Guinness World Records adalah sebuah organisasi bebas yang mencatat, merekod dan mengiktiraf sesuatu rekod dunia. Segala rekod yang dicipta boleh disemak dalam arkib dalam talian di laman sesawang Guinness World Records sendiri.

Tahun 2019 menyaksikan tahun ke 64 kewujudan Guinness World Records. Sepanjang 64 tahun ini, terdapat banyak rekod prolifik yang telah dicatatkan. Namun, tiada mana-mana rekod yang dapat menandingi kehebatan seorang lelaki bernama Ashrita Furman dari New York yang diiktiraf sebagai individu yang memegang rekod dunia paling banyak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejak 30 tahun lalu, Ashrita Furman telah mengabadikan dirinya dengan misi seumur hidup untuk mencatat sebanyak mungkin rekod dunia yang mampu dicipta. Beliau mahu membuktikan seseorang yang mempunyai cita-cita besar dan azam yang kuat sepertinya mampu berjaya dan mendapat pelbagai pengiktirafan.

Ashrita Furman yang lahir pada tahun 1954 telah mula mencatatkan rekod dunia sejak tahunn 1979 lagi. Sehingga tahun 2017, beliau sudahpun mencatatkan lebih daripada 600 rekod dunia dalam pelbagai perkara. Daripada jumlah itu, beliau masih memegang 226 rekod dunia.

Kepelbagaian rekod

ashrita furman

Tidak seperti sesetengah pemegang rekod lain yang hanya tertumpu pada satu kategori atau jenis rekod yang sama, Ashrita Furman telah mencatatkan banyak rekod dalam banyak perkara berlainan. Antara rekod pelik yang pernah dicatatkannya adalah mendaki Gunung Fuji di Jepun menggunakan kayu Pogo.

Rekod pertama yang diciptanya pada tahun 1979 adalah melakukan 27,000 kali lompatan jumping jack. Beliau kemudiannya mencatatkan rekod keduanya pada tahun 1986 dengan membuat lompatan menggunakan kayu Pogo di dalam air.

Dengan kepelbagaian rekod yang dicatatkannya, beliau mendapat peluang terbang ke pelbagai negara untuk mencipta rekod dan bertemu dengan ramai pihak yang mempunyai minat yang sama sepertinya. Beliau juga telah banyak kali dijemput  berkongsi pengalamannya dalam beberapa program wawancara popular di Amerika Syarikat.

Minat mencipta rekod sejak dari kecil

rekod dunia pelik

Walaupun namanya seringkali terpapar dalam media massa dan elektronik sejak sekian lamanya, ramai pihak masih tertanya-tanya apakah faktor yang mendorong beliau untuk mencatatkan namanya sebagai manusia yang memiliki rekod dunia paling banyak.

Cita-citanya untuk memegang banyak rekod dunia ini sebenarnya wujud ketika beliau masih kecil lagi, iaitu awal tahun 1960-an. Setiap tahun pihak Guinness World Records akan mengeluarkan buku kompilasi rekod-rekod dunia yang baru dicipta dan beliau berazam untuk meletakkan namanya dalam buku tersebut suatu hari nanti.

Minat membaca sejak dari kecil, rekod-rekod yang tercatat dalam buku Guinness World Records sentiasa menjadi inspirasinya. Walau bagaimanapun, beliau yang ketika itu tidak mempunyai fizikal tubuh badan seorang atlit menganggapnya sebagai satu halangan besar bagi melakukan sesuatu yang luar biasa dan mencatatkan rekod dunia.

Belajar memahami dan menerokai kemampuan diri

sri chimnoy

Ketika zaman remajanya, beliau berminat dengan aktiviti keagamaan dan kerohanian dan menjadi pengikut tegar seorang guru kerohanian yang bernama Sri Chimnoy. Gurunya ini adalah orang pertama yang mencabarnya untuk mencabar kemampuan dirinya.

Gurunya inilah yang telah memberi galakan kepada Ashrita Furman untuk menyertai satu pertandingan berbasikal selama 24 jam di New York pada tahun 1978, satu tahun sebelum beliau mencipta rekod pertamanya. Dalam pertandingan ini, beliau berjaya mendapat tempat ketiga dengan mencatatkan perjalanan sejauh 652 km.

Menariknya, beliau hanya melakukan latihan selama 2 minggu sebelum pertandingan tersebut. Kejayaannya ini membuka matanya untuk terus mencabar dirinya dan meneroka kemampuan dirinya dengan lebih mendalam.

Keghairan mencipta rekod dunia

rekod terbanyak dunia

Mencipta rekod dunia bukanlah satu tugas yang mudah. Malah, beliau turut gagal dalam percubaan pertamanya membuat lompatan jumping jack. Namun, kegagalan tersebut tidak mematahkan semangatnya tetapi mendorongnya untu meningkatkan lagi latihan serta menguatkan lagi mental dan fizikalnya.

Beliau telah menghabiskan latihan selama berjam-jam lamanya dalam beberapa minggu dan memahirkan dirinya dengan syarat dan asas yang ditetapkan oleh pihak Guinness World Records bagi memastikan rekodnya diterimanya. Beliau akhirnya berjaya mencatatkan 27,000 lompatan jumping jack dalam masa 6 jam 45 minit.

Ashrita Furman masih lagi aktif mencipta rekod-rekod dunia yang baru selain merampas beberapa rekod yang pernah dipegangnya suatu ketika dahulu. Beliau juga kini merupakan satu-satunya manusia yang pernah mencatatkan rekod dunia di kesemua 7 benua.

Kredit:

  1. Guinness World Records
  2. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)