Oleh pada 05 Apr 2018 kategori

Apa khabar semua, kali ini iluminasi.com ingin berkongsi kepada anda aneka macam resepi untuk mee. Mungkin ada diantara kita yang tersimpan sahaja mee bungkus di rumah dan tak tahu nak masak apa hari ini, bolehlah ikuti perkongsian ini. Mee adalah makanan tinggi kalori yang mudah dimakan tidak kira tua atau muda.

1. Mee Celup

Bahan-bahan :

  • mee kuning (basuh bersih dan sejat air)
  • bihun (dicelur dengan air panas sampai lembut sejat air)
  • kuew tiaw / kuey teow (basuh dan sejatkan)
  • mee maggi atau mee sanggul
  • air

Nota : Pilihan mee bergantung kepada citaras masing-masing.

Bahan-bahan untuk kuah mee celup :

  • 3 liter air
  • ayam (ambil bahagian tulang, kaki dan tengkuk untuk rebusan)
  • isi ayam bahagian dada (rebus sehingga masak kemudian carik-carik)
  • halia 2 inci
  • lobak merah 1 batang
  • ubi kentang 2 bji
  • bawang putih 2 ulas
  • akar daun sup dan daun bawang (potong lebih kurang 2 inci dari akar bersama batang)
  • satu sudu besar minyak bawang putih dan bawang sekali
  • serai 1 btg
  • 2 sudu rempah sup (serbuk adabi)
  • kicap manis dan kicap pekat (lebih kurang 1 senduk)
  • pati bilis maggi
  • 1 serbuk kiub ayam maggi
  • garam dan gula

Cara penyediaan :

  1. Masukkan semua bahan-bahan ke dalam periuk
  2. rebus ya, jangan ditumis pula
  3. biarkan sehingga menggelegak kemudian angkat isi ayam dahulu sebab dikhuatiri hancur
  4. Kuah biarkn menggelegak lama

Bahan tambahan / aksesori :

  • bawang goreng 
  • air lada (kisar cabai merah besar, bawang putih 1 ulas, cuka, garam dan gula)
  • lada jeruk (cuka, lada besar hijau siam, garam dan gula)
  • lobak masin jeruk (beli siap dalam bungkusan)
  • kacang tanah tumbuk (beli siap dalam bungkusan)
  • lada sulah
  • cili flakes atau serbuk cili
  • bawang putih jeruk (ambil airnya sedikit dicampur dengan air suam, kemudian kisar sehingga pekat)
  • ikan bilis goreng rangup
  • isi ayam yang dicarik-carik sebentar tadi
  • minyak bawang putih (rujuk subtopik di bawah)
  • sayur
  • daun sup dan daun bawang
  • taugeh
  • sawi (dipotong halus)
  • kangkung (dipotong halus)

Cara membuat minyak bawang Putih :

2 labu bawang putih dibasuh bersih-bersih bersama kulit, jangan dikopek kulitnya. Tumbuk separuh lumat, kemudian panaskan minyak lebih kurang sebanyak 2 mangkuk minyak, tumis jangan terlalu garing. Cuma tumis sehingga bau wangi dan bawang dah kekuningan terus matikan api. Nanti bawang akan jadi lebih garing bila disejukkan. Minyak bwg putih ni boleh disimpan lama. Boleh digunakan untuk masakan yang lain.

Cara menghidang mee celup :

Letak mee dalam mangkuk kuantiti ikut kesukaan anda. Masukkan bahan-bahan aksesori. Masukkan sayur kegemaran anda. Tuang kuah ke dalam mangkuk (pastikan kuah panas menggelegak baru best). Siap! selamat menjamu selera diucapkan kepada semua.

2. Mee rebus daging

mee rebus daging

Bahan bahan :

  • daging
  • cili kering segenggam
  • bawang besar 2 ulas dan bawang putih 4 ulas
  • 2 ketul ubi keledek warna oren
  • sos tomato dan sos cili
  • air asam jawa
  • perencah mee bandung adabi

Cara penyediaan :

  1. Rebus daging. Kemudian air rebusan daging simpan dulu. Keluarkan daging dan dihiris nipis
  2. Goreng cili kering, bawang besar dan bawang putih. Kemudian kisarkan bahan-bahan ini
  3. Rebus dalam dua ketul sederhana besar ubi keledek
  4. Tumis bahan kisar dengan minyak tadi.
  5. masukkan dua paket perencah mee bandung adabi 
  6. Masukkan gula untuk bagi warna merah terang menyala
  7. Masukkan hirisan daging, kemudian kacau sebati
  8. Masukkan ubi keledek yang telah diblend
  9. Masukkan air rebusan daging
  10. Masukkan air asam jawa sesedap rasa
  11. Sos cili 5 sudu
  12. Sos tomato 3 sudu
  13. Garam gula dan perasa hilal
  14. akhir sekali masukkan mee 1 paket

