Oleh pada 14 Feb 2024 kategori

Menunggang motorsikal memang mampu menjimatkan banyak masa kita bergerak, khususnya ketika perlu ke pejabat semasa waktu puncak.

Berbanding dengan kereta yang perlu terperangkap dengan kesesakan jalan raya, motorsikal menjadi mod pengangkutan yang jauh lebih efisien daripada segi pengurusan masa. Bagaimanapun tahap efisien yang dicapai sebenarnya hadir dengan banyak pengorbanan dan kesan negatif yang jarang kita bincangkan secara terbuka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Wujud beberapa amalan penunggang motorsikal di Malaysia yang realitinya sangat berbahaya, tetapi sehingga ke hari ini tidak ada mana-mana pihak tampak berminat mahu mengubahnya.

1. Penunggang motosikal tidak mahu mengikut aliran trafik

penunggang motosikal 600x400

Salah satu tabiat penunggang yang jelas berlaku di mana-mana, adalah kegagalan penunggang motorsikal untuk mengikut aliran trafik.

Pernah tak anda sebagai pemandu kereta nak keluar simpang, tiba-tiba ada motorsikal datang dari belakang terus sama-sama muncul keluar simpang serentak dengan anda menyebabkan anda terpaksa memberhentikan kenderaan, kerana bimbang akan terlanggar dia?

Penunggang motorsikal di Malaysia rata-ratanya tidak mengikut aliran trafik, muncul di mana-mana sahaja mereka suka, memotong keluar simpang di hadapan kereta lain di kawasan persimpangan dan merasakan mereka ada hak untuk berada di depan sekali SETIAP MASA atas jalan raya.

2. Penunggang ada andaian semua kenderaan perlu memberi mereka laluan

motorsikal dapat keistimewaan

Di lebuhraya biasanya, semasa majoriti kenderaan bergerak mengikut had laju yang ditetapkan - pasti akan muncul abang-abang motor besar yang memandu melebihi had laju dan dalam masa yang sama menyelit antara kenderaan yang ada.

Apa yang menjadi masalah, pemanduan secara laju itu berlaku tak kiralah di lorong mana sekalipun, kiri, kanan, tengah. Pemandu kereta sendiri tak tahu di lorong mana motorsikal sebegini sedang berada.

Sudahlah laju, apabila ada kereta memberi isyarat untuk menukar lorong penunggang sebegini biasanya jarang memberi jalan. Sebaliknya beranggapan 'aku sedang laju, kau yang kena bagi aku jalan dulu.'

3. Menunggang laju ketika trafik sesak

mat motor menyelit

Kami tidak tahu kenapa sehingga ke hari ini tidak ada penambahbaikan ketat dijalankan kepada kategori penunggang yang menyelit secara laju dalam situasi trafik sesak.

Di negara-negara maju, ada undang-undang yang mengehadkan kelajuan penunggang motorsikal dalam situasi sebegini biasanya di bawah 30km/j bagi memudahkan pemandu lain mengenalpasti kedudukan dan kelajuan penunggang yang menyelit.

Di negara kita? Lagi laju lagi bagus. Yang berani menyelit pada kelajuan 80km/j pun ada, seolah tak takut bahaya kepada diri sendiri. Sikap menyelit sebegini sebenarnya sangat meresahkan pemandu-pemandu kenderaan 4 tayar atau lebih, kerana bimbang sekiranya kita gagal mengesan penunggang motorsikal sekiranya lorong perlu ditukar.

4. Berhenti bukan di kawasan sepatutnya

perangai penunggang motorsikal

Dalam situasi waktu hujan, pasti akan kelihatan penunggang motorsikal tumpang berteduh di bawah jambatan. Yang mana ada kesedaran, biasanya akan masuklah ke dalam ruang berteduh yang disediakan kalau ada.

Tetapi masih ramai yang memilih jalan mudah berhenti saja di tepi jalan atas lorong kecemasan, membentuk gerombolan penunggang yang kadangkala melimpah ke lorong paling kiri sekali. Tidakkah anda sedar situasi itu sangat berbahaya kepada anda?

Itu baru cerita kaedah berhenti semasa hujan. Yang berkonvoi ramai-ramai pula, gelagatnya lain pula. Mungkin kerana ramai, kumpulan sebegini merasakan mereka perlu berhenti di mana saja yang boleh atau sesuai, untuk menghilangkan penat, bergambar atau mungkin juga sesi mengopi dengan ahli kelab baru.

Satu lagi perangai penunggang motorsikal yang menyusahkan orang ramai, adalah enggan meletakkan motorsikal mereka di parkir motorsikal - sebaliknya diparkirkan di petak kereta, lori atau mungkin juga betul-betul depan laluan pejalan kaki dan OKU.

5. Menunggang motosikal melebihi had kapasiti dan tiada keselamatan

penunggang motorsikal lebih had

Sebelum kami ulas, kami akui kami faham kemampuan orang ramai berbeza. Ada keluarga mampu beli kereta. Ada yang hanya mampu setakat motorsikal, menyebabkan ada keluarga terpaksa ke hulu ke hilir menaiki sebuah motorsikal.

Apa yang menyedihkan, kita dapat lihat situasi sama berulang. Ayah memandu, dengan si ibu keras memeluk anak yang masih kecil di belakang dan biasanya mesti ada seorang lagi anak di belakang sekali, memeluk erat mak dia.

Dari segi keselamatan kapasiti, memang dah gagal...tetapi penulis secara peribadi, boleh pejamkan mata lagi. Yang buat penulis marah, ayah dan mak ada topi keledar. Anak-anaknya? Selalunya tak pakai apa pun bentuk perlindungan.

6. Selalu salahkan orang lain, sedangkan salah sendiri

sikap penunggang motorsikal malaysia

Di antara banyak punca penunggang motorsikal sering dibicarakan dalam nada negatif, punca utamanya adalah disebabkan sikap penunggang motorsikal itu sendiri yang sering melihat mereka mangsa keadaan - sehingga menyebabkan mereka mudah menuding jari menyalahkan orang lain, seandainya kecelakaan berlaku.

Walhal realitinya majoriti penunggang motorsikal di Malaysia ini sudah membiasakan diri memandu dengan kaedah yang tidak selamat, sehingga menganggap sebarang perubahan atau pengenalan kepada kaedah yang selamat dan berisiko rendah tidak patut dibuat.

Anda menyelit pada kelajuan tinggi ketika trafik sesak dan ada kereta menukar lorong menyebabkan anda terpaksa berhenti mengejut. Siapa salah sebenarnya dalam situasi itu? Cuba anda fikirkan, kalau anda penunggang motorsikal?

Banyak kereta beratur nak keluar simpang, tiba-tiba anda laju ke depan tak sabar-sabar nak keluar dulu. Siapa sepatutnya yang ada hak untuk keluar dulu, anda atau kereta tersebut yang beratur?

Penguatkuasaan undang-undang kita lemah. Budaya menunggang kita juga lemah. Tabiat penunggang setelah sekian lama menunggang, sebenarnya mengundang padah. Namun malangnya tidak nampak ada apa-apa usaha untuk kita membudayakan pemanduan lebih berhemah atas jalan raya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)