Gambar Ameng Spring ketika dibebaskan. Kini beliau banyak membantu menyedarkan masyarakat.

Menerima khabar buruk seorang ahli keluarga atau ahli kenalan terpaksa meringkuk di penjara atas kesalahan sendiri, bukanlah sesuatu yang ingin dialami semua manusia.

Perlu meneruskan hidup sendirian secara asing daripada masyarakat dan dikelilingi konkrit yang sempit, mampu membuatkan kita yang di luar sudah rasa senaknya - apatah lagi mereka yang perlu menghadapinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sekurang-kurangnya kita masih dapat menjenguk mereka di dalam sana melalui lawatan. Tahukah anda bagaimana sistem lawatan di penjara berfungsi dan adakah semua banduan berhak menerima lawatan? 

Bila kita boleh melawat banduan yang baru masuk penjara? 

banduan baru masuk

Satu perkara yang perlu kita fahami - semua banduan akan diberikan peluang satu lawatan khusus, yang digelarkan lawatan permulaan atau penerimaan dalam tempoh 4 minggu pertama individu itu menjalani hukuman di penjara.

Tujuan lawatan ini adalah untuk membolehkan semua pihak yang terlibat baik di pihak banduan ataupun di pihak keluarga di luar, agar dapat berbincang, memahami dan menerima hakikat apa yang sudah ditetapkan, sudah menjadi satu ketentuan.

Selepas tamat peluang lawatan permulaan ini atau syarat 4 minggu yang ditetapkan, semua urusan lawatan haruslah mengikut proses dan jadual yang telah ditetapkan oleh pihak penjara. 

Ini bermakna pelawat harus melakukan permohonan dengan mengaturkan temujanji dengan pihak penjara, dalam tempoh sebaik-baiknya 3 hari sebelum waktu ingin hadir melawat.

Siapa yang boleh melawat? 

melawat banduan di penjara

Disebabkan wujudnya keperluan untuk pelawat berdaftar dengan penjara dan membawa bersama kad lawatan, ini bermakna hanya pihak-pihak yang telah didaftarkan saja akan dibenarkan hadir menemui banduan. 

Bagaimanapun bukan semua pihak boleh didaftarkan ke dalam kad pelawat. Hanya ibu bapa, isteri, suami, anak-anak, keluarga terdekat, adik-beradik angkat dan rakan yang telah didaftarkan diterima masuk.

Dalam kes poligami pula melibatkan banduan lelaki yang berkahwin lebih daripada seorang, penjara akan mengeluarkan 1 kad lawatan tambahan kepada isterinya. Namun tidak ada peruntukan istimewa diberikan dari segi jadual lawatan. Isteri-isteri ini perlu mengikut jadual giliran yang sama ketika melawat secara berselang-seli.

Untuk hadir melawat, seseorang haruslah hadir 15 minit lebih awal ke penjara dengan pakaian kemas, membawa bersama kad pengenalan, lesen memandu atau pasport bersam kad lawatan.

Tempoh satu sesi lawatan adalah 45 minit untuk seorang banduan, dengan had maksima 5 orang pelawat boleh menemui banduan serentak. Lama juga kan? Penulis tengok dalam filem, perjumpaannya selalu sekejap saja sebelum warden mula menarik banduan kembali masuk ke kamar mereka.

Berapa kerap kita boleh melawat? 

aktiviti banduan dalam penjara

Dalam menentukan kekerapan lawatan pihak keluarga, pihak penjara mengkategorikannya kepada kategori banduan itu sendiri bagi menentukan lawatan secara peringkat.

Peringkat satu merangkumi banduan yang hukumannya singkat, kurang daripada 6 bulan dan digelarkan kolar putih hanya dibenarkan menerima pelawat setiap 4 minggu sekali. Peringkat dua atau kolar merah di mana hukumannya adalah 6 bulan dan ke atas tetapi belum dikategorikan lama, juga mengikut tempoh waktu serupa.

Bagi kategori banduan lebih panjang hukumannya dan telah lama menjalani hukuman, kekerapan lawatan bagi mereka adalah lebih ringan.

Banduan peringkat 3 berkolar hijau dibenarkan untuk menerima pelawat 3 minggu sekali, sementara peringkat 4 berkolar biru 2 minggu sekali. Bagi banduan peringkat khas atau yang sudah memakai sut biru, mereka dibenarkan menerima lawatan setiap minggu.

Banduan akhir atau banduan yang sedang menunggu tarikh hukuman gantung mereka juga dibenarkan dilawati setiap minggu. Sedihnya, satu lagi lawatan khas atau lawatan terakhir juga akan diaturkan oleh pihak penjara satu hari sebelum hukuman dilaksanakan. 

Tujuan lawatan ini selain daripada mengucapkan selamat tinggal yang terakhir, adalah untuk membolehkan banduan akhir mengesahkan dan menandatangani dokumen atau wasiat, bagi memudahkan urusan pihak waris.

Lawatan banduan ke luar 

banduan lakukan ziarah ke luar

Bagi sesetengah situasi di mana ahli keluarga terdekat banduan sakit tenat atau meninggal dunia, banduan boleh melakukan ziarah ke luar penjara untuk membolehkan beliau berada bersama keluarga. 

Bagaimanapun lawatan ini hanya dibenarkan dalam kes melibatkan keluarga terdekat sahaja atau pihak waris. Rakan-rakan meninggal dunia tidak boleh dijadikan alasan.

Jenis lawatan sebegini haruslah dimulakan proses permohonannya oleh pihak waris, memaklumkan kepada pihak Pengarah Penjara tentang hasrat mereka mahu membawa banduan keluar untuk tujuan ini.

Sekiranya permintaan itu dilihat munasabah, Pengarah Penjara akan mengaturkan pegawai untuk menemani banduan keluar bagi membolehkan beliau memenuhi hasrat yang terbuku di hati. 

Walau bagaimanapun permohonan sebegini ada hadnya. Mana-mana banduan yang telah dibenarkan keluar melawat ketika ahli keluarga sakit tenat, tidak lagi akan dibenarkan keluar seandainya ahli keluarga itu telah meninggal dunia.

Menulis artikel ini saja sudah membuatkan penulis rasa tertekan, membayangkan terkongkongnya hidup mereka di dalam sana. Jika anda ada saudara yang kini sedang meringkuk dalam penjara, selain usaha mendoakan mereka, salah satu perkara yang boleh membantu mereka jadi lebih baik adalah dengan pergi menjenguk mereka.

Lapangkanlah jadual anda dan aturkan temujanji, kerana tidak ada apa-apa yang lebih berharga bagi mereka yang terkurung - melainkan tahu di luar sini masih ada yang menantikan kepulangan mereka.

Rujukan

Panduan Lawatan Penghuni




Hakcipta iluminasi.com (2017)