Bahan hiasan / aksesori :

  • daun sup daun bawang
  • telur rebus
  • ubi kentang rebus
  • bawang goreng

kredit : Yani Ishak

3. Mee goreng basah

mee goreng basah

Bahan-bahan :

  • 1 bungkus mee kuning
  • 4 biji bawang merah ditumbuk
  • 2 ulas bawang putih ditumbuk
  • ½ inci halia ditumbuk
  • 2 ekor sotong di potong bulat
  • 12 ekor udang
  • 200 gram isi kerang yang telah direbus
  • 2 pokok sawi pak choy
  • taugeh
  • 2 sb cili boh
  • 2 sb minyak masak
  • 1/2 sb sos tiram
  • 4 sb sos tomato
  • 1/2 sb kicap pekat
  • 3 cawan air
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Cara penyediaan :

  1. Panaskan minyak. Tumis semua bahan yang ditumbuk hingga naik bau. Masukkan cili boh dan tumis hingga pecah minyak.
  2. Masuk sos tomato,sos tiram,kicap pekat, air dan kacau sehingga mendidih.
  3. Masukkan udang, sotong dan kerang tunggu sehingga masak. Kemudian perasakan dengan garam dan gula ikut selera masing-masing.
  4. Masukkan mee kuning dan gaul sebati. Masukkan pula sawi. Kalau nampak air mcm dah kering atau tak cukup basah boleh tambah lagi sedikit air.
  5. Kecilkan api dan masukkan taugeh. Kemudian gaul mee supaya sebati. Apabila semua perasa dah meresap dalam mee, tutupkan api. Dan terus pindahkan mee ke dalam pinggan.

4. Mee kari

mee kari

Bahan-bahan untuk kuah :

  • 1/4 ekor ayam (nak lebihpun boleh) - potong kecil
  • 3 labu bawang besar
  • 7 ulas bawang putih
  • 1/2 inci halia
  • 1 bungkus kecil rempah kari ayam
  • 1/2 bungkus kecil rempah kari ikan
  • Setangkai daun kari
  • 1 1/4 cawan santan pekat (terpulang nak kurang atau lebih, ikut selera masing2)
  • 1 1/2 liter air
  • Minyak untuk menumis
  • Sedikit daun sup, daun bawang, daun ketumbar dan bawang goreng
  • Kerang direbus ambil isinya - jika suka
  • Fishball dan fishcake - jika suka
  • 1 batang cellery dipotong kasar - jika suka
  • Sedikit air asam jawa
  • 1 sudu makan kerisik
  • Garam dan gula secukup rasa

Bahan-bahan lain :

  • Mee kuning - dicelur
  • Taugeh - dicelur
  • Daun sup, daun bawang - dihiris halus
  • Bawang goreng
  • Telur rebus - dibelah 2 atau 4 (atau telur puyuh)
  • Tauhu goreng - dipotong2
  • Limau kasturi - belah 2 (jika suka)

Bahan-bahan untuk sambal :

  • 30 tangkai cili kering
  • 1 labu bawang besar
  • 1 ulas bawang putih
  • Gula, garam secukup rasa
  • Sedikit air asam jawa
  • 1 cawan air
  • 1 sudu makan minyak masak (nak lebihpun boleh)

Cara menyediakan kuah :

Panaskan minyak dan tumis bawang besar, bawang putih dan halia yang dikisar kasar. Bila agak garing masukkan daun kari dan rempah yang dibancuh dengan sedikit air. Masak hingga naik minyak. Masukkan ayam dan kacau sebentar. Masukkan air, gula, garam, air asam jawa, sedikit hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng. Biar mendidih, kecilkan api dan renihkan sehingga ayam masak dan kuahnya mesra. Masukkan santan, fishball, fishcake, kerang, cellery dan kerisik. Biar sebentar sehingga mendidih semula. Akhir sekali masukkan tauhu kering dan matikan api.

Cara menyediakan sambal :

Kisar cili kering bersama bawang besar dan bawang putih. Masukkan ke dalam periuk bersama air, air asam jawa dan minyak. Masak sambil dikacau sekali sekala hingga pekat. Hidangkan mee bersama kuah, sambal, tauhu goreng, taugeh, hirisan daun sup, daun bawang, bawang goreng, telur rebus dan limau kasturi. 

