(Manusia paling pendek dan tinggi di dunia)

Ramai di antara kita yang mempunyai impian untuk mencatatkan rekod dunia, namun tak semua yang mempunyai kebolehan unik seperti orang lain.

Malah, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana anda mempunyai pesaing seramai lebih daripada 7 bilion manusia di Bumi.

Walaupun begitu, kebanyakan rekod dunia saling berganti-ganti dan diperbaharui dengan rekod yang lebih hebat.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dan bagi sesetengah rekod, ia terlalu menakutkan dan dahsyat sehinggakan tiada siapa yang berani memecahkannya.

iluminasi.com kongsikan 5 rekod dunia paling gila yang orang tak berani pecahkan.

1. Jarak paling jauh dibawa puting beliung

grandma granny flying in tornado

Matt Suter merupakan seorang pelajar senior sekolah menengah berusia 19 tahun pada 12 Mac 2006, ketika ribut melanda bandar kelahirannya di Fordland, Missouri.

Matt berada di dalam karavan milik neneknya bersama nenek dan bapa saudara yang cacat.

Ketika angin dan hujan membasahi karavan tersebut, Matt berdiri di atas sofa dan cuba menutup tingkap dengan hanya memakai seluar pendek.

Dan pada ketika itu juga, dia mendengar bunyi yang tersangat kuat. Matt menjelaskan bunyi tersebut menjadi semakin kuat, seperti 10 jet tentera datang ke arah mereka.

Pintu hadapan dan belakang karavan tersebut tercabut manakala dinding, lantai dan siling mula bergerak seperti jeli.

Karavan tersebut terbalik dan dindingnya runtuh. Kemudian, sebuah lampu mengenai kepala Matt membuatkannya tidak sedar diri.

Tiba-tiba, tubuh badan Matt disedut keluar dengan begitu cepat ke dalam pusaran angin sambil dilihat neneknya.

matt suter manusia paling jauh dibawa puting beliung

Angin tersebut merupakan puting beliung F2 dan ia membawa Matt sejauh 398.37 meter, lebih daripada 4 kali panjang padang bola sepak.

Matt yang masih hidup kemudiannya terjaga dalam keadaan tidak cedera teruk, kecuali luka kecil.

Nenek dan bapa saudaranya juga terselamat daripada karavan yang musnah selepas mereka terperangkap di bawah perabot yang berat.

Rekod seperti yang dicipta Matt ini bukanlah kali pertama berlaku. Pada tahun 1999, seorang bayi dari Oklahoma terselamat apabila puting beliung menyebabkannya tercampak sejauh 30 meter.

Seorang gadis Dakota dan kuda padinya tidak mengalami kecederaan apabila satu puting beliung mencampakkan kedua-duanya sejauh 300 meter pada tahun 1955.

Selepas 14 tahun, tiada siapa yang berani mencabar rekod Matt Suter. Lagipun, rekod yang dicatatkan oleh Matt bukanlah dilakukan dengan sengaja atau rela hati. 

Jika anda ingin, cuba untuk berjalan masuk ke dalam putaran puting beliung.

2. Manusia paling berat di dunia

john brower minnoch manusia paling berat di dunia

Adalah tidak mengejutkan bahawa lelaki dan wanita paling berat dalam sejarah manusia moden adalah rakyat Amerika Syarikat kerana negara ini mempunyai peratusan obesiti antara yang tertinggi di dunia.

Jon Brower Minnoch dibesarkan di Washington dan ketika berusia 12 tahun, berat badannya mencecah 135 kilogram.

Beratnya terus meningkat sehingga mencecah kemuncak berat iaitu 635 kilogram ketika berusia 37 tahun pada tahun 1978.

Pada Mac tahun yang sama, Jon mengalami kegagalan jantung dan pernafasan. Disebabkan tidak boleh bergerak, 12 orang anggota bomba dikerah untuk membawanya ke hospital.

Sebaik sampai, dia didiagnos dengan edema (lebihan cecair berair yang mengumpul di rongga atau tisu badan) yang tersangat banyak dan doktor menganggarkan bahawa Jon memiliki 400 kilogram cecair terkumpul, iaitu 63% daripada berat badannya.

