Kemudahan teknologi di hujung jari membuatkan komunikasi terlalu mudah berlaku, dalam bermacam jenis medium berbeza. 

Penghantaran teks SMS yang dulu jadi standard, kini diambil alih oleh format media yang lebih interaktif seperti imej, video dan audio - membolehkan komunikasi berlaku dengan lebih berkesan namun dalam masa sama, memudahkannya disalahguna.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persoalan yang ingin kami ajukan kepada anda hari ini - tahukah anda apakah tafsiran undang-undang komunikasi berkait seksual negara kita? Kita semua tahu adalah menjadi satu kesalahan kita berkongsi bahan lucah dengan orang lain tanpa persetujuan mereka.

Bagaimana pula seandainya kedua-dua pihak bersetuju, adakah itu juga diambil kira sebagai kesalahan? Jom kita pelajari secara ringkas perspektif undang-undang berkaitan isu ini.

Apakah undang-undang yang menyelia perihal isu ini? 

aplikasi media sosial internet mudahkan sebaran bahan terlarang

Dalam sistem undang-undang kita, semua isu berkaitan bahan kurang senonoh dikawal selia 4 undang-undang sedia ada; Kanun Keseksaan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atau Akta 301, Akta Penapisan Filem 2002 atau Akta 602 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Wujud pelbagai seksyen di dalam setiap akta diwartakan ini menetapkan larangan atau had rakaman atau penerbitan, namun terdapat kelemahan atau kelompongan besar yang masih belum dapat kita perbaiki dalam mengawal isu ini bertukar menjadi gejala buruk, kerana perubahan teknologi yang terlalu pantas gagal dikejar pembuat dasar.

Secara jelas, tidak ada undang-undang di Malaysia yang benar-benar meletakkan adalah menjadi satu kesalahan untuk seseorang memiliki atau menyimpan gambar kurang elok yang memaparkan diri sendiri.

Hanya dalam Akta Penapisan Filem 2002 seksyen 5 menyatakan adalah menjadi satu kesalahan seseorang mempunyai milikan bahan tersebut tetapi 'bahan' itu ditakrifkan pula sebagai 'filem.' Adakah video rakaman peribadi boleh dikategorikan sebagai 'filem'?

Itu baru satu perkara yang belum dapat kita perhalusi dengan lebih jernih. Masih banyak kelemahan yang ada, jadi mari kita teruskan perbincangan kita.

Bolehkah jurufoto profesional atau amatur menangkap gambar lucah orang lain?

undang undang fotografi jurugambar

Apabila undang-undang berkaitan isu ini gagal mendefinisikan sesuatu perkara secara hakiki, wujud bermacam jenis kekaburan yang boleh diambil peluang pihak tidak bertanggungjawab.

Salah satu kekaburan terbesar berkait aktiviti sesetengah jurugambar profesional atau amatur yang gemar melakukan sesi fotografi melibatkan model-model tanpa pakaian dalam negara kita. Ya, aktiviti sebegini memang ada.

Dari aspek undang-undang kita, tidak ada akta yang menghalang perbuatan sebegitu dilakukan. Undang-undang kita tidak menghalang rakaman dilakukan sekiranya sesi fotografi itu berlaku dengan kebenaran model terlibat.

Yang penting, seorang jurufoto perlu memperjelaskan kepada model terbabit apakah tujuan sesi sebegitu diadakan. Dah dapat persetujuan, bergayalah model wanita dihadapan belasan dan kadangkala puluhan jurufoto yang hadir - biasanya mesti lelaki.

Perbincangan melibatkan hak ke atas bahan-bahan yang dirakamkan dalam sesi itu lebih memeningkan kepala. Ini disebabkan tiada undang-undang dapat memperinci siapakah pemegang hak ke atas gambar aksi model tanpa seurat pun benang di badan.

Adakah hak ke atas gambar yang dirakamkan menjadi milik jurufoto sepenuhnya?

Atau model terlibat masih mempunyai suara untuk menghalang penggunaannya dalam sebarang bentuk terbitan walaupun selepas sesi penggambarannya selesai dan kontrak telahpun dipenuhi kedua-dua pihak? Sekiranya di masa hadapan model itu sudah insaf terhadap ketelanjurannya, adakah dia ada hak meminta jurufoto memadamkan data gambar yang telah dirakamkan?

