sejarah rekod dunia guiness

Setiap rekod dunia yang dicatatkan akan disimpan dalam sebuah arkib yang dikenali sebagai Guinness World Records. Daripada rekod seperti manusia terpantas di dunia dan manusia tertinggi di dunia sehinggalah kepada rekod-rekod pelik seperti memiliki kuku terpanjang di dunia dan kek terbesar di dunia, nama pemegang rekod ini tersimpan rapi untuk rujukan orang ramai secara percuma.

Kejayaan Guinness World of Records juga diikuti oleh negara-negara di seluruh dunia yang mengambil inisiatif mewujudkan arkib simpanan rekod peringkat nasional. Di Malaysia juga, kita memiliki Malaysia Books of Records yang menyimpan catatan-catatan rekod peringkat nasional yang dicatatkan oleh rakyat Malaysia.

Pernahkah anda terfikir, bagaimanakah tercetusnya idea untuk mewujudkan Guinness  World Records (GWR) bagi menyimpan semua rekod yang dicatatkan di seluruh dunia? Tanpa kewujudan GWR, ianya pasti satu tugas yang sukar untuk menyimpan dan menyemak kesemua rekod yang pernah dicatatkan.

Idea ketika pertandingan menembak

sejarah guinness world records

Idea untuk menghasilkan buku yang menghimpunkan rekod-rekod di seluruh dunia dicetuskan oleh Sir Hugh Beaver pada awal tahun 1950-an. Beliau ketika itu merupakan Pengarah Urusan syarikat Guinness Brewery, sebuah syarikat pembuat minuman beralkohol.

Ketika sedang menyertai pertandingan menembak di Wexford, beliau dan rakannya berbincang siapakan penembak burung paling pentas di Eropah. Mereka gagal mendapatkan jawapan yang betul kerana belum terdapat sebarang buku yang boleh dijadikan sebagai sumber rujukan pada ketika itu.

Pada tahun 1954, beliau teringat kembali akan perbualannya dengan rakan menembaknya itu. Beliau mendapat idea untuk menghasilkan sebuah buku yang akan menghimpunkan semua rekod yang ada di dunia pada ketika itu. Selain itu, penghasilan buku tersebut juga adalah salah satu strategi bagi mempromosikan syarikatnya.

janggut terpanjang dunia

Beliau kemudiannya telah bekerjasama dengan adik-beradik Norris McWhirter dan Ross McWhirter untuk mengumpulkan segala fakta dan rekod yang pernah dicatatkan. Kedua-dua individu ini adalah rakan kepada salah seorang pekerja di syarikat Guinness dimana keduanya mempunyai sebuah agensi di London yang dibayar untuk mencari informasi dan data penting.

Setelah kajian awal dibuat, kerja-kerja menulis buku pertama Guinness World Records dimulakan. Proses menulis buku ini mengambil 13 minggu setengah dengan tempoh bekerja 90 jam seminggu termasuklah hujung minggu dan cuti umum. Kedua-dua adik beradik ini telah berjaya menyiapkan satu kompilasi rekod seluruh dunia ini pada bulan Ogos 1954.

Buku itu kemudiannya diberi nama The Guinness Book of Records. Untuk cetakan pertama ini, ribuan salinan telah dicetak dan terjual. Pada 30 November tahun tersebut, syarikat Guinnes Superlatives Limited secara rasminya ditubuhkan dan membuka sebuah pejabat di London.

Buku paling popular dan laris di jual

buku paling popular 982

Ketika itu, tiada siapa yang menyangka buku yang dihasilkan akan menjadi salah satu buku paling popular di dunia. Edisi pertamanya mengandung 198 halaman dan walaupun hanya mula dijual pada bulan Ogos, menjelang Hari Natal pada penghujung tahun, ianya telah berada dalam senarai teratas buku paling banyak dijual.

Bertitik tolak daripada kejayaan ini, buku ini dilancarkan pula di Amerika Syarikat dimana 70,000 buah salinan telah terjual. Sejak itu, populariti buku Guinness World Records terus meningkat dan berjaya mencatatkan lebih 100 juta buah salinan di lebih 100 buah negara. Buku ini turut dicetak dalam 37 jenis bahasa.

Inovasi Guinness World Records

buku guinness world records

Catatan rekod dalam buku ini adakalanya berubah saban tahun setelah rekod baru dicipta yang akan memadamkan nama pemegang rekod yang lama. Pada masa kini, GWR turut memuatkan info dan fakta daripada rekod yang terhasil secara semulajadi seperti kulat paling beracun di dunia, ketumbuhan terbesar yang pernah dikeluarkan dan yang seumpama dengannya.

Disebabkan sebahagian besar rekod yang dimuatkan dalam buku ini adalah sama saban tahun, kini buku ini hanya memaparkan sebahagian sahaja rekod yang dipilih untuk dimuatkan dalamnya. Namun, rekod-rekod baru yang dicipta pada tahun keluaran edisi buku ini tetap akan dipaparkan.

Pemilik jenama GWR ini juga sudah beberapa kali bertukar tangan menyebabkan terdapat juga perubahan kriteria yang ditetapkan sebelum sesuatu rekod itu diterima. Malah, bagi menjadikan buku GWR ini lebih menarik, buku ini kini dimuatkan dengan pelbagai ilustrasi dan gambaran mengenai rekod yang dicipta berbanding hanya teks seperti edisi awalnya.

rekod dunia yang popular

Permohonan untuk meletakkan nama sebagai pemegang rekod tertentu adalah percuma bagi rekod yang sudah dicatatkan sebelum itu. Rekod tersebut walau bagaimanapun mesti disahkan oleh pihak yang mempunyai autoriti. Namun, caj sebanyak $5 dikenakan sekiranya anda hendak mencadangkan rekod baru. 

Pada tahun 2005, pihak Guinness telah mengisytiharkan tarikh 9 November setiap tahun sebagai International Guinness World Records Day (Hari Rekod Dunia Antarabangsa).

Kredit:

  1. Guinness World Records
  2. Wikipedia


Hakcipta iluminasi.com (2017)