Dia terlantar di hospital selama 2 tahun dengan berbaring di atas dua katil yang disambungkan bersama. 13 orang diperlukan untuk menggulingkan Jon bagi tujuan rawatan.

Ketika berada di hospital, Jon mengahwini seorang wanita bernama Jeannette. Dan disebabkan wanita ini hanya seberat 50 kilogram, mereka telah mencipta rekod perbezaan berat paling banyak antara pasangan di dunia.

Jon diberikan pemakanan sebanyak 1,200 kalori dan ketika dia keluar dari hospital setahun kemudian, Jon kehilangan berat sebanyak 419 kilogram.

Ini juga merupakan rekod kehilangan berat paling tinggi di dunia. Namun, semua ini memberikan kesan kepada tubuh badannya dan Jon meninggal pada tahun 1983 pada usia 41 tahun.

rosalie bradford wanita paling berat di dunia

Guinness memberikan gelaran wanita paling berat di dunia kepada Rosalie Bradford dari Florida yang mencapai berat kemuncak 544 kilogram.

Seperti Jon, Rosalie bergelut dengan obesiti sepanjang hidupnya namun ia semakin menjadi-jadi selepas dia berkahwin dan melahirkan anak.

Rosalie menjadi tertekan dan cuba untuk membunuh diri, namun disebabkan terlalu berat ia membuatkan pil-pil yang ditelan hanya mampu menidurkannya selama beberapa hari.

Rosalie mula menjaga pemakanan dan bersenam, dan senaman pertama yang dilakukan adalah menepuk tangan.

Dalam tempoh setahun, dia berjaya menurunkan berat sebanyak 190 kilogram dan akhir kehilangan 317 kilogram, rekod kehilangan berat paling tinggi bagi wanita.

Pada tahun 1992 ketika berusia 49 tahun berat badan Rosalie di bawah 136 kilogram dan dia menyambungkan pelajaran serta memperoleh ijazah dalam bidang psikologi.

Dia juga mula melakukan jelajah ke seluruh AS untuk menyampaikan motivasi, dan meninggal dunia pada tahun 2006 di usia 63 tahun.

3. Batu karang paling banyak, besar dan berat di dunia

batu karang paling banyak dikeluarkan dari seorang pesakit milik dhanraj wadile dari india

(Batu karang yang dikeluarkan dari buah pinggang Dhanraj Wadile)

Menjelang Disember 2009, Dhanraj Wadile yang berusia 45 tahun telah bertahan selama 6 bulan akibat sakit perut kronik.

Selepas berjumla dengan doktor, dia disahkan mengalami batu karang. Dr. Ashish Patil kemudiannya menghabiskan 4 jam untuk mengeluarkan 172,155 batu kalsium oksalat dan fosfat dengan saiz antara 1 milimeter ke 2.5 sentimeter.

Kesemua batu ini dikeluarkan hanya dari buah pinggang kiri Dhanraj. Dr. Ashish dan pasukannya mengambil masa sebulan untuk mengira jumlah batu-batu tersebut.

Setelah selesai, dia menghantar batu-batu karang itu kepada Guinness untuk disahkan, yang mana telah memecahkan rekod menewaskan rekod sebelumnya sebanyak 14,098 batu karang yang dikeluarkan dari seorang pesakit.

batu karang yang dikeluarkan dari buah pinggang sandor sarkadi 502

(Batu karang yang dikeluarkan dari buah pinggang Sandor Sarkadi)

Pemegang rekod bagi batu karang terbesar di dunia juga berasal dari India iaitu seorang anggota polis bernama Vilas Ghuge.

Pada Februari 2004, batu karang sebesar 13 sentimeter telah dikeluarkan dari buah pinggangnya. Biasanya, saiz batu-batu karang tidak melebihi 9 sentimeter iaitu sebesar bola lisut.

Pada tahun 2009, seorang warga Hungary bernama Sandor Sarkandi telah menjalani pembedahan yang mengeluarkan batu karang seberat 1.13 kilogram, sebesar buah kelapa.

