Oleh pada 16 Nov 2019 kategori

sejarah penting yang disebabkan butterfly effect

Sebahagian daripada kita mungkin tidak tahu apa maksud "Butterfly effects" atau diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai "Kesan rama-rama".

Kesan rama-rama adalah satu metafora yang berkisar pada konsep kebergantungan sensitif pada keadaan asal dalam teori kekacauan.

Dalam erti kata lain, satu perubahan kecil pada satu tempat dalam sistem yang kompleks akan memberi kesan yang besar di tempat lain.

Kesan ini sebenarnya berlaku dalam kehidupan kita setiap hari. Namun, terdapat peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah yang tercetus akibat "butterfly effect" ini.

iluminasi.com kongsikan 6 peristiwa penting dalam sejarah yang berlaku disebabkan oleh "butterfly effect".

1. Perang Iraq berlaku disebabkan seorang budak dari Cuba

elian gonzalez

Ketika Sadaam Hussein berdiri di bawah tali gantung menunggu untuk dihukum mati, beliau mungkin tidak menyangka bahawa peristiwa-peristiwa yang membawanya ke tali gantung bermula disebabkan oleh seorang budak dari Cuba menaiki bot menghala ke Amerika Syarikat.

Ini kerana dengan cara yang aneh dan tidak langsung, budak bernama Elian Gonzalez telah mencetuskan Perang Iraq.

Elian bukanlah orang yang memberitahu George W. Bush bahawa Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran tetapi dia adalah orang yang membantu Bush dilantik menjadi Presiden.

elian gonzalez cetuskan perang iraq

Bush menjadi Presiden selepas salah satu pilihan raya paling sengit dalam sejarah. Dia memenangi Florida dengan hanya 537 undi dan kemenangan di Florida menjadikannya ketua negara itu.

Dan Bush mendapat undi-undi tersebut disebabkan oleh Elian. Komuniti Cuba-Amerika di Florida sangat marah dengan bagaimana Parti Demokrat menangani hak penjagaan antarabangsa berprofil tinggi melibatkan Elian, membuatkan tambahan 50,000 orang Cuba-Amerika di Florida mengundi Partik Republik iaitu parti diwakili Bush.

Ini bermakna jika Elian Gonzalez tidak menaiki bot itu ke AS, Al Gore akan menjadi Presiden dan Perang Iraq mungkin tidak akan berlaku, serta seluruh dunia akan menjadi tempat yang berlainan pada hari ini.

2. Presiden Amerika Syarikat abaikan sepucuk surat yang mencetuskan Perang Vietnam 

woodrow wilson

Pada tahun 1919, ketika Woodrow Wilson berada di Versailles menghadiri Persidangan Keamanan Paris, dia menerima surat daripada seorang sosialis muda yang meminta untuk bertemu dengannya.

Disebabkan jadual Wilson yang sibuk, dia tidak mengendahkannya dan ini secara tidak langsung menggerakkan rantaian peristiwa yang membawa kepada Perang Vietnam.

Pemuda itu adalah Ho Chi Minh dan pada ketika itu, dia masih cukup terbuka untuk idea yang berbeza.

Apa yang dia mahukan adalah kebebasan untuk Vietnam dan telah diilhamkan oleh Deklarasi Kemerdekaan Amerika.

Ho Chi Minh juga berharap Presiden Amerika itu akan bersimpati dengan nasib Vietnam dan membantu mereka mendapatkan kemerdekaan dari Perancis.

ho chi minh

Walaubagaimanapun, Woodrow mengabaikanny dan Ho Chi Minh mula kecewa dengan Amerika.

Dia kemudiannya pergi ke Kesatuan Soviet, di mana dia belajar tentang Marxisme, bertemu dengan Trotsky dan Stalin, dan meresap menjadi komunis.

Apabila Vietnam menang dan mendapat kemerdekaan dari Perancis, Ho Chi Minh memimpin kumpulan komunis yang membahagikan Vietnam kepada dua bahagian.

Disebabkan ini, Perang Vietnam bermula yang mana mungkin boleh dielakkan jika Woodrow Wilson meluangkan masanya dengan anak muda dari Vietnam itu.

3. Pergaduhan di bar cetuskan Brexit 

eric joyce

(Eric Joyce)

Apabila Great Britain memilih untuk keluar dari Kesatuan Eropah, ramai orang yang terkejut dan tertanya-tanya apakah yang membuatkan hal sebesar ini boleh berlaku.