5. Mee goreng mamak

mee goreng mamak

Bahan-bahan :

  • 500 gm mee kuning
  • 100 gm daging – hiris nipis
  • 1 mangkuk sawi – potong kecil
  • 2 ulas bawang putih – dicincang
  • 3 sudu cili mesin – nak pedas bubuhlah lebih
  • 1 sudu rempah kari
  • 2 sudu kicap lemak manis
  • 2 sudu sos tiram
  • 3 sudu sos cili
  • 1 sudu secukup rasa @ 1/2 kiub ayam
  • 1 biji telur
  • 1 biji tomato dibelah

Cara penyediaan :

  1. Panaskan minyak. Masukkan bawang dan cili, biarkan garing dan wangi.
  2. Masukkan daging dan kacau rata.
  3. Masukkan secukup rasa atau kiub ayam, kicap lemak manis, sos tiram dan sos cili. Kacau rata.
  4. Masukkan serbuk kari. Biar sebentar.
  5. Masukkan tomato yg dipotong2 dan sawi. Kacau sebentar.
  6. Masukan mee dan sebatikan.
  7. Ketepikan mee dan masukkan telur di tengah-tengah kuali.
  8. Biarkan telur tu masak sikit barulah dikacau dan gaul rata.
  9. Masakkan mee agak kering.
  10. Hidangkan dalam pinggan leper dan hiaskan.

6. Mee soto jawa

mee soto

Mula-mula kita sediakan dahulu bahan-bahan untuk membuat kuah soto. 

Bahan Kisar :

  • 5 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 batang serai (kisar semua sekali)
  • 1 inc lengkuas

Bahan-bahan ini semuanya di kisar halus. Untuk serai tu terpulang kalau nak kisar sekali boleh nak titik aje pun boleh. Kalau kisar ambil bahagian perdu serai yang putih sahaja. Kalau nak kisar sekali serai tu, guna 2 batang sahaja pun cukup. 

Bahan Tumis dan Rempah :

  • 1 sudu kecil jintan manis
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • 2 sudu besar serbuk lada sulah atau lada putih ~ yang ni ita letak 1 sudu besar sahaja
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 5 kuntum cengkih
  • 4 biji pelaga

Goreng semua bahan ini tanpa minyak. Kemudian kisar halus.

Bahan-bahan lain :

  • 1 ekor ayam ~ potong kecil-kecil
  • Air secukupnya
  • Minyak untuk menumis
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 2 kiub ayam
  • 2 sudu besar santan

Cara penyediaan :

  1. Mula-mula kita panaskan minyak
  2. Kemudian tumiskan bahan tumis, kulit kayu manis, cengkih, bunga lawang dan biji pelaga, tumis hingga harum
  3. Kemudian masukkan bahan yang di kisar halus
  4. Masukkan juga jintan putih dan jintan manis serta lada sulah.
  5. Masak hingga garing dan terbit minyak
  6. Kemudian masukkan air secukupnya
  7. Biarkan air mendidih
  8. Bila dah didih, masukkan ayam dan kiub ayam
  9. Biarkan kuah merenih
  10. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa
  11. Akhir sekali masukkan sedikit santan jika suka
  12. Kacau dan biarkan kuah didih sekali lagi.
  13. Keluarkan ayam dan toskan
  14. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga keemasan
  15. Kemudian boleh lah di siat halus.

Dah pun siap kuah soto kita, Sekarang kita sediakan pula sambal kicap.

Bahan-bahan sambal kicap :

  • 15 tangkai cili padi 
  • 6 ulas bawang putih
  • 1/2 cawan kicap manis
  • secubit garam
  • 2 biji limau kasturi

Cara penyediaan sambal kicap :

  1. Panaskan sedikit minyak dan goreng bawang putih dan cili padi hingga layur
  2. Masukkan dalam blender bersama kicap manis dan garam
  3. Kisar halus
  4. Tuangkan dalam bekas dan perahkan jus limau kasturi

Soto ni di makan bersama Mee Kuning atau nasi himpit atau mee halus.

Bahan aksesori :

  • Taugeh
  • Bawang goreng
  • Daun sup dan daun bawang ~ hiris halus
  • Kacang goreng
  • Suhun Goreng
  • Daging ayam yang di goreng dan di siat halus



Hakcipta iluminasi.com (2017)