Lebih memilukan bagi pihak model, jurufoto baik berstatus amatur atau profesional di negara kita gemar memuatnaik gambar-gambar yang memaparkan wanita sebegini dalam laman web portfolio mereka dan juga forum komuniti jurufoto, untuk tatapan ahli komuniti.

Adakah tindakan ini boleh ditafsir sebagai satu jenayah? Kita tak pasti.

Adakah model yang terpapar mempunyai hak untuk menghalang gambar mereka daripada digunakan, untuk tujuan promosi peribadi jurufoto?

Itu pun sukar untuk kita jawab dengan terang.

Bolehkah kita hantar gambar kurang senonoh kepada orang lain? 

hantar gambar peribadi suka sama suka

Satu perkara sudah kami jelaskan dari aspek undang-undang kita - tidak wujud kesalahan yang boleh disabitkan sekiranya anda mengambil gambar diri sendiri dalam keadaan memalukan. 

Namun apabila penyebarannya dilakukan baik oleh anda sendiri ataupun orang lain dengan tujuan suka sama suka atau sebaliknya, perbuatan itu jatuh ke dalam seksyen 211 dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 233 secara eksplisit mensabitkan mana-mana individu yang melakukan transmisi bahan berisi kandungan bersifat kurang sopan, atas apa saja tujuan sama ada perkongsian bersama atau berniat jahat seperti ugutan - melalui mana-mana servis aplikasi sebagai satu kesalahan. 

gambar nakal

Seseorang yang disabitkan kesalahan ini boleh didenda sehingga RM50,000, penjara tak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Ini bermakna dari aspek undang-undang kita setakat ini, kita boleh menangkap gambar kita sendiri jika kita mahu, tetapi undang-undang kita tidak membenarkan sebarannya dilakukan walaupun kepada pasangan kita sendiri.

Bolehkah saya menerima gambar lucah daripada orang lain?

menerima gambar peribadi pihak lain

Aha! Ini satu topik yang menarik untuk diperkatakan kerana perkara ini semakin kerap berlaku, sama ada sengaja atau tidak. 

Adakah ada beban kesalahan jatuh kepada kita, sekiranya kita menerima gambar kurang enak daripada individu-individu tidak dikenali?

Contohnya seperti kes lelaki gatal yang gemar menghantar gambar alat sulit mereka kepada wanita (atau lelaki) lain. Salahkah kita menerima gambar itu? Tidak, kita sebagai penerima tidak salah dalam hal ini.

Namun...sekiranya kemudiannya kita menyebarkan pula gambar itu kononnya untuk dijadikan pengajaran kepada pelaku atau dengan sengaja berkongsi kepada rakan-rakan kita atas permintaan mereka - kita turut boleh didakwa.Jadi jangan sewenang-wenangnya kongsi gambar lelaki gatal yang anda terima di internet, atas niat nak mendidik pelaku sekalipun.

Salahkah meninggalkan komen bersifat lucah di akaun orang lain? 

komen lucah di akaun pihak lain

Bagi ramai wanita, satu masalah besar yang biasa dihadapi setiap kali memuat naik gambar sendiri, adalah komen-komen jahat yang hadir. 

Ramai berani meninggalkan komen-komen nakal kerana mereka tidak mengetahui komen-komen sebegitu boleh dijadikan bukti untuk mereka didenda atau dipenjarakan.

Seperti sudah kami nyatakan di atas, seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menyebut sebarang bentuk transmisi yang dibuat atas tujuan mahu mengganggu seseorang, boleh didakwa sebagai satu kesalahan.

Komen-komen seperti 'sedapnya. Kalaulah aku dapat satu malam' atau 'kau ni kalau kahwin dengan aku, sah tak keluar bilik seminggu' adalah contoh ayat yang sering dihadapi wanita.

Seandainya anda berhadapan masalah sebegini, solusinya ada dua.

Yang pertama, buat laporan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, sertakan sekali tangkap layar komen dan nama akaun mereka yang terlibat. Bila rumah dia kena serbu dan barang-barang peranti dan gajet dia dirampas, baru dia tahu perasaannya kena ganggu balik.

Solusi kedua pula lebih sukar untuk dilakukan - berhentilah memuat naik gambar-gambar anda. Bila anda dah berhenti, mereka yang bermasalah mental ini tidak ada lagi modal untuk mengganggu anda.

Mereka akan bergerak mencari mangsa lain meninggalkan akaun anda. Anda tak perlu rasa rugi pun anda hilang follower seperti mereka ini. 

Rujukan

Offensive Content on The Internet: The Malaysian Legal Approach (fail PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)