Dan jawapannya adalah sangat mengejutkan, di mana ia berlaku di sebuah bar di Istana Westminster dikenali sebagai "Stranger's Bar".

Ia adalah lokasi di mana wakil rakyat Eric Joyce dari Parti Buruh mabuk pada tahun 2012 dan menjerit bahawa terdapat "terlalu ramai Tory, serta mula menumbuk sesiapa sahaja yang mampu dicapai.

Tory merujuk kepada Parti Konservatif dan Kesatuan atau "Parti Tory". Eric kemudiannya ditangkap lalu menjerit "Anda tak boleh sentuh saya! Saya seorang wakil rakyat!".

Ketika ini, Parti Buruh menyedari bahawa mereka perlu menggantikan Eric. Tumbukan mabuk oleh Eric mencetuskan rantaian peristiwa yang berakhir dengan negara itu meninggalkan Kesatuan Eropah.

Pertama, Parti Buruh dituduh membiarkan seorang "penderma yang murah hati" untuk memutuskan siapa yang menggantikan Eric. 

jeremy corbyn

(Jeremy Corbyn)

Kemudian, untuk melawan reputasi itu, ketua Parti Buruh iaitu Ed Miliband mula membenarkan orang yang sanggup membayar RM27 (£3) menyertai parti itu dan mengundi.

Beribu-ribu orang berbuat demikian dan mereka kemudiannya mengundi pemimpin baru iaitu Jeremy Corbyn.

Dalam hal ini, Jeremy tidak akan mendapat undian-undian tersebut tanpa perubahan peraturan £3 dan ramai orang menyalahkannya terhadap keputusan Brexit.

Malah, Parti Buruh sendiri menyalahkannya di mana mereka melancarkan gerakan tidak percaya terhadapnya selepas Britain mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah.

Namun begitu, ia sudah terlambat. Great Britain akan berpisah dari Kesatuan Eropah, semua hanya kerana seorang lelaki mabuk mengayunkan tumbukan di sebuah bar.

4. Perang Dunia Pertama tercetus akibat Franz Ferdinand tersalah jalan

franz ferdinand

Franz Ferdinand adalah bakal pewaris takhta Austria-Hungary pada ketika itu dan kematiannya telah mencetuskan Perang Dunia Pertama.

Ia dianggap sebagai salah satu kesan rama-rama terbesar dalam sejarah manusia dan ia mungkin tidak akan berlaku jika pemandunya menyemak peta dengan betul. 

Ketika itu, Franz memang tidak begitu gembira di mana semua orang yang ditemuinya di Sarajevo cuba untuk membunuhnya dan dia mula berasakan seperti tidak diingini.

Dalam satu insiden, sebuah bom telah meletup lebih awal daripada yang sepatutnya dalam cubaan membunuh Franz. Walaupun dia terselamat, sebahagian daripada anggota rombongannya dikejarkan ke hospital.

Insiden ini sepatutnya menjadi isyarat kepada Franz agar pulang ke rumah, sebaliknya dia mendesak untuk menziarah rakan-rakannya yang tercedera di hospital.

gavrilo princip orang yang membunuh franz ferdinand

(Gavrilo Princip)

Walaubagaimanapun, dalam perjalanan ke hospital, pemandunya Leopold Lojka, yang tidak diberitahu tentang perubahan jalan yang perlu diikut telah tersalah belok dan memasuki jalan yang mana salah seorang yang cuba untuk membunuhnya, Gavrilo Princip, berada di situ.

Menyedari kesilapannya, Leopold mengundurkan kereta secara tergesa-gesa, membuatkan enjin terhenti dan gear terkunci. 

Gavrilo kemudiannya mara ke arah kereta sambil mengeluarkan pistol, lalu melepaskan dua das tembakan yang mengenai leher dan perut Franz.

Pembunuhan Franz di Sarajevo mencetuskan pengisytiharan perang Austria-Hungary terhadap Serbia, yang seterusnya mencetuskan satu siri peristiwa yang akhirnya membawa kepada sekutu Austria-Hungary dan Serbia mengisytiharkan perang antara satu sama lain, bermulanya Perang Dunia I.

5. Tembok Berlin musnah akibat seorang jurucakap tersalah ucapan

kejatuhan tembok berlin secara tak sengaja

Ketika beribu-ribu orang membanjiri pintu-pintu pemeriksaan di Tembok Berlin, ia merupakan pengakhiran sebuah era.

