vokalis rock metal dengan vokal rendah tinggi power 978

Anda pernah dengar tentang skala nada yang seringkali disebut sebagai ukuran tahap kekuatan vokal seseorang yang digelarkan 'octave' atau oktaf, dalam Bahasa Melayu?

Sekiranya kita mengambil kira maksud oktaf, ia bermakna 'bunyi yg dikeluarkan oleh dua kali atau setengah kadar getaran drpd satu bunyi (not)'. Bagaimana mengukurnya? Dengan menggunakan alat muzik, seperti sebuah 'keyboard' - kita sebenarnya boleh mengukur jarak vokal kita seterusnya mengetahui apakah not terendah dan tertinggi yang boleh kita nyanyikan, dengan baik.

Kebanyakan orang mempunyai vokal yang agak terhad serta bergantung kepada jenis vokalnya, namun bagi beberapa individu - mereka dianugerahkan kemampuan suara yang sangat sukar ditandingi. Siapa mereka? Berikut adalah lima vokalis rock yang terbukti mempunyai kemampuan suara paling hebat, jika dibandingkan dengan kesemua vokalis lain.

5. Ville Valo

ville valo vokalis him

Sekiranya anda peminat muzik rock gothic, pasti anda mengenali Ville Valo dan kumpulan HIM yang berasal dari Finland. Beliau mempunyai kemampuan vokal daripada C1 sehinggalah C#6 setelah diukur. Sekiranya anda menonton persembahan kumpulan HIM yang memerlukan vokal rendahnya digunakan, bunyinya seperti dua orang vokalis berbeza sedang beraksi antara satu sama lain.

Walau bagaimanapun, masalah disiplin Valo menghantui dirinya - akibat ketagihan alkohol dan juga masalah dadah. Dalam satu insiden, akibat kesan ketagihan yang terlalu teruk menyebabkan beliau muntah darah, memerlukan dirinya dihantar ke pusat pemulihan bagi mendapatkan bantuan.

Masih aktif secara solo sehingga kini walaupun HIM sudah berpecah, pada tahun 2018 Ville Valo dinobatkan sebagai lelaki paling tampan di Finland pada usia 42 tahun. Walau demikian, dia lebih gemar agar anugerah terhadap karyanya yang diberikan penghargaaan, bukan wajah.

4. Axl Rose

axl rose rock guns n roses

Satu ketika dulu, banyak pihak menyifatkan Axl Rose sebagai bukan saja vokalis rock nombor satu, malahan vokalis nombor satu di dunia - malahan meninggalkan diva terkenal Mariah Carey di belakang. Bagaimanapun penyelidikan yang dilakukan terhadap rekod-rekod vokal meletakkan Axl Rose, vokalis kepada kumpulan rock terkenal Guns n Roses - ditangga keempat.

Kemampuan vokalnya tidak boleh dinafikan menjadi tunjang utama kepada melodi lagu kumpulan Guns n Roses, selain daripada kebolehannya mengawal naik turun suara dengan begitu cepat dan lancar.

Selain Mariah Carey, Axl Rose juga mempunyai suara yang lebih tinggi berbanding penyanyi wanita ikonik Tina Turner, mampu menyanyikan not rendah F1 sehinggalah not B6.

3. David Lee Roth

vokalis rock suara paling power

Legenda rock klasik David Lee Roth, merupakan vokalis kumpulan Van Halen yang masih lagi aktif sehingga kini, walaupun sudah berusia 65 tahun. Mempunyai corak hidup yang agak sensasi, sesuai dengan kehidupan seorang vokalis rock mahsyur - vokal Roth merupakan antara aset paling berharga beliau.

Mempunyai kemampuan vokal daripada not E1 sehinggalah A6 dalam kumpulan baritone, Roth mempunyai teknik menyanyi yang unik dalam pelbagai cara namun seringkali menjadi latar belakang kepada gaya persembahannya yang seringkali dikatakan identiti sebenar dirinya.

Oleh sebab itulah David Lee Roth kurang disebut-sebut sebagai antara vokalis terbaik irama rock, berbanding Axl Rose yang jauh lebih menonjol kekuatan vokalnya di kalangan peminat muzik rock.

2. Corey Taylor

corey taylor slipknot

Disebalik topeng ganas yang dipakai semasa mengadakan persembahan bersama kumpulan Slipknot, Corey Taylor sebenarnya menyimpan salah satu kemampuan vokal terbaik di dunia. Dia mampu mencapai not serendah Eb1 dan mampu menjerit setinggi C7.

Sekitar tahun 2016, Taylor mengalami masalah tulang belakang yang memberikan kesan ke atas kekuatan lehernya - akibat daripada terlalu kerap beraksi keras di atas pentas. Selepas menjalani pembedahan bagi membetulkan tulang, atas nasihat doktor disebabkan faktor usia yang meningkat - Taylor nekad berhenti melakukan aksi yang biasa dia lakukan.

Hasilnya - kemampuan vokalnya diakui sendiri olehnya, kini jauh lebih baik berbanding sebelumnya. Bagaimanapun, setakat ini dia masih belum mampu menggugat vokalis nombor satu di dunia.

1. Mike Patton

penyanyi rock dengan vokal menakjubkan

Vokalis kumpulan metal terkenal Faith No More ini merupakan satu-satunya vokalis bukan saja dalam genre muzik rock dan metal - tetapi semua jenis muzik popular, yang mempunyai jarak 6 oktaf dalam kemampuan vokalnya.

Mampu menyampaikan vokal dalam pelbagai jenis bentuk daripada not terendah sehinggalah menjerit dengan cukup sempurna, Mike Patton mempunyai tahap kemampuan vokal Eb1 yang sangat rendah dan sangat sukar untuk dinyanyikan kepada E7 - jauh melebihi penyanyi-penyanyi lelaki dan wanita lain.

Kini sudah berusia lebih 50 tahun, kemampuan vokal Patton seperti seakan tidak terusik, terus bertenaga menyanyikan lagu diiringi orkestra, mampu menyanyikan lagu rap dengan selamba dan menjerit sehingga mampu menggoncangkan dunia.

Rujukan

VNN Axl Rose is NOT the Singer With the Widest Range



Hakcipta iluminasi.com (2017)