4. Tempoh paling lama dihabiskan di atas pengusung pesakit 

rekod dunia tony collins

Guinness mewujudkan satu kategori baru apabila Tony Collins yang berusia 40 tahun dari UK, dilaporkan telah berbaring di atas pengusung pesakit beroda (wheeler stretcher) selama 77 jam dan 30 minit.

Tony adalah pesakit kencing manis dan dijangkiti virus yang menyebabkannya dimasukkan ke Princess Margaret Hospital di England.

Dia diberitahu perlu menunggu katil hospital mempunyai kekosongan, jadi Tony dibaringkan di atas pengusung tersebut yang diletakkan di lorong di hospital pada jam 3 petang.

"Belakang saya sakit, tiada privasi dan terpaksa bergantung kepada jururawat untuk memberikan saya minuman kerana tiada tempat untuk meletakkan jag," kata Tony Collins.

Dan selepas lebih dari 3 hari, katil hospital mempunyai kekosongan. Apa yang ironinya adalah ketika Guinness menyiasat tuntutan Tony, dia sekali lagi jatuh sakit dan dimasuukan ke hospital yang sama.

Dan kali ini, dia dibiarkan di atas pengusung beroda untuk tempoh 60 jam.

Bagi rekodnya, Tony berkata malang sekali ia mungkin satu rekod yang dipecahkan setiap hari di Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), sistem penjagaan kesihatan yang dibiayai dan dikendalikan kerajaan.

Ramalan Tony menjadi kenyataan pada Mac 2013, apabila seorang warga emas bernama Herbert Edwards dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung.

Herbert menunggu di atas pengusung yang sama selama 6 hari atau 144 jam. Akan tetapi dia tidak memecahkan rekod Tony kerana Herbert diletakkan di kawasan yang ditetapkan, dan bukannya di lorong.

Di hospital yang sama dengan Tony, seorang wanita berusia 41 tahun iaitu June Rogers menunggu selama 157 jam dan 88 jam daripadanya di lorong hospital. 

Tempoh ini juga tidak memecahkan rekod Tony, kerana jumlah jam June berada di lorong adalah tidak berturut-turut.

5. Rekod haiwan disangka maut paling banyak dalam sehari

rekod dunia dipegang oleh anjing dosha

Dosha, seekor anjing pit bull campuran berusia 10 bulan yang tinggal bersama tuannya di California mengalami nasib yang begitu malang pada 15 April 2003.

Pada pagi tersebut, Dosha melompat pagar untuk keluar dari halamannya dan kemudiannya dilanggar oleh sebuah trak. Ketika anggota polis tiba, anjing ini berada dalam keadaan tempang dan matanya berair.

Beranggapan bahawa anjing tersebut cedera parah, polis itu menembak Dosha di kepala, betul-betul di bawah mata kanannya, untuk mengelakkan ia daripada menderita.

Pihak kawalan haiwan tiba dan kemudiannya memasukkan apa yang mereka sangkakan bangkai ke dalam sebuah beg plastik. Mereka membawa Dosha ke tempat kurungan anjing lalu memasukkanya ke dalam peti sejuk.

2 jam kemudian, seorang pekerja membukan peti sejuk tersebut dan mendapati bahawa Dosha yang masih berada di dalam plastik dalam keadaan duduk.

Peluru yang ditembak polis tersebut melalui tengkorak Dosha, hampir mengenai otaknya dan berakhir di dalam kulitnya di bawah rahan.

Dosha juga mengalami hipotermia tetapi tidak mengalami patah tulang akibat kemalangan awal. Serpihan peluru kemudiannya dikeluarkan, namun Dosha pulang ke rumah dengan kehilangan pendengaran pada telinga kanan.

Disebabkan Dosha ditakdirkan terselamat daripada tiga insiden yang sepatutnya telah membunuhnya, Guinness menggelarkannya sebagai anjing paling bernasib baik di dunia.

Rujukan:

1. Smithsonian Mag

2. Guinness World Records

3. Versa

4. English Time




Hakcipta iluminasi.com (2017)