masa. Kerja yang tidak pernah habis. Keesokan harinya, ulang benda yang sama.
Rutin ini berlaku kerana inilah yang diterapkan dalam masyarakat kita. Ya, memang tekanan ekonomi menyebabkan ramai graduan terdesak untuk mendapatkan pekerjaan kerana ada tanggungjawab terhadap diri sendiri mahupun keluarga.
Namun, adakah kita sedar, hidup kita lebih daripada itu? Di usia muda inilah masa untuk kita mencuba sesuatu yang baru. Masa untuk mencari pengalaman hidup.
Saranan penulis, kumpul wang semasa belajar dan kembara. Orang bekerja pon boleh buat. Di usia muda remaja anda masih belum mempunyai banyak komitmen, ada tenaga dan masa. Inilah masa terbaik untuk lakukan sesuatu lain daripada yang lain.