Baru-baru ini Malaysia dikejutkan dengan kes pencemaran di Pasir Gudang yang telah memberi kesan buruk kepada penduduk sekitar.

Menurut sumber, terdapat kira-kira 8 sebatian kimia berbahaya yang dibuang secara terus ke Sungai Kim Kim.

Antara bahan-bahan kimia tersebut termasuklah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzena, toulene, xylene and limonene.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kesemua bahan ini tersangat berbahaya kepada manusia jika mengalami sebarang sentuhan secara terus. iluminasi.com kongsikan 6 bahan pencemar alam sekitar paling berbahaya di dunia.

1. Karbon hitam

pencemaran karbon hitam

Karbon hitam adalah salah satu daripada banyak bahan cemar yang boleh ditemui dalam jelaga, dibentuk oleh bahan api fosil yang tidak terbakar sepenuhnya.

Bukan sahaja ia mempunyai negatif kepada kesihatan, malah karbon hitam menyumbang kepada pemanasan global.

Karbon hitam adalah sejenis bahan zarah dan amat berbahaya.

Saiz kecil zarah ini bermakna ia dapat mencari jalan masuk ke dalam paru-paru dan aliran darah dengan mudah, menyebabkan penyakit jantung dan masalah pernafasan.

Karbon hitam juga mempunyai kesan buruk terhadap Artik, di mana ia mencemarkan ais dan mempercepatkan pencairan ais polar.

2. Karbon monoksida

karbon monoksida

Anda mungkin pernah mendengar tentang karbon monoksida kerana ia merupakan salah satu punca keracunan yang tidak disengajakan yang biasa berlaku, yang bertanggungjawab terhadap 393 kematian pada tahun 2015 sahaja.

Bahaya utama karbon monoksida terletak pada zatnya yang tidak berwarna, tidak berbau, tidak mempunyai rasa dan tidak menjengkelkan.

Ini bermakna bahawa mereka yang terdedah kepadanya sering tidak tahu dan tidak didiagnosis, sehinggalah kes menjadi teruk.

Banyak kes keracunan karbon monoksida berlaku kerana sama ada kawasan tersebut mempunyai pengudaraan yang kurang baik atau tidak berventilasi sama sekali.

Sumber karbon monoksida termasuklah dapur masak dan enjin pembakaran dalaman (seperti dalam kereta).

3. Pencemar organik yang berterusan (POP) 

pencemar organik yang berterusan

Pencemar organik yang berterusan (POP) adalah kumpulan pelbagai toksin yang terhasil daripada industri dan pertanian.

Bahaya yang boleh dicetuskan oleh bahan ini bukanlah sekadar tahap toksik bahan ini, tetapi juga betapa mudahnya ia dapat memberi impak kepada kehidupan manusia atau haiwan.

Penyebaran POP sangat melampau sehingga ia sering mencemari makanan yang kita makan.

Sebagai contoh, pada tahun 2008, didapati bahawa makanan haiwan di Ireland telah tercemar dengan POP yang dipanggil dioxin, mempunyai kesan besar terhadap industri daging babi Ireland.

Kes ini menyebabkan 1,800 orang kehilangan pekerjaan dalam masa 2 hari selepas pengumuman itu. Impak kesihatan oleh POP termasuklah kesan kepada tiroid, obesiti, diabetes dan gangguan kepada sistem endokrin.

4. Merkuri

pencemaran merkuri

Salah satu bahan pencemar yang paling terkenal di dunia ialah merkuri atau raksa.

Tahap pencemaran merkuri di lautan sangat buruk sehingga disyorkan bahawa ibu bapa harus menyekat pengambilan ikan tuna untuk anak-anak.

Implikasi kesihatan keracunan merkuri boleh merangkumi kerosakan sistem saraf, kegagalan buah pinggang, kanser dan peningkatan penyakit jantung.

Raksa yang terdapat di lautan adalah hasil daripada pelbagai sumber termasuk perlombongan dan pembakaran arang batu, pelepasan semula jadi merkuri dari kerak bumi, pengeluaran simen dan penapisan minyak.

5. Ozon

ozon

Ozon adalah sebatian yang terhasil daripada 3 atom oksigen. Terdedah kepada ozon selama 2 jam boleh menyebabkan gejala yang membawa kepada serangan jantung dan juga kematian.

"Ozon jahat" (jangan keliru dengan "ozon baik" yang membentuk lapisan pelindung di atmosfera atas), terhasil apabila pencemaran bertindak balas dengan cahaya matahari.

Di Amerika Syarikat, seramai 128.9 juta orang kini tinggal di kawasan yang mendapat gred 'F' untuk pencemaran ozon.

Sebahagian besar daripada asap terhasil daripada ozon dan pencemaran ozon di China sangat teruk sehingga memberikan kesan kepada negara-negara lain. 

6. Benzena

pencemaran sungai kim kim termasuk benzena

Benzena adalah bahan kimia yang terhasil secara semulajadi dan dari aktiviti manusia yang mana digunakan secara meluas dalam pembuatan produk seperti pelincir, bahan pencuci dan ubat-ubatan.

Ia sangat berbahaya kepada kesihatan manusia di mana dalam jangka pendek, ia menyebabkan masalah pernafasan, muntah, sawan dan kadar denyutan pantas.

Dalam jangka panjang, pendedahan terhadap benzena menyebabkan kerosakan kepada sistem saraf pusat, serta menyebabkan banyak masalah kesihatan yang berkaitan dengan darah.

Pendedahan terhadap benzena boleh berlaku dari kerosakan kepada loji kimia. Sebagai contoh, pada tahun 2017, loji penapisan minyak di Amerika Syarikat mengalami kerosakan disebabkan Taufan Harvey.

Kemalangan ini menyebabkan sejumlah besar bahan kimia termasuk benzena bocor, melepaskan sejumlah besar toksin yang membahayakan penduduk setempat. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)