Oleh pada 24 Oct 2021 kategori

Kes kehilangan yang belum selesai merujuk kepada seseorang individu hilang yang tidak diketahui statusnya sama ada hidup atau mati. Kes seperti ini tidak dapat disahkan kerana lokasi dan keadaan mereka yang tidak diketahui.

Kes kehilangan mungkin berpunca daripada tindakan jenayah, kemalangan, kematian di tempat yang tidak boleh ditemui (seperti di laut) atau menghilangkan secara sukarela. Setiap hari, terdapat banyak kes kehilangan individu yang dilaporkan di seluruh dunia.

Namun, terdapat beberapa kes kehilangan popular yang masih kekal sebagai misteri sehingga hari ini. Berikut adalah beberapa kes kehilangan yang masih menjadi tanda tanya.

1. Ettore Majorana

ettore majorana

Ettore Majorana dianggap sebagai genius matematik dan merupakan seorang ahli fizik teori Itali yang lahir pada 1906. Terma "Persamaan Majorana" dan "Fermion Majorana" dalam fizik dinamakan sempena namanya.

Majorana bekerja dengan ramai cendiakawan di Eropah dan menerbitkan banyak kertas akademiknya dari masa ke masa. Pada tahun 1933, dia dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan cenderung untuk menyendiri.

Pada 25 Mac 1938, Majorana hilang tanpa jejak selepas membeli tiket kapal dari Palermo ke Naples. Pelbagai teori yang dibuat mengenai kehilangannya tetapi masih belum terjawab sehingga hari ini.

2. Jim Sullivan

jim sullivan

Jim Sullivan merupakan seorang penyanyi folk di Amerika dan pernah menghasilkan album berjudul "UFO" pada tahun 1969. Album UFO menampilkan tema mengenai alam ghaib dan makhluk angkasa lepas.

Pada tahun 4 Mac 1975, penyanyi itu bersendirian memandu ke Nashville untuk menghasilkan lagu tetapi Jim tidak menghubungi keluarganya selama beberapa hari. Keretanya kemudian ditemui di sebuah pekan kecil bernama Santa Rosa, New Mexico.

Jim Sullivan menyewa sebuah bilik motel di Santa Rosa tetapi polis mendakwa penyanyi itu tidak tidur langsung di dalam bilik itu. Selain pihak berkuasa, ahli keluarganya juga berusaha menjejaki Jim tetapi gagal ditemui sehingga hari ini.

3. Pasukan Bola Tangan Kebangsaan Sri Lanka

machan

Filem "Machan" (2008)

Pada tahun 2004, kerajaan Sri Lanka cuba untuk menyelesaikan misteri kehilangan "Pasukan Bola Tangan Kebangsaan Sri Lanka" yang sedang melakukan jelajah di Jerman. Namun, ia bukanlah satu tugas yang mudah kerana Sri Lanka sebenarnya tidak pernah membentuk pasukan kebangsaan dalam sukan itu.

Sekumpulan 23 orang lelaki telah menipu Kedutaan Jerman di Colombo, Sri Lanka, untuk mengeluarkan visa selama sebulan bagi jelajah sukan itu. Mereka menunjukkan semua dokumen yang kelihatan sahih dan tidak meragukan.

Kerajaan Jerman juga gagal mengesan mereka. Mereka dipercayai telah melarikan diri ke Perancis atau Itali. Sehingga hari ini, tiada khabar berita mengenai mereka. Satu filem komedi Itali berjudul "Machan" diterbitkan berdasarkan kisah "pasukan" ini.

4. Dalai Lama ke-6.

dalai lama ke 6

Pada tahun 1697, Sanje Tenzin berusia 14 tahun bernama Sanje Tenzin telah dilantik menjadi Dalai Lama ke-6 dan ditukarkan nama kepada Tsangyang Gyatso. Dia dipilih kerana mempunyai tanda-tanda kelahiran semula Dalai Lama.

Walau bagaimanapun, Dalai Lama ke-6 ini agak berbeza kerana gemar minum minuman keras dan berfoya-foya dengan wanita sehingga digelar sebagai "Dalai Lama Playboy".

Pada tahun 1706, Dalai Lama ke-6 ini telah dilaporkan hilang, kemungkinan diculik ketika dalam perjalanan ke Beijing. Kehilangannya dipercayai ada kaitan dengan kemelut politik yang berlaku antara Tibet, China dan Mongolia. Mayatnya tidak pernah ditemui sehingga kini.

5. Panchen Lama ke-11

gedhun choekyi nyima

Panchen Lama dianggap sebagai pemimpin agama kedua terpenting dalam Buddha Tibet selepas Dalai Lama. Salah satu tugas Panchen Lama adalah untuk memilih Dalai Lama seterusnya melalui tanda-tanda kelahiran semula.

Setelah kematian Panchen Lama ke-10, Dalai Lama ke-14 telah melantik Gedhun Choekyi Nyima yang berusia enam tahun sebagai Panchen Lama ke-11 pada 1995. Dalai Lama ke-14 telah menetap di India sebagai pelarian sejak tahun 1959 lagi setelah China menguasai Tibet.

Tiga hari kemudian, Gedhun dan keluarganya dipercayai diculik atas arahan kerajaan China. Beberapa bulan kemudian, kerajaan China memilih Gyaincain Norbu sebagai pengganti Gedhun Choekyi yang masih lagi belum ditemui sehingga hari ini. 

6. Terrance Williams & Felipe Santos

terrance williams felipe santos

Kedua-dua lelaki ini hilang pada tahun 2003 dan 2004 di bawah kejadian serupa di Naples, Florida. Kedua-dua lelaki ini kali terakhir dilihat ditahan oleh seorang anggota polis bernama Steve Calkins atas kesalahan memandu tanpa lesen.

Calkins bagaimanapun menafikannya dengan mengatakan dia mengubah fikiran dalam kedua-dua kejadian dan melepaskan mereka sebelum dibawa ke balai.

Pada tahun 2018, pelakon, pengarah dan penerbit Tyler Perry menawarkan ganjaran sebanyak USD 200,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat ke atas kes ini. Steve Calkins yang kini berusia 66 tahun sedang dibicarakan di mahkamah tetapi masih belum disabitkan bersalah. 



Hakcipta iluminasi.com (2017)