Tahun-tahun terbahagi Jerman kepada dua bahagian berada di penghujung dan begitu juga dengan kejatuhan Kesatuan Soviet.

Dan semua ini berlaku kerana seorang lelaki bernama Günter Schabowski membuat kesilapan.

Günter merupakan jurucakap Parti Komunis itu dan pada 9 November 1989, dia diberikan sekeping kertas yang bakal mengumumkan perubahan besar.

Sebagai langkah sementara, orang Jerman Timur akan mendapat hak untuk melawat Jerman Barat, selagi jika mereka memohon kebenaran dan diluluskan. 

g nter schabowski ketika sedang berucap

(Günter Schabowski ketika sedang berucap)

Mereka akan mengumumkan permulaan program pada tarikh akan datang. Walaubagaimanapun, kertas itu tidak menjelaskan semuanya dengan jelas.

Günter hanya membacakan apa yang tertulis pada kertas itu dan mereka yang hadir, ia kedengaran seperti sesiapa sahaja yang mempunyai passport boleh menyeberang Tembok Berlin bila-bila sahaja mereka mahu.

Apabila seorang wartawan bertanya bila peraturan baru itu akan berkuatkuasa, Günter mengimbas kertas itu dan tidak mendapat jawapan lalu memberitahu tekaan terbaiknya: "Dengan segera."

Dengan itu, ribuan orang membanjiri tempat pemeriksaan untuk cuba menyeberang.

Penjaga sempadan yang tidak pasti apa yang perlu dilakukan dan tidak mahu menggunakan kekerasan, akhirnya hanya membiarkan mereka pergi.

Tembok Berlin telah hilang secara berkesan dan zaman pembahagian antara Jerman Timur dan Barat telah berakhir.

6. Sifat belas kasihan tentera British sebabkan pembunuhan beramai-ramai 

henry tandey selamatkan adolf hitler

Pada tahun 1918, Henry Tandey bertempur untuk Tentera British di Perancis. Di sana, dia membuat keputusan untuk menyelamatkan nyawa seorang lelaki dan kerana perkara itu, lebih daripada 60 juta orang mati.

Dia bertempur dalam usaha penangkapan Marcoing dan pihak Jerman mula berundur. Tentera Jerman telah berpaling dan melarikan diri, namun salah seorang daripadanya berada di medan pertempuran tidak menyangka dikesan pihak musuh.

Henry mensasarkan pistolnya ke arah tentera Jerman yang melarikan diri ini, tetapi lelaki ini dalam keadaan cedera dan berlari untuk menyelamatkan nyawanya.

Disebabkan itu, Henry tidak sanggup untuk menarik picunya lalu menurunkan pistolnya dan tentera Jerman tersebut mengangguk terima kasih dan berlalu pergi.

Semangat Henry dan penampilan yang baik kemudiannya berakhir pada sebuah poster propaganda, dan 20 tahun kemudian, poster itu muncul di tempat yang tidak dijangka oleh sesiapa pun, iaitu tanah air Adolf Hitler.

Ketika Neville Chamberlain (Bekas Perdana Menteri Britain) melawat Hitler dan melihat poster di dindingnya, dia bertanya bagaimana Hitler memiliki poster propaganda British itu.

henry tandey selamatkan adolf hitler 2

Hitler kemudiannya menunjukkan gambar Henry dan berkata, "Itulah lelaki yang hampir-hampir menembak saya." 

Cerita ini sangat luar biasa sehinggakan sesetengah orang meraguinya, tetapi bertahun-tahun kemudian, Muzium Green Howards mendapati bukti.

Mereka menemui surat daripada pembantu Hitler, yang ditulis pada tahun 1937 di mana Hitler mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana menghantar poster itu.

Dia menjelaskan bahawa Hitler secara semula jadi berminat dengan perkara yang berkaitan dengan pengalaman perangnya sendiri.

Hitler yang tidak terbunuh dalam perang tersebut terus hidup dan akhirnya melakukan satu pembunuhan besar-besaran dalam Perang Dunia Kedua yang diingati sehingga ke hari ini.


Sudah tentu segala yang berlaku adalah takdir serta Qada dan Qadar dari-Nya.

Rujukan:

1. History

2. Smithsonian Mag

3. NY Times



Hakcipta iluminasi